Ruang Iklan

Jumaat, 23 Mac 2012

Pelancungan Hijau di Kuala Selangor



Kisah seorang dayang istana yang dipancung di atas batu hampar dan darahnya disimbah di sekitar Kota Malawati akibat bermukah barangkali pernah didengar. Namun, pernahkah anda menyaksikan sendiri batu hampar dan kota bersejarah tersebut?.

Menurut kisah sejarah yang diceritakan dari zaman ke zaman, batu hampar itu berasal daripada batu tambatan bahtera yang kemudiannya dijadikan tempat sultan bermain dam. Ia juga dikatakan merupakan tempat bersemayam Sultan Abdul Samad untuk memerhatikan pekan Kuala Selangor semasa zaman pemerintahannya.

Itulah yang diberitahu oleh Pembantu Tadbir Unit Aduan Perhubungan Awam dan Korporat, Majlis Daerah Kuala Selangor, Maizura Mohamad Misrun yang mengiringi lawatan kumpulan media, para blogger dan kakitangan Pejabat Pelancongan Negeri Selangor di Bukit Malawati Sabtu lalu.

Maizura memberitahu, menurut kisah lama, batu hampar tersebut yang berukuran 5 x 5 kaki (1.5 x 1.5 meter) telah menjadi tempat seorang dayang istana dipancung akibat berzina sehingga menyebabkan sultan sangat murka.

“Selepas dipancung, darah dayang itu disimbah ke seluruh Kota Malawati yang dahulunya merupakan tempat penduduknya berniaga bagi memberi pengajaran kepada rakyatnya agar tidak bermukah dan menderhaka.


Batu hampar ini menyimpan pelbagai cerita yang membuatkan
para pencinta sejarah terpesona mendengarnya.


“Selepas kejadian itu, sebatang pokok dekat batu hampar ini dikatakan akan berdarah sekiranya ditoreh, seolah-olah terkena sumpahan selepas hukuman pancung dilaksanakan,” katanya.

Bagi melihat kesahihan kisah itu, beberapa blogger yang menyertai ekspedisi jelajah Kuala Selangor dilihat cuba menoreh batang pokok angsana itu dan ternyata ia mengalirkan getah berwarna kemerahan. Mungkin itulah yang diandaikan sebagai darah dayang tersebut.

Di Bukit Malawati juga terdapat tapak istana lama yang kini dibangunkan pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor dan Muzium Bersejarah Daerah Kuala Selangor yang menempatkan pelbagai artifak kesultanan negeri daripada tiga sultan yang pertama memerintah Selangor.

Kuil Sri Maha Mariamman merupakan kuil tertua di Kuala Selangor 
sedang dalam proses pengubahsuaian.

“Ketiga-tiga sultan Selangor iaitu Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Mahmud (1826-1857) disemadikan di Makam Diraja Kota Malawati di sini.

“Di dalam makam ini juga, terdapat Meriam Penggawa yang sentiasa dibalut dengan kain kuning. Ia ditemui di pinggir Sungai Buluh di selatan Kuala Selangor pada 23 September 1966. Nama asalnya ialah Petoi Boga bererti Puteri Putih,” jelasnya.

Sememangnya pencinta sejarah pasti menyukai Bukit Malawati. Antara lokasi lain yang boleh dikunjungi ialah Perigi Beracun yang terletak di hadapan muzium. Kononnya zaman dahulu, penderhaka akan ditempatkan di dalam perigi itu lalu air beracun diisi ke dalamnya sehingga paras dagu sebagai penyeksaan terhadapnya.


Menghayati alam

Di puncak Bukit Malawati juga terdapat sebuah rumah api yang masih berfungsi dengan baik. Ratusan ekor monyet jinak juga sedia dihampiri untuk diberi makan. Cuma awas, kerana ada antara monyet-monyet itu yang nakal dan berani mengacah-acah manusia! 

Dekat kaki bukit pula, terdapat Taman Ikan Air Tawar yang menempatkan akuarium ikan air tawar daripada pelbagai spesies seperti ikan kaloi, temakang, sepat, puyu, kelisa, toman dan belut.

Mereka yang menggemari aktiviti jelajah alam sekitar sambil melihat pelbagai spesies burung pula boleh berkunjung ke Taman Alam Kuala Selangor yang terletak bersebelahan dengan Bukit Malawati.

Menurut Pengurus Taman Alam Kuala Selangor, S.P. Maichal Isthyben, Taman Alam Kuala Selangor ibarat kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi pelbagai spesies burung yang lazimnya datang dari negara-negara seperti Rusia, Mongolia dan Siberia.

“Burung-burung ini berhijrah semasa musim sejuk ke New Zealand dan Australia dan akan melalui serta singgah di Taman Alam Kuala Selangor. Malah, ada antaranya akan terus menetap di sini kerana kekayaan sumber alam semula jadi yang ditawarkan di sini,” terangnya.

Menurut Maichal, selain sebagai lokasi residen dan persinggahan burung, Taman Alam Kuala Selangor juga menyimpan hutan paya bakau yang menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti kera, monyet dan ketam-ketam kecil. Ia juga bertindak sebagai penampan semula jadi daripada ribut dan ombak besar.

“Bakau mempunyai banyak kegunaan. Selain menjadi kawasan untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan, ia juga berkesan sebagai kawasan penyaring pencemaran, habitat unggas serta berpotensi dijadikan kawasan rekreasi,” katanya.

Menyedari kepentingan itu, kumpulan media dan blogger yang berkunjung ke lokasi itu tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti bermanfaat iaitu membersihkan kawasan hutan paya bakau berkenaan daripada sampah sarap.


Keindahan cahaya kelip-kelip

Sekiranya sudah penat dengan aktiviti jelajah waktu siang yang memerlukan banyak tenaga untuk bergerak, waktu malam adalah masa terbaik untuk merehatkan badan sambil menikmati keindahan cahaya kelip-kelip di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Dibuka sejak tahun 1986, kawasan tersebut merupakan satu-satunya di Kuala Selangor bagi menyaksikan kumpulan besar kelip-kelip di habitat eksklusif serangga kecil tersebut iaitu pokok berembang.

Menurut Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azahari Sarin, terdapat dua lokasi santuari kelip-kelip di Kuala Selangor iaitu di Kampung Kuantan dan di kampung Bukit Belimbing.

“Di dunia ini, hanya terdapat dua kawasan yang menjadi habitat spesies kelip-kelip yang menyalakan cahayanya secara beritma. Selain di Kuala Selangor, lokasi yang satu lagi ialah di lembangan Amazon.

“Justeru, kita beruntung kerana dapat menikmati pengalaman ini tanpa perlu mengembara jauh dalam persekitaran yang selamat dan selesa,” katanya.
Azahari menambah, terdapat 30 buah sampan yang akan membawa pengunjung menyusuri tepian pokok berembang di sepanjang sungai yang menjadi tempat hinggapan kelip-kelip.

Setiap sampan hanya membawa empat orang pengunjung. Dengan membayar harga serendah RM10 seorang, mereka berpeluang melihat kelip-kelip selama kira-kira 20 minit.

“Waktu terbaik untuk melihat kelip-kelip adalah ketika langit gelap bermula pukul 7.30 malam sehingga santuari ditutup pada pukul 11 malam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kelip-kelip tidak muncul ketika musim hujan dan kurang ketika bulan terang. Justeru, pengunjung perlu memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung ke santuari kelip-kelip. “Santuari ini dibuka sepanjang tahun dan paling banyak menerima pengunjung ketika musim perayaan.“Para pendayung juga diberi latihan berbahasa Inggeris, Jepun dan Arab untuk melayani pengunjung daripada pelbagai bangsa yang datang ke sini,” katanya.


Para pengunjung tidak sabar menunggu giliran untuk menaiki sampan
dan menyaksikan kelip-kelip dalam jarak dekat.






Sumber - Kosmo! Online - Horizon 


Tiada ulasan:

Iklan