Mencari Damai di Tengah Rimba
Resort ini menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang mencari ketenangan alam semula jadi. |
Bosan dan penat melayari kehidupan yang sesak dengan kenderaan di tengah-tengah 'hutan batu' di kota metropolitan pasti akan membuatkan seseorang mahu mencari ketenangan di luar kawasan kota raya. Justeru, pencarian kawasan percutian yang tenang seperti hutan rimba yang dipenuhi dengan flora dan fauna akan mula dilakukan.
Antara lokasi percutian yang mampu memenuhi keperluan percutian anda adalah Eagle Park Resort yang terletak di Jalan Sungai Batu Pahat, Perlis. Ia merupakan sebuah lokasi percutian yang lengkap dengan ciri-ciri yang diimpikan oleh setiap pengunjung.
Terletak di kawasan seluas kira-kira 10 hektar, Eagle Park Resort muncul sebagai satu-satunya resort rimba terbesar di utara Semenanjung sejak tiga tahun lalu.
Di sini, pengunjung dapat berehat sepenuhnya tanpa sebarang gangguan bunyi bising kenderaan. Lebih mengujakan apabila kawasan sekeliling resort 'meriah' dengan kicauan burung dan unggas hutan. Selain itu, gemersik deruan air mengalir dari sebatang sungai yang terletak di dalam kawasan resort ini membuatkan pengunjung berat hati untuk meninggalkannya.
Lebih menarik resort ini menyediakan chalet, banglo dan asrama yang dibina di antara pokok-pokok dan berhampiran dengan sungai. Melewati sepanjang resort ini membuatkan sesiapa sahaja seolah-olah seperti berada di sebuah perkampungan pada zaman dahulu di mana sekelilingnya dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok yang merimbun kehijauan, selain menyajikan aroma rimba yang menyegarkan.
Pengarah Urusan Eagle Park Resort, Mat Salim Mat Isa berkata, sekalipun resort ini terletak di dalam hutan, namun ia menjanjikan layanan sebaik hotel lima bintang. ''Kami mengalu-alukan tetamu sama ada yang datang untuk berehat bersama keluarga, rakan atau pun mana-mana syarikat yang ingin menganjurkan hari keluarga, seminar dan sebagainya," katanya.
Pengunjung boleh memilih untuk tinggal di chalet jenis standard, deluxe, villa, suite dan banglo royal suite yang bermula daripada harga RM90 hingga RM800 satu malam. Turut disediakan adalah penginapan jenis asrama untuk kumpulan ramai.
Menurut Mat Salim, antara kelebihan yang dimiliki resort ini adalah pengunjung berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik dari pokok hidup subur di dalam resort dan dusun berdekatan. ''Pengunjung juga berpeluang melawat Taman Herba, Ladang Anggur, Taman Ular, mandi-manda di Bukit Ayer atau bermain golf yang merupakan antara kemudahan terdapat berdekatan resort ini," katanya.
Kata beliau, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan barbeku untuk pengunjung yang mahu menganjurkan majlis itu bersama keluarga atau rakan-rakan. Selain itu, turut disediakan kemudahan bagi melakukan aktiviti jungle tracking dan padang kawad.
Justeru, katanya, resort ini juga sesuai dijadikan sebagai lokasi untuk kem musim panas, ikhtiar hidup dan bina semangat. ''Resort ini juga menyediakan kemudahan untuk karaoke bersama hidangan bufet berharga RM10 setiap seorang mulai pukul 2 petang hingga 2 pagi, setiap hari," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Perlis termasuk meneroka Gua Kelam dan membeli-belah di Padang Besar.
Dalam pada itu, Mat Salim menggesa pihak berkuasa supaya menyediakan lampu jalan untuk masuk ke kawasan resort ini sejauh dua kilometer dari jalan besar Sungai Batu Pahat. ''Sudah tiga tahun, masalah ini dikemukakan tetapi sehingga kini masih tidak menunjukkan sebarang tanda kerana ia penting untuk kemudahan pengunjung yang melalui kawasan ini pada waktu malam," katanya. Beliau berharap kemudahan itu dapat disediakan sejajar dengan hasrat pengurusan yang merancang untuk memperluaskan pasaran resort ini ke seluruh negara mulai tahun ini.
Sumber - Utusan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan