Ruang Iklan

Memaparkan catatan dengan label - Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label - Ucapan. Papar semua catatan

Selasa, 14 Januari 2014

Selamat Menyambut Maulidur Rasul Tahun 1435H / 14 Januari 2014

Assalamualaikum !

Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.

12 Rabiul Awal, Tahun Gajah bersamaan 23 April 571, merupakan  hari bersejarah kelahiran atau hari keputeraan junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun, umat Islam akan meraikanya dengan mengadakan beberapa majlis bagi memperingatinya.

Bersempena dengan itu, ia merupakan cuti umum di Malaysia.

Tema sambutan kali ini adalah "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah". Marilah kita bersama-sama banyakkan selawat dan berpegang teguh pada sunnah dan ajarannnya.

Rabu, 1 Januari 2014

Selamat datang 2014 dan Selamat Tinggal 2013

Sudah lama saya tidak menulis di blog kerana kesibukan aktiviti harian.

Hari demi hari berlalu, minggu bertemu minggu, bulan silih berganti, sedar tak sedar tahun 2013 telahpun meninggalkan kita. Rasa sedihpun ada. Rasa risau untuk menempuh tahun 2014 pun ada.

Pada saya tahun 2013 banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit. Kenangan manis, dapat melancung bersama keluarga dan rakan-rakan ke Ho Chi Minch, Bangkok, Pattaya dan beberapa tempat lain. Banyak lagi kenangan manis yang tidak dapat diceritakan.

Yang pahitnya, pengalaman kesakitan akibat serangan Batu Karang dan kegagalan “Stress Test” yang menggagalkan kelayakan saya untuk terus bertugas di luar negara. Seterusnya meranapkan beberapa impian saya. Kalau tidak, tentu lebih banyak pengalaman manis yang dapat saya kongsikan.

Apapun yang telah dilalui ia adalah satu pengalaman dan kegagalan dari pengalaman tersebut akan menjadikan azam untuk kita memperbaikinya.

Dari pengalaman saya di tahun lepas, walau serajin atau sehandal mana kita, kalau kesihatan tidak mengizinkan, kita seperti tidak berharga. Keazaman saya di tahun ini untuk berjaya di dalam “Stress Test” seterusnya dan mempertingkatkan kesihatan yang lebih baik kerana kekayaan yang sebenar adalah kesihatan yang baik. Kalau tak sihat camana nak pergi jalan-jalan kan ?. Kalau dah berjaya saya 'share'.

Semoga tahun 2014 akan memberikan sinar dan kejayaan untuk kita semua.

Insya Allah.

Selasa, 5 November 2013

Salam Maal Hijrah Tahun 1435 / 2013M

Selamat menyambut Maal Hijrah 1435 / 2013M

Semoga pehijrahan ke tahun baru akan mengukuhkan lagi azam dan semangat kita semua untuk terus menjadi seorang muslim yang berjaya lagi bertaqwa. Agar kita semua sentiasa berada di dalam peliharaan dan keberkatan ALLAH SWT. Insya Allah.

Untuk melihat info lanjut dan amalan-amalan yang patut dilakukan semasa Maal Hijrah sila klik -> Sini

Tema sambutan perayaan Maal Hijrah tahun 1435H ialah : ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.’

Isnin, 31 Disember 2012

Azam Tahun Baru

Dah lama aku tak terjah blog ni disebabkan sibuk melayan kerenah dan tuntutan kehidupan. Banyak juga catatan kehidupan yang tidak dapat dikongsikan. 

Di dalam kesibukan melayari kerenah semasa, detik masa setahun pun tak terasa. Pejam celik, pejam celik tahun 2012 dah pun sampai kepada penghujungnya.

Tahun 2013 pula bakal timbul untuk mengisi kisah suka duka setiap insan. Dah tentu ramai diantara kita mula berazam untuk memperbaiki dan cuba mencapai apa yang tidak tercapai di tahun sebelumnya.

Rasanya azam dan matlamat ramai, tidak lain adalah untuk memajukan diri masing-masig terutama dari segi material seperti kewangan dan kerjaya disebabkan tuntutan semasa. Tapi jangan lupa untuk meningkatkan hubungan sesama insan dan pencipta alam serta kesihatan yang lebih baik.

Di akhir catatan aku ucapkan "Selamat Tahun Baru 2013" dan "Selamat Tinggal Tahun 2012". Semoga tahun 2013 lebih memberi manafaat dan kemenangan kepada kita.

Ahad, 16 September 2012

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 49

Hari ini, 16 September, merupakan Hari Malaysia ke 49. Hari Malaysia disambut setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. 

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia asalnya merupakan cuti am hanya di negeri Sabah sempena menyambut hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. 

Pada awalnya, Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun setelah ianya dicadangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim Anuar, negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang seperti Kedah, Kelantan dan Selangor telah menjadikan Hari Malaysia sebagai cuti am bagi negeri masing-masing.

Seterusnya, mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah dijadikan cuti am bagi seluruh negeri di Malaysia.

Jumaat, 31 Ogos 2012

Salam Kemerdekaan

Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terasa di sebalik kedatangan Hari Kemerdekaan. Antara dua sambutan perayaan Aidilfitri oleh rakan-rakan Islam dan hari kemerdekaan oleh seluruh rakyat Malaysia rasanya sambutan perayaan Aidilfitri lebih hangat terasa bagi mereka yang menggunakan Hari Kemerdekaan untuk menziarah sanak saudara.

Bagi aku, sambutan Hari Kemerdekaan amat mengecewakan apabila pemimpin negara lebih menggalakkan orangramai lelaki dan wanita berkumpul di Dataran Merdeka sambil mengibarkan bendera, ditambah pula dengan tema "Janji Tepati". Tiada seorang pemimpinpun yang menggalakkan melakukan Doa dan Sujud Syukur, apatah lagi Hari Kemerdekaan ini jatuhnya pada Hari Jumaat. 

Sebaiknya selepas solah Jumaat, umat Islam digalakkan melakukan Doa dan Sujud Syukur. Apakah Janji ditepati itu, manakala kita lupa bersyukur kehadrat Allah S.A.W. ?.

Sudah 55 tahun kita merdeka dari penjajahan British, tetapi kita masih belum bebas dari perlembagaan dan undang-undang yang mereka ciptakan dari awal penjajahan mereka. Malah kita sendiri yang melanjutkan dan mengiakan secara jelas. Apakah kita lupa mengenai hukum Allah yang sudah termaktub di dalam Al-quran ?.

Kita juga masih belum bebas dari penjenayah. Setiap hari ada sahaja berita jenayah yang berlaku.

Malah lebih mengecewakan dengan kebanjiran pendatang asing. Ke mana sahaja, ada mereka. Mereka lebih berani dan bebas dari kita. Suara mereka lebih kuat dari kita. Malah apabila berjalan atau berada diantara mereka, kita lebih kecil dan sebaliknya kita sendiri rasa kurang selesa


Selain itu, banyak kes pembunuhan, rompakan, pecah rumah dan mencuri membabitkan mereka dengan kes terbaru membabitkan penahanan lapan lelaki Bangladesh berhubung pembunuhan wanita Indonesia yang dikerat 15 bahagian di Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang. Turut dibunuh ialah anak lelaki wanita itu.

Rumah-rumah urut pula menggunakan khidmat wanita warga asing dan apa yang membimbangkan ialah golongan belia sudah mula berjinak-jinak mengunjungi tempat ini.

Golongan ini juga terbabit dengan kegiatan kurang bermoral seperti meminta sedekah. Mereka juga membawa nilai agama dan bangsa yang kontroversial.

Kos penahanan dan menghantar mereka pulang ke negara asal juga perlu ditanggung oleh pembayar cukai.

Adakah, ini adalah kelemahan dan kegagalan Menteri kita sendiri di dalam menanggani masalah ini ?.

Apakah kita terlalu merdeka ?. Rasanya, kita cuma menyambut Kemerdekaan bersempena Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi belum merdeka jika perkara-perkara tertulis di atas masih berlanjutan.


~ Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 ~



Ahad, 19 Ogos 2012

1 Syawal 1433H

Selamat Hari Raya
terutama kepada Rakan Liku Alam &
juga kepada pengunjung Blog Liku Alam.
Terima Kasih kerana kunjungan & sokongan anda.
Maaf Zahir dan Batin.


Jumaat, 20 Julai 2012

Selamat Menyambut Ramadhan 1433H

Pejam celik, ramadhan kembali lagi. Syukur, kerana kita diketemukan semula di bulan mulia ini. Ramadhan datang setahun sekali dan setiap tahun ianya berbeza mengikut umur dan amalan yang kita harus lakukan. Dengan umur yang bertambah, sebaiknya amalan juga bertambah berbanding di tahun lepas.

Sebaiknya gunakan peluang Ramadhan di tahun ini kerana berkemungkinan kita tidak menemuinya di tahun hadapan.

Berikut adalah sedikit info mengenai Ibadat Puasa.

Erti Puasa
Erti puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta menghindar dari melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari berserta dengan niat puasa.


Niat Puasa Ramadhan

Lafaz niat untuk sebulan puasa

 

Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala



Lafaz niat puasa (harian)



Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala



Doa Berbuka Puasa




Ya Allah Ya Tuhanku ! keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.


Syarat-syarat Wajib Puasa
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Waras
  4. Tidak Uzur
Syarat -syarat Sah Puasa
  1. Islam
  2. Suci dari haid atau nifas bagi perempuan
  3. Tidak perpuasa bagi bagi  hari-hari yang diharamkan berpuasa
  4. Niat
Perkara-perkara yang membatalkan Puasa
  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja.
  2. Muntah dengan sengaja.
  3. Keluar darah haid dan nifas bagi perempuan.
  4. Bersetubuh pada siang hari.
  5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
  6. Melahirkan anak.
  7. Murtad.
  8. Gila atau mabuk sepanjang hari.
  9. Berbuka puasa puasa sebelum terbenam matahari.


Ahad, 17 Jun 2012

Sambutan Hari Bapa

HARI BAPA, di Malaysia ia disambut pada hari Ahad ketiga di dalam bulan Jun. Tahun ini jatuh pada hari ahad 17 Jun 2012.

Ia disambut di peringkat kebangsaaan dengan tema "Bapa Perihatin, Keluarga Terpimpin".

Sejarah Sambutan Hari Bapa
Terdapat pelbagai cerita dan pendapat yang berkembang dan dicatat dalam cerita sejarah mengenai bermulanya idea sambutan HARI BAPA ini.

Antara pendapat mengatakan ia bermula di Fairmont, West Virginia, Amerika Syarikat pada Julai 1908. Sambutan ini diuruskan oleh Puan Grace Golden Clayton bagi mengingati kematian 210 orang bapa yang merupakan mangsa tragedi letusan lombong di Monongah, West Virginia pada 6 Disember 1907. Tetapi malangnya, sambutan itu kurang mendapat tempat ketika itu kerana terdapat sambutan yang lain di daerah sekitar. Menyebabkan sambutan itu tidak didaftarkan secara rasmi. Dikatakan Clayton mengatur sambutan ini kerana terdapatnya sambutan Hari Ibu.

Sekitar tahun 1909, Cik Sonora Smart Dodd telah sekali lagi mengulangi idea ini, tetapi idea pada Dodd ini bukan timbul dari cedukan idea Clayton, sekadar cetusan pemikirannya melihatkan betapa besarnya pengorbanan dan susah payah bapanya dalam membesarkan keluarganya selepas kematian ibunya. Pada mulanya sambutan ini kurang mendapat perhatian awam dari pihak berkenaan, namun usaha yang berterusan darinya menampakkan hasil apabila sambutan Hari Bapa mula disambut di Spokane, Washington pada 19 Jun 1910.

Pada 1916, semasa sambutan Hari Bapa diadakan di Spokane, Presiden Woodrow Wilson mencadangkan agar sambutan ini dijadikan sebagai salah satu sambutan rasmi tahunan, tetapi ditolak oleh Kongres ketika itu. Usaha ini dicuba kembali oleh Senator Margaret Smith dengan mengemukan usul menuduh Kongres "menganaktirikan" sambutan Hari Bapa selama 40 tahun dengan tidak meletakkannya sebagai sambutan rasmi tetapi meletakkan sambutan Hari Ibu sebagai sambutan rasmi.

Pada 1966, Presiden Lyndon B. Johnson mengemukan tuntutan agar Hari Bapa disambut pada Ahad minggu ketiga Jun setiap tahun sebagai Hari Bapa. Akhir sekali pada 1972, Presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa sambuta Hari Bapa secara rasminya seperti yang dicadangkan pada tahun 1966. Sambutan ini diteruskan sehingga kehari ini di seluruh dunia termasuk Malaysia denga tarikh yang berbeza mengikut negara.

__________________________________________________________________________________

Walau apapun pendapat yang diberi mengenai Hari Bapa, yang penting kita 
sentiasa ingat pada ibubapa kita, tidak kira masa dan ketikanya ..kerana,
  tiada mereka, tiadalah kita di muka bumi ini..


___________________________________________________________________________________

Ibu-bapa mempunyai kedudukan di sisi Allah swt sehingga Allah swt memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.

Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru


HARI ini, 16 Mei telah dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi Malaysia.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

 
Logo Hari Guru

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.



Tema Hari Guru

Tema Hari Guru pada tahun ini  adalah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara".




Tema Hari Guru 2012

Sabtu, 12 Mei 2012

Selamat Hari Jururawat


Florence Nightingale
HARI ini, 12 Mei merupakan hari Sambutan Jururawat Antarabangsa yang disambut untuk menghargai sumbangan Jururawat kepada masyarakat. Pada bulan Januari 1974, keputusan telah dibuat untuk mengadakan sambutan ini pada setiap tahun, 12 Mei sempena ulang tahun kelahiran Florence Nightingale yang dianggap pengasas kejururawatan moden.

Tema sambutan hari jururawat pada tahun ini adalah "Closing the Gap: From Evidence To Action”.

Aku nak ucapkan selamat menyambut Hari Jururawat 2012 kepada semua jururawat. Agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dedikasi kepada pesakit.

Sentiasa bersabar dan tidak jemu untuk melayan kerenah pesakit. Jangan marah2 dan merungut .....


JURURAWAT KERJAYA MULIA

Rabu, 1 Februari 2012

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2012


Hari ini, aku cuti lagi. Cuti kerana sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari, setiap tahun. Kuala Lumpur telah diistiharkan sebagai sebuah bandaraya dan dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974. Tahun ini merupakan sambutan yang ke-38 bagi Kuala Lumpur dan ke-8 bagi gabungan ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.


Kuala Lumpur mewakili Ibu Negara dan Pusat Komersial, Labuan sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa manakala Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah nadi penting kepada pentadbiran Negara.

Sila klik ke pautan :-

Sila klik untuk ke pautan acara-acara yang dirancang sempena menyambut Hari Wilayah Persekutuan :-

Selain itu warga Wilayah Persekutuan juga mendapat tawaran menarik :-

Isnin, 23 Januari 2012

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina


Sempena Tahun Baru Cina ni, aku nak ucapkan Selamat meyambut Tahun Baru kepada rakan-rakan berbangsa Cina & Selamat Bercuti kepada semua, semoga tahun ini membawa lebih kebaikan kepada kita semua dari tahun sebelumnya.

Iklan