Ruang Iklan

Ahad, 4 Mac 2012

Kereta api ke puncak bukit


Pengunjung kini dipelawa menaiki tren yang serba baharu.
BUKIT BENDERA merupakan sebuah kawasan peranginan yang terkenal bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong malah menjadi kediaman eksklusif bagi para hartawan di Pulau Pinang.Pernah dikenali sebagai Penang Hill, landskap berketinggian 830 meter dari aras laut itu menyimpan kisah sejarah yang panjang.
Bukit Bendera telah dibangunkan oleh Francis Light dengan menggunakan buruh yang terdiri daripada banduan dari India dan penduduk tempatan.Ia bermula pada tahun 1897, apabila permohonan rasmi untuk menjalankan perkhidmatan kereta api tarik dengan kawat ke puncak Bukit Bendera telah dibuat kepada J.K. Birch Resident Counselor Pulau Pinang.Permohonan itu dibuat berikutan kesulitan perhubungan untuk naik ke puncaknya pada ketika itu.

Selepas beberapa rundingan, satu rang undang-undang kereta api Bukit Bendera telah digubal dan selepas dibentangkan untuk pembacaan kali ketiga dalam Majlis Mesyuarat Jajahan Negeri Selat di Singapura seterusnya diluluskan pada 21 November 1899.Pada awalnya terdapat dua buah kereta api yang menjalankan perkhidmatan di antara stesen bawah dan di kemuncak Bukit Bendera.

Jentera wap digunakan untuk menggerakkan kereta api tersebut yang memuatkan seramai 10 orang ketika itu.Bagaimanapun, ia kemudian diganti dengan kuasa jentera Roda Pelton yang diputarkan oleh air melalui saluran dari empangan yang dibina di Sungai Air Itam.

Selepas Perang Dunia Pertama, Kerajaan Negeri-negeri Selat telah bercadang untuk membangunkan semula kereta api Bukit Bendera memandangkan ia lebih menjimatkan berbanding pembinaan jalan raya.

Kuasa elektrik

Oleh itu, seorang jurutera tempatan, Arnold R. Johnson, telah dihantar ke Switzerland untuk mempelajari teknik-teknik kereta api funikular yang digerakkan dengan kuasa elektrik.

Pada tahun 1921, Johnson telah membina empat buah gerabak. Kereta api rekaan Johnson itu telah digunakan hampir 55 tahun, sebelum digantikan dengan gerabak buatan Switzerland dengan kos sebanyak RM2.3 juta pada tahun 1979.

Sehingga kini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera telah dinaik taraf beberapa kali. Kali terakhir adalah pada tahun 2010 iaitu dengan memperkenalkan gerabak elektrik yang lebih canggih dan moden untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Sepanjang berada di puncaknya, pengunjung boleh melawat beberapa tarikan lain seperti muzium mini yang memaparkan gerabak asal serta banglo yang dibina oleh kerajaan British satu ketika dahulu.

Di samping itu, jangan lupa mencuba beberapa tarikan lain yang disediakan. Antara yang boleh ditemui dan dicuba adalah laluan kanopi, flying fox dan meniti jambatan gantung. Pusat penjaja juga disediakan dengan tarikan utamanya ialah masakan popular negeri seperti laksa dan pasembur.

Dikelilingi hutan yang masih terpelihara, Bukit Bendera sememangnya kaya dengan keindahan flora dan fauna. Tatkala tiba di puncaknya, pengunjung pasti terpegun melihat keindahan pokok-pokok oak dan spesies pakis yang memukau pandangan.




Sumber - Kosmo Online - Horizon





Tiada ulasan:

Iklan