Ruang Iklan

Sabtu, 25 Februari 2012

Lapan lokasi menarik di Bali



Lebih sejuta pelancong melawat Bali setiap tahun untuk menikmati suasana pantai yang cantik, kehidupan malam yang indah dan budaya Hindu yang unik di pulau tersebut. Biarpun Indonesia kaya dengan khazanah yang terdapat pada kesemua pulau yang dimilikinya itu, namun kawasan peranginan Bali yang terletak di antara Pulau Jawa dan Lombok itu lebih dikenali ramai berbanding dengan pulau yang lain.

Pulau Bali merupakan sebahagian Kepulauan Sunda Kecil yang mempunyai keluasan sepanjang 153 kilometer dengan lebar 112 kilometer.

Beriklim tropika sebagaimana kawasan-kawasan Indonesia yang lain, menjadikan destinasi ini sebagai antara lokasi kegemaran khasnya untuk berbulan madu.

Ibu kota Bali adalah kota Denpasar, manakala kota Ubud merupakan pusat kesenian utama. Selain dua kota tersebut, Kuta, Sanur, Seminyak, Jimbaran dan Nusa Dua juga menarik untuk diterokai bersama keluarga tersayang.

Sejak penubuhan Republik Indonesia, Bali telah menjadi sebahagian daripada negara tersebut dan sehingga kini ia didiami lebih kurang empat juta penduduk.

Sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terdapat di negara Garuda itu, Bali turut dikenali dengan kebudayaannya, landskap serta seni unik seperti tarian dan arca.

Jika anda merancang melawat Bali dalam masa terdekat ini, adalah dicadangkan anda meluangkan masa melawat ke lokasi-lokasi berikut.


Tanah Lot

Tanah Lot terkenal dengan panorama matahari terbenam yang indah. Di lokasi ini terdapat sebuah kuil yang terletak berhampiran lautan.


Kemenuh

Kemenuh pula sebuah kampung terkenal dengan arca kayu. Jika anda melihat perbagai bentuk arca kayu dijual disekitar bandar Denpasar, kebanyakkannya dihasilkan oleh penduduk perkampungan Kemenuh.

Taman Kebudayaan Garuda Wisnu Kencana

Taman ini amat dikenali oleh pengunjung yang berminat dengan aktiviti kesenian dan kebudayaan. Di sini, pengunjung dapat melihat sebuah arca Dewa Vishu bersama seekor burung garuda.

Kuil Uluwatu 

Bagi yang berminat dengan sejarah, jangan ketinggalan untuk mengunjungi kuil Uluwatu. Kuil ini merupakan antara kuil peninggalan Dang Hyang Nirartha semasa misinya menyebarkan agama Hindu di Bali pada abad ke-16. Uluwatu dipercayai dijadikan sebagai destinasi terakhir perjalanan beliau untuk ke syurga. Selain itu, kuil ini juga sering diawasi oleh monyet-monyet yang dikatakan menjadi pengikut Dang Hyang Nirartha yang keramat.

Ubud

Ubud juga dikenali sebagai kampung antarabangsa. Lokasi ini menyediakan perbagai kemudahan seperti restoran, hotel dan kedai cenderahati yang terdapat di sepanjang jalan Ubud. Selain itu, terdapat juga beberapa muzium seni seperti Neka, Antonio Blanco, Arma dan lain-lain. Antara yang paling terkenal di sini adalah Pasar Ubud. Di pasar ini, pengunjung boleh mendapatkan produk kraftangan dengan harga yang lebih murah.

Tohpati

Tohpati adalah sebuah perkampungan yang terkenal dengan pembuatan batik. Jika anda mengunjunginya, penduduknya akan berkongsi dengan anda mengenai cara-cara pembuatan batik dari proses awal hingga akhir.

Pantai Tanjung Benoa

Pantai Tanjung Benoa terletak di selatan Bali terkenal dengan keindahan patai pasir putih yang bersih. Di sekitarnya pengunjung boleh mencuba perbagai sukan air yang disediakan seperti jet ski, selam skuba dan parasailing. Pengunjung juga boleh menyewa bot yang disediakan untuk mengunjungi Pulau Penyu yang dijadikan sebagai habitat untuk perbagai sepesies penyu membiak.

Celuk 

Celuk merupakan perkampungan terkenal di Bali kerana kebanyakan rumah di situ menjual produk berasaskan perak. Pada masa yang sama, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat proses pembuatan barangan berasakan perak secara traditional.

Hasil tangan penduduk Celuk






Sumber - Utusan Malaysia, 25 Febuari 2012





Tiada ulasan:

Iklan