Ruang Iklan

Selasa, 6 Mac 2012

Kelong Kuala Lukut


Kuala Lukut - Lubuk ikan air tawar dan air masin



KUALA LUKUT pastinya kedengaran asing bagi penduduk luar Negeri Sembilan yang jarang melewati negeri itu kecuali ketika menikmati percutian singkat di bandar Port Dickson yang sememangnya terkenal dengan panorama pantainya.

Namun, dalam kalangan kaki pancing, Kuala Lukut mempunyai banyak keistimewaan kerana di situlah terletaknya beberapa kelong memancing yang dibina beberapa kilometer dari pantai untuk aktiviti memancing ikan air masin.

Di jeti di muara Sungai Lukut pula, aktiviti memancing ikan air tawar menjadi pilihan mereka yang mahu memanfaatkan hobi memancing tanpa perlu bermalam di kelong. Lazimnya, mereka membawa habuan mereka untuk dinikmati di restoran berhampiran.

Menurut pengurus Kelong Koperasi Pelanduk 2020, Mohd. Fauzi Mohd. Zainal, kelong memancing dibuka 24 jam bagi mereka yang ingin menghabiskan masa memancing di kelong berkenaan terutama pada waktu dinihari. “Berbeza dengan lokasi memancing di tempat lain, di sini kami tidak menyediakan umpan kerana terdapat banyak penjual umpan membuka gerai di sepanjang jalan utama menuju Kuala Lukut.

“Kawasan ini memang sunyi daripada aktiviti pelancongan lain tetapi meriah dengan kehadiran kaki-kaki pancing yang sudah terbiasa dengan pengalaman memancing di kelong-kelong,” katanya yang tinggal di Kampung Pachitan yang terkenal dengan rumah-rumah persinggahan itu.

Fauzi memberitahu, dia mengambil alih penjagaan kelong berkenaan daripada Koperasi Pelanduk 2020 sejak tahun 1998 dan menjadi salah satu kelong memancing yang beroperasi di situ. Kelongnya juga dikenali sebagai Kelong Fauzi. “Selain Kelong Koperasi Pelanduk 2020 ini terdapat beberapa kelong memancing lain turut dibina di sini termasuk beberapa kelong memancing persendirian. “Rata-rata pengusaha mengenakan harga yang sama iaitu RM350 hingga RM450 untuk menyewa bot memancing, RM3 untuk memancing di jeti dan RM40 untuk memancing di kelong kerana memerlukan perkhidmatan bot untuk menghantar mereka ke kelong,” katanya.

KAKI pancing sanggup bermalam di kelong demi kepuasan memancing dan untuk mendapatkan ikan-ikan yang mereka inginkan.

Hujung minggu

Tambah Fauzi, jumlah pemancing yang datang bergantung kepada musim terutama musim cuti sekolah atau hujung minggu yang mampu menarik sehingga 40 pemancing setiap hari. “Bagaimanapun, kelong ini hanya membenarkan 35 orang maksimum buat satu-satu masa bagi memberi keselesaan kepada para pemancing walaupun mempunyai keluasan kira-kira 240 meter persegi. “Kelong ini juga mempunyai enam bilik dan sebuah bilik air termasuk dapur untuk memasak bagi mereka yang ingin bermalam di sini atau meneruskan aktiviti memancing sehingga pagi,” katanya.

Menurutnya, kehadiran para pemancing bukan sahaja kerana mahu merasai pengalaman memancing di kelong tetapi juga ingin menikmati pemandangan dari tengah laut terutama pemandangan matahari terbenam dan matahari terbit. “Segelintir pemancing memilih untuk memancing di jeti sahaja tetapi kebanyakan pemancing lain memilih untuk memancing di kelong kerana dapat menghilangkan tekanan.

“Di sini, mereka menikmati ketenangan alam yang jauh daripada kesibukan bandar,” ujarnya. Pemancing bakal ‘beradu’ tenaga dengan pelbagai spesies ikan seperti gelama, sembilang, kerapu, siakap, belanak, jenahak dan banyak lagi spesies lain. Begitupun, jenis umpan sama ada udang, ikan kecil atau cacing menentukan hasil tangkapan.

Sementara itu, beberapa kaki pancing yang ditemui di kelong memancing mengakui keseronokan memancing di situ lebih-lebih lagi mereka yang pertama kali datang untuk merasai pengalaman itu.

Kunjungan pertama

Menurut Alina Munirah Abd. Rahim, 31, dia baru pertama kali memancing di kelong berkenaan untuk menemani suaminya, Hairy Kamaruzaman, 27. “Saya tidak pernah memancing sebelum ini dan kelong ini adalah lokasi pertama memancing bersama suami yang sememangnya kaki pancing.  “Selain itu, ramai rakan lain turut serta sehingga saya terpengaruh untuk datang ke sini. Percubaan pertama saya berbaloi kerana saya berjaya menaikkan seekor ikan daun,” katanya yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga.

Tambahnya, dia seronok memancing di kelong kerana dapat menikmati keindahan alam semula jadi di tengah laut yang jauh daripada kesibukan rutin harian di bandar. “Lokasi memancing di tengah laut memang menarik, tambahan pula apabila berjaya mendapat ikan, memang lain rasanya. “Selepas ini saya ingin cuba memancing di kelong-kelong lain pula,” ujarnya teruja.

Suaminya, Hairy pula memberitahu, dia sebelum ini sering memancing di tepi pantai. Memancing di kelong itu adalah pengalaman pertamanya.“Saya pernah mendengar tentangnya melalui pengalaman orang lain. Sebelum tiba di sini, saya terlebih dahulu membuat sedikit carian di internet mengenai kelong-kelong memancing di Kuala Lukut. “Pada pendapat saya, kelong-kelong memancing di sini boleh diperbaiki dengan menambah kemudahan berbentuk hiburan supaya mereka yang bermalam tidak akan merasa bosan,” cadangnya.

Bagi Hairy, memancing adalah sekadar hobi namun apabila secara kebetulan ramai rakan pejabatnya gemarkan aktiviti tersebut, mereka beramai-ramai berpakat ke kelong berkenaan. “Saya mula memancing sejak enam bulan lalu akibat pengaruh rakan-rakan. Bagaimanapun, melalui pemerhatian saya, kelong memancing di Kuala Lukut ini boleh diperbaiki lagi untuk menarik lebih ramai kaki pancing dan pelancong,” katanya yang datang dari Melaka.

Mohd. Shafiq Mohd., 23, yang juga datang dari Melaka memberitahu, dia berjaya menaikkan ikan daun baru pada sejam pertama tiba di kelong berkenaan. Pengalaman itu membuatkannya lebih teruja untuk meneruskan aktiviti memancing di situ. “Semua ikan ini biasanya kami bawa balik di rumah untuk dimasak sendiri,” katanya.

SHAFIQ menunjukkan hasil pancingannya iaitu ikan daun baru seberat kira-kira 600 gram.









Sumber - Kosmo  Online - Horizon



Tiada ulasan:

Iklan