Ruang Iklan

Sabtu, 17 Mac 2012

Mayang Sari Resort, Dungun



Suatu Percutian Eksklusif

Kawasan di luar bilik penginapan Pool Villa yang 
dilengkapi pondok rehat berkonsepkan terbuka. 
Di manakah pantai yang menyajikan panorama terindah bagi pengunjung yang menjejak kaki ke negeri Terengganu ?. Tentu ada yang tertanya-tanya tentang hal itu terutama bagi mereka yang ingin menikmati percutian di tepian pantai dengan laut membiru.

Mungkin pantai Teluk Mak Nik dan pantai Teluk Lipat di pinggir bandar Dungun boleh memberikan apa yang pengunjung ingini. Di situ, kita boleh duduk bersantai sambil ditemani hembusan bayu segar, tenang dan mendamaikan jiwa dalam persekitaran menghijau. Selain itu, 'sajian' laut yang luas terbentang dari hadapan resort pasti melengkapkan percutian anda.

Mayangsari Resort 'lahir' khusus untuk anda yang inginkan privasi dalam percutian. Terletak di Jalan Pantai, Kampung Sura Tengah, Dungun kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, kemudahan penginapan di sini tidak mengecewakan.

Sepanjang perjalanan menghampiri resort yang menyediakan penginapan berkonsep villa itu, mata pengunjung akan dijamu dengan pemandangan pantai Teluk Lipat. Resort berkonsepkan ala Bali yang mengadap Laut China Selatan itu menyediakan kemudahan yang jarang disediakan di resort lain, tambahan pula harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Mayangsari Resort menawarkan pelbagai kategori penginapan termasuk Pool Villa, Garden Villa dan Water Villa yang mampu memenuhi keperluan setiap pengunjung. Tarikan utama resort ini adalah penginapan Pool Villa yang menyediakan kelengkapan penuh dengan kemudahan kolam renang peribadi serta ruang gazebo yang romantik, sesuai bagi pasangan yang ingin berbulan madu. Malah suasana hiasan dalaman yang ditata rias seindah kamar pengantin ditambah cahaya suram hasil biasan aliran air dari kolam yang terletak di luar bilik menambah suasana yang mendamaikan.

Selain itu, Pool Villa bukan sahaja menitik beratkan ruang kamar, malah ruang membersihkan diri iaitu bilik air turut ditekankan apabila menggunakan konsep Melayu klasik di mana pintu bilik air turut diperbuat daripada kayu cengal berukir. Ia turut dilengkapi dengan selak pintu diperbuat daripada potongan kayu selain pokok bunga melor ditanam berdekatan bagi membangkitkan aroma wangi bunga yang semula jadi. Bagi kunjungan bersama keluarga, Mayangsari turut menyediakan penginapan selesa di Garden Villa yang dilengkapi dengan empat bilik tidur, dua bilik mandi, ruang rehat dan pantri, sekali gus sesuai bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga besar.

Bagi yang datang sendirian, menginap di Water Villa yang menyediakan ruang untuk seorang sehingga enam orang pada satu-satu masa mungkin sudah memadai. Setiap bilik penginapan dilengkapi dengan kemudahan internet kabel percuma, televisyen satelit dengan skrin rata serta peti sejuk mini. 

Resort ini turut menyediakan kemudahan seperti bilik mesyuarat yang boleh memuatkan sehingga 30 orang serta dewan yang boleh digunakan untuk majlis makan malam atau majlis perkahwinan dengan kapasiti sehingga 300 tetamu.

Bagi pengunjung yang ingin menjamu selera, Cafe Mayangsari boleh mengisi kira-kira 50 orang pada satu-satu masa dengan pelbagai pilihan hidangan sama ada bufet tradisional, cita rasa Asia atau masakan barat.

Mereka yang gemar makanan barat, boleh mencuba Stik Mayangsari yang menggunakan daging lembu segar yang dimasak sempurna bersama sos lada hitam berserta sup makanan laut yang dihidang dengan roti bawang putih.

Menurut Pengurus Mayangsari Resort Dungun, Nagoor Ghani, resort itu turut menyediakan empat pilihan pakej iaitu seminar, perkahwinan, hari keluarga dan bulan madu, selain untuk pengunjung yang ingin mengadakan aktiviti di resort berkenaan.

Bagi pakej seminar, harga yang ditawarkan serendah RM15 hingga RM300 mengikut kehendak pelanggan, selain kemudahan kelas, dewan dan makanan yang disediakan dengan kapasiti 30 orang pada satu-satu masa.

Untuk pasangan pengantin pula, Pakej Perkahwinan Sehati Sejiwa pasti memberikan pengalaman manis buat mereka.

"Kami menawarkan harga serendah RM20 hingga RM35 seorang dengan menyediakan pelbagai menu antaranya nasi minyak, ayam berlada, acar mentah serta gulai daging beserta hidangan pengantin. "Di sini juga, pengantin boleh mendapatkan pakej bulan madu serendah RM777 selama tiga hari dua malam meliputi penginapan di Pool Villa, makan malam romantik serta boleh mendapatkan urutan tradisional bersama pasangan," ujarnya.

Pengunjung yang berminat untuk mengadakan hari keluarga pula, Mayangsari Resort menawarkan pakej tersebut serendah RM55 hingga RM75 seorang dengan dilengkapi kemudahan aturcara permainan, makanan serta hadiah. Namun bagi yang mahu menginap bayaran bermula RM140 hingga RM240 seorang akan dikenakan.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi bagi merasai pengalaman yang menyeronokkan, Mayangsari Resort pasti tidak mengecewakan anda.



Sumber - Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Iklan