Ruang Iklan

Ahad, 4 Mac 2012

Hujung Minggu di Hulu Langat



Pagi itu, laluan di sekitar Jalan Hulu Langat di sini sedikit sesak. Sebaik sahaja kenderaan memasuki Pekan Batu 9, aliran trafik mula bergerak perlahan. Lazimnya, begitulah senario yang boleh dilihat di sekitar daerah Hulu Langat setiap kali cuti umum atau hujung minggu. Jumlah kenderaan khususnya dari arah ibu negara akan meningkat berkali-kali ganda daripada biasa.
Azman Ahad dan keluarganya tidak terkecuali. Mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan menuju ke Lubuk Manggis, salah satu kawasan perkelahan yang semakin popular di daerah itu. Di sana, beberapa rakan sepejabatnya dari syarikat penyelenggaraan, AWC Berhad dan ahli keluarga masing-masing sudah sedia menanti kehadirannya. Sememangnya pada pagi itu mereka sudah berjanji untuk menghadiri majlis barbeku yang akan diadakan di situ.

Dalam kesibukannya menyiapkan hidangan termasuk menu istimewa ayam panggang, Azman sempat memerhatikan sekeliling. Ternyata, bilangan pengunjung ke lokasi itu semakin bertambah. Pondok-pondok rehat yang sebelum itu kosong telah mula dipenuhi pengunjung yang datang dari segenap ceruk kota.


Lokasi perkelahan

Hilai tawa anak-anaknya yang leka bermandi-manda dan bermain air jelas kedengaran dari cuping telinganya. "Abang, adik, jom naik. Lepas makan nanti baru sambung mandi lagi," jeritnya dari atas tebing. Biarpun pernah berkunjung ke beberapa kawasan perkelahan popular lain seperti di Ulu Yam, Janda Baik, Taman Lipur Rincing sebelum ini, namun Hulu Langat ternyata terlalu istimewa bagi Azman.

Boleh dikatakan hampir semua lokasi perkelahan popular di daerah itu seperti Hutan Lipur Sungai Congkak, Air Terjun Sungai Gabai, Hutan Lipur Sungai Tekala, Lubuk Manggis, Pangsung serta Hutan Lipur Gunung Nuang sudah dicubanya sebelum ini.


Keperbagaian tarikan pelancongan di sekitar Hulu Langat menyebabkan ia tidak pernah sunyi saban minggu.
"Kunjungan ke Hulu Langat ibarat menikmati satu pakej percutian yang lengkap untuk seisi keluarga. "Pengunjung bukan sahaja boleh berkelah dan bermandi-manda malah boleh melakukan aktiviti lasak seperti menjelajah hutan, mendaki gunung atau menunggang basikal gunung," katanya yang kini mencecah usia 40 tahun.

Bapa kepada lima cahaya mata itu memberitahu, keunikan di daerah itu terletak kepada keindahan alam semula jadi serta suasana desa yang masih kekal terpelihara sehingga kini. Tambah Azman, biarpun terhimpit dengan pembangunan pesat di sekitarnya seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun ia mengekalkan identitinya sebagai kampung di tengah-tengah kota. "Di sini kita masih boleh melihat rumah-rumah tradisional Melayu yang berdiri megah di kiri dan kanan jalan. "Jika musim buah pula, kawasan ini meriah dengan beraneka jenis buah-buahan tempatan," ujarnya.


Adat Perpatih

Terletak di kawasan seluas 840 kilometer persegi, Hulu Langat merupakan satu daripada sembilan daerah yang terdapat di Selangor. Ia terbahagi kepada tujuh mukim iaitu, Dusun Tua, Ampang, Cheras, Hulu Semenyih, Kajang, Semenyih dan Beranang.

Menurut cerita lisan, penduduk asalnya dipercayai terdiri daripada suku Orang Asli yang menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan berburu. Bagaimanapun, ketika Adat Perpatih mula berkembang di Negeri Sembilan, masyarakat Minangkabau dari negeri itu telah berhijrah ke Hulu Langat untuk memperluaskan pengaruh mereka. Melalui jalan air, mereka telah tiba dan menetap di sekitar Dusun Tua. Ketika itu, rata-rata penduduknya menjalankan kegiatan ekonomi pertanian secara komersial dan memasarkan hasil pertanian ke kawasan perdagangan terdekat seperti Jelebu.


Kemudahan yang lengkap memberi keselesaan kepada pengunjung di Air Terjun Sungai Gabai.

Kemajuan daerah itu dalam bidang pertanian turut menarik minat pedagang-pedagang Cina ketika pada era Yap Ah Loy. Mereka menggelarnya sebagai Air Hangat atau dalam loghat Cina disebut Air Langat berikutan kewujudan kolam-kolam air panas di sekitarnya.

Kini, Hulu Langat semakin pesat membangun. Penduduknya semakin bertambah dari setahun ke setahun. Bagi menampung keperluan itu, banyak taman perumahan dan lot-lot kedai serta perniagaan baharu turut dibuka.

Kemakmuran yang dinikmati di daerah itu juga menjadi rahmat kepada Jurifah Kadis, anak jati Kampung Jawa yang mengusahakan syarikat I.A.D.Z Enterprise. Memperkenalkan aneka bahulu moden berperisa pandan, bertih coklat dan cacpucino serta bahulu gulung di bawah jenama Bahulu Classique, ia merupakan ole-ole yang wajib dibawa pulang tatkala berkunjung ke daerah itu.

Wanita berusia 44 tahun itu berkata, sejak memulakan perniagaan itu pada tahun 2001, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama di sekitar Lembah Klang. "Sambutan yang tidak putus-putus dan di luar jangkaan, kadangkala menyebabkan ada dalam kalangan pelanggan terpaksa pulang dengan tangan kosong akibat kehabisan bahulu," katanya. Ditanya mengenai keistimewaan bahulunya, Jurifah berkata, ia masih mengekalkan resipi tradisional asli yang digabungkan dengan elemen kotemporari dan moden. "Aroma, rasa dan teksturnya masih sama, cuma kelainannya terletak kepada perisanya yang unik dan berbeza daripada bahulu biasa," jelasnya. Ujarnya, setiap pek yang mengandungi 40 biji bahulu dijual pada harga RM10. "Menariknya selain pek biasa, pelanggan juga boleh memilih untuk mengisinya di dalam bekas-bekas khas yang sesuai dijadikan hadiah." katanya.


Restoran terapung

Jika perut berasa lapar, usah bimbang kerana terdapat pelbagai gerai dan restoran di sekitar daerah ini yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa. Salah satu restoran yang boleh dicuba jika berkunjung ke sini ialah Teratak Ikan Bakar Sri Murni yang terletak di Batu 19, Kampung Jawa berhampiran lokasi perkelahan Air Terjun Sungai Gabai.

Beroperasi sejak 12 tahun yang lalu, restoran itu bukan sahaja menjadi tumpuan peminat-peminat ikan air tawar di negara ini, malah beberapa selebriti termasuklah Datuk Misbun Sidek. Pemiliknya, Anuar Amin, 49, berkata, terdapat beberapa pilihan ikan yang ditawarkan seperti patin, baung, siakap dan tilapia yang dihidangkan secara segar mengikut selera pelanggan.


Aneka hidangan yang lazat dan menyelerakan menggamit pengunjung ke Teratak Ikan Bakar Sri Murni.
"Setiap bulan kami menyediakan hampir dua tan ikan air tawar di restoran ini. Kesemuanya diperoleh daripada pengusaha-pengusaha di sekitar Hulu Langat," katanya.

Katanya lagi, keistimewaan restoran itu juga terletak kepada konsep terapung dan suasana rimba yang ditawarkan di sekelilingnya. "Selain menjamu selera, pelanggan juga berpeluang melihat ribuan ikan-ikan air tawar yang dipelihara di samping memberinya makan," ujarnya.

Dibuka setiap hari kecuali pada hari Khamis dari pukul 6 petang hingga 1 pagi, restoran itu yang mampu memuatkan lebih 250 orang pelanggan itu juga lengkap dengan kemudahan seperti tandas dan surau.






Sumber - Kosmo  Online - Horizon

Tiada ulasan:

Iklan