Ruang Iklan

Sabtu, 26 Mei 2012

Kelas Melukis Kartun


HARI ini aku ke Kelas Melukis Kartun yang berlangsung di Galeria Majlis Perbandaran Ampang, Menara MPAJ atas jemputan seorang rakan ofis, Azman Mat Noh. Kelas ini diadakan sempena projek amal yang diketuai oleh Zunar dan Kelab Kartun Independen.Ke Menara MPAJ dari rumah aku hanyalah 2.5 km. Rasanya rugi kalau tak datang.

Dari jam 8:30 pagi aku dan anak-anak dah sampai. Pendaftaran dan kelas dimulakan. Mulai jam 9:00 pagi tetamu lain mula datang.

Pelajaran yang diberi secara santai selama 3 jam ini amat berharga dan menyeronokan sehingga anak-anak bertanya, bila lagi kelas akan di adakan. Ia juga memberi memberi semangat kepada anak sulung aku untuk melukis.

Selain dari pelajaran percuma, peralatan melukis, makan dan minum juga di sediakan. Memang best laa..... "Free kan !!!"

Berbanyak Terima Kasih, aku nak ucapkan kepada Azman, Zunar dan geng kartun yang lain.

Harap-harap korang lebih 'power' untuk meneruskan perjuangan dan aku tetap memberi sokongan.

p/s : Teringat kata Zunar, terdapat ramai 'kartunis bisu'. Rasanya bukannya kartunis sahaja, malah ramai lagi yang lain bukan setakat bisu malah hanya mampu mengampu dan menjadi "Pak Turut".


Zunar (berbaju kuning) dan Azman Mat Noh (berbaju hitam) sedang memberi
penerangan bagaimana untuk menghasilkan mimik wajah kartun mengikut mood.
Selepas penerangan diberi, kanak-kanak diberi peluang untuk melukis.
Makanan, minuman dan peralatan melukis disediakan.
Kanak-kanak diberi peluang untuk menghasilkan bakat mereka.
Diakhir sesi, sempat juga bergambar kenangan bersama pelajar lain 
di samping memaparkan hasil seni mereka.











Isnin, 21 Mei 2012

Pemergian seorang rakan


Hari ini, aku dikejutkan dengan satu emel,

"Dukacita dimaklumkan iaitu Saudara Azizi Kamaruddin (Civil Department) telah kembali ke Rahmatullah pagi ini, 21.05.2012 jam 3.04 pagi bermusabab Sakit Jantung. Jenazah beliau akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Salak South selewat-lewat jam 11:00 pagi, marilah sama-sama kita doakan agar roh beliau dalam golongan orang-orang mukmin.. 
Amin.."

Walaupun aku tidak begitu rapat dengan Allahyarham Azizi, pemergiannya begitu terasa dan mengingatkan aku tentang penjagaan serta pengetahuan mengenai kesihatan.

Al-Fatihah...


Allahyarham Azizi bersama keluarga (berbaju hitam Aladdin) dan rakan.




Masa Untuk Emas

Lanjutan dari 'posting' aku semalam, Nilai Wang, Sebotol Kicap dan Emas ingin pula aku kongsikan sebuah buku yang ditulis oleh Azizi Ali bertajuk 'Masa Untuk Emas' menceritakan bagaimana untuk melabur dalam emas dengan tepat dan mengelak dari kesilapan-kesilapan yang besar.

Buku ni memang 'best', order je online.




p/s : Sebelum membuat sesuatu, ilmu pengetahuan kena ada.

Sabtu, 19 Mei 2012

Nilai Wang, Sebotol Kicap dan Emas


HARI ini, sedang makan-makan tengahari di rumah mertua, sambil mengunyah mata aku tertumpu ke botol Kicap Lemak Masin Kipas Udang.

Aku terpegun melihat tanda harganya. Wah... melampau betul harganya dah mencecah sehingga RM 5.70. Botol kecil tu.. Rasanya, macam baru beli (ntah bila ye ?) untuk botol besarpun cuma berharga RM 3.40 (eehhh.. betul ke ? ...tak perasanlak sebab masa berlalu begitu pantas begitu juga dengan nilai wang).

Tak kisahlah... kicap bukanlah makanan utama,
tak makan pun xhal, tapi yang aku persoalkan adalah nilai wang itu sendiri. Kalau harga kicap pun boleh mencacak naik, apatah lagi Emas atau Perak.

Hartanah xyah cerita, lagilah dasyat... Dasyat bukan kerana harga tapi kerana boleh dibeli oleh warga asing sewenangnya.

Teringat pula rakan-rakan offis yang kini sedang rancak dengan jual beli EMAS. Kalau nak cerita pasal jual beli emas ni, rasanya dah lama tetapi kian rancak sejak kebelakangan ini. Mungkin informasi dari internet dan kesedaran orang ramai.

Tak pasal2 akupun turut terjebak sama, terbeli emas Public Gold. Tapi jika difikirkan jadi agen lagi bagus sambil tu bolehlah tolong kekawan. 
Inilah yang aku tengah ushakan .....

Selamat Berjaya untuk aku dan rakan-rakan ...


Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru


HARI ini, 16 Mei telah dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi Malaysia.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

 
Logo Hari Guru

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.



Tema Hari Guru

Tema Hari Guru pada tahun ini  adalah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara".




Tema Hari Guru 2012

Selasa, 15 Mei 2012

Al-Rawsha - Jamuan Perpisahan buat Yusof



HARI ini aku ke Restoran Al-Rawsha untuk meraikan Majlis Jamuan Perpisahan untuk seorang rakan yang akan berhenti dari offis. Istimewanya, orang lain berhenti sebab dapat offer lebih tapi yang ni lain, berhenti kerana nak buat perniagaan sendiri, jadi 'taukey homestay' di Terengganu. 

Aku nak ucap tahniahlah sebab dapat keluar dari kepompong kekangan masa. Aku bila lagi ye ?.

Pasal rumah homestay tu nanti bolehlah aku ceritakan di lain 'posting'. Akupun dah menginap dan memang tip-top tempatnya.

Antara menu yang kami pesan ialah, Al-Rawsha Salad, Cheese Roll, Vegetable Roll, Lamb & Chicken Mandy, Pots (Milk Tea & Mint Tea) dan minumannya, Cordial Orange atau Manggo. Satu kepala kena charge RM31.00. 

Terkilan gak aku sebab 'Milk Tea' tak sampai ke meja aku, tapi mujurlah aku sempat meneguk di meja lain...sedap gaklah.. Itupun, dorang nak cilok, pesan barang tak sampai tapi dah 'charge'...

Lepas makan, sesi bergambar pula. Tak sangka Samsung Tab aku jadi sasaran. Ramai gak yang datang. Kalau tahu nak bergambar ramai cam ni, dah tentu aku bawa DSLR dengan lensa Wide Angle. Tapi jadilah, janji ada gambar. Apahalpun aku nak ucap terima kasih, bab bergambar korang memang 'sporting habis' dan pada Rosnina & geng juga kerana berusaha untuk mengwujudkan Jamuan ini.

Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai Restoran Al-Rawsya ni, sila klik di sini.

p/s - aku suka lagi di Tajine tapi service lembab.


Rupa Restoran Al-Rawha dari luar
Yusof yang bakal meninggalkan Technip
Antara menu yang di pesan
Antara yang hadir tapi tak mewakili semua sebab ada yang menyorok
Tu.. dia sambung lagi, sesi bergambar di luar pulak.

Untuk melihat gambar selebihnya, sila klik gambar di bawah.

Liku Alam - View my '20120515 - Al-Rawsha' set on Flickriver



Jumpa Lagi & Ceria Selalu !!! Ganu Kita !!


Sabtu, 12 Mei 2012

Selamat Hari Jururawat


Florence Nightingale
HARI ini, 12 Mei merupakan hari Sambutan Jururawat Antarabangsa yang disambut untuk menghargai sumbangan Jururawat kepada masyarakat. Pada bulan Januari 1974, keputusan telah dibuat untuk mengadakan sambutan ini pada setiap tahun, 12 Mei sempena ulang tahun kelahiran Florence Nightingale yang dianggap pengasas kejururawatan moden.

Tema sambutan hari jururawat pada tahun ini adalah "Closing the Gap: From Evidence To Action”.

Aku nak ucapkan selamat menyambut Hari Jururawat 2012 kepada semua jururawat. Agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dedikasi kepada pesakit.

Sentiasa bersabar dan tidak jemu untuk melayan kerenah pesakit. Jangan marah2 dan merungut .....


JURURAWAT KERJAYA MULIA

Rabu, 9 Mei 2012

Cuti Sekolah


Cuti Sekolah Pertengahan Tahun ini bermula dari 28 May sehingga 10 Jun. Cuti sekolah pasti memberi kegembiraan kepada anak-anak. Bagi anak-anak aku yang sudah terbiasa bercuti sudah pasti akan tertanya ke mana destinasi pilihan pada cuti kali ini.

Cuti sekolah kali ini, aku memang tiada perancangan disebabkan kesibukan kerja dan hal-hal peribadi.

Tapi mujurlah, secara kebetulan ada baucer lebih di beli dari 'MATTA FAIR' 
ditawarkan oleh Amirul

Satu tawaran menarik "Percutian 2 hari 1 malam di Hotel Thistle Port Dickson
berharga RM260 termasuk sarapan pagi dan ditambah RM50 untuk upgrade ke "Sea View".

Satu tawaran yang menarik. Apalagi terus grab lah .....

Tunggu catatan aku seterusnya mengenai Hotel Thistle dan sekitar Port Dickson.


Selasa, 8 Mei 2012

Rumah Terbalik !!!


SEJAK sekian lama, Sabah begitu sinonim dengan Gunung Kinabalu yang menjadi tarikan kepada ribuan pencinta alam semula jadi dan penggemar aktiviti lasak dari dalam dan luar negara.

Selain banyak lagi tarikan alam yang mewarnai dunia pelancongannya, pelancong kini mempunyai alasan lain untuk melawat ke negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Rumah Terbalik. Mungkin ia kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah keistimewaan sebuah binaan rumah yang terletak di Batu 21, Jalan Berungis - Tamparuli itu.

Di atas lakaran pelan, Rumah Terbalik kelihatan seperti kediaman biasa dilengkapi dua bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang makan, satu beranda, ruang dapur dan tandas. 
Rasa pelik dan kagum bersatu ketika melawat
bahagian-bahagian khas di dalam Rumah Terbalik.

Bezanya semua itu dibina secara terbalik iaitu dengan keadaan bumbung di bawah dan lantainya di atas.

Diiktiraf sebagai rumah terbalik pertama di negara ini, binaan yang berkeluasan 140 meter persegi itu dibina dengan kos sebanyak RM520,000 oleh usahawan Alexander Yee, yang mengusahakan sebuah penginapan pelancongan di Sukau, di sebelah pantai timur Sabah.

Pembinaannya mengambil masa hampir enam bulan dan melibatkan penyusunan struktur bumbung, dinding dan lantai yang diperkukuhkan dengan hiasan dalaman inspirasi masyarakat etnik Sino-Dusun dan Dusun.

Sebaik tiba di hadapan rumah, pengunjung pastinya tertarik apabila melihat garaj kereta yang menempatkan sebuah kereta Kancil dalam keadaan terbalik.

Jika itu belum membuatkan anda berasa kagum, apa kata jengah pula ke bahagian dalam rumah.

Simbol budaya

Sebelum itu, jangan lupa untuk memalu gong yang diletakkan di pintu masuk dan memberi salam sebagai simbol budaya masyarakat di negeri itu.

Sebaik sahaja melangkah ke ruang tamu, jangan terkejut kerana anda akan mendapati letak atur sofa, meja makan, rak buku, mesin jahit dan sebagainya yang seolah-olah tergantung di ruang siling.

Kereta Kancil yang berada dalam kedudukan terbalik dan tergantung ini pasti membuatkan
pengunjung berasa teruja untuk meneroka keseluruhan kawasan Rumah Terbalik.
Begitu juga tatkala menjengah ke bahagian dapur yang menempatkan peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi - semuanya berada dalam posisi yang sama manakala lampu dan kipas siling berada di lantai tempat anda berpijak.

Seperti berada di alam mimpi, semua itu adalah realiti yang bakal dilihat tatkala berkunjung ke situ. Menariknya, kesemua peralatan itu adalah asli dan bukannya replika.

Diiktiraf rumah terbalik pertama di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, ikon pelancongan terbaharu di Sabah itu diuruskan oleh Trekkers Lodge Sdn. Bhd.

Selain tarikan Rumah Terbalik, pengunjung juga boleh membeli-belah di Tamu, sebuah gerai cenderamata yang terletak berhampiran. 

Jika perut berasa lapar, ambil masa untuk berehat seketika sambil menikmati kepelbagaian makanan dan minuman yang disediakan di Kedai Kopi.

Apa tunggu lagi ?. Segeralah berkunjung ke Rumah Terbalik untuk mengisi masa pada hujung munggu ini.

Selesai melawat Rumah Terbalik, para pengunjung boleh singgah sebentar ke kedai
cenderamata ini untuk membawa pulang oleh-oleh.







Sumber - Kosmo ! Online

Isnin, 30 April 2012

Ragam ketika ber 'shopping'

Ketika berjalan-jalan dan membeli-belah, kebiasaanya aku akan merakam imej anak-anak. Korang lihatlah hasilnya.


20120303_20305520120303_20304520120303_20341620120303_20342520120303_20365820120303_203741
20120303_20390720120428_17111320120428_171138DSC_0080DSC_0081DSC_0082
DSC_0024DSC_0022DSC_0023

Ragam ketika ber 'shopping', a set on Flickr.






Sabtu, 21 April 2012

McDonald's - Chicken Muffin pada kos istimewa



HARI ini, aku bersarapan di McDonald's Pandan Mewah yang jaraknya cuma 700 meter dari rumah kerana nak merasa hidangan terbaru McDonald's iaitu Chicken Muffin dengan tawaran khas.

Hidangan yang menampilkan daging ayam yang digoreng hingga keemasan disajikan bersama kepingan keju berkrim dalam mufin ala Inggeris ditawarkan dengan kos istimewa pada harga RM2.50 untuk dua minggu saja. Tawaran khas ini terhad kepada empat pembelian dalam satu resit dan ia hanya sah dari 9 hingga 22 April di Restoran McDonald's terpilih untuk sarapan pagi saja.

Sarapan pagi McDonalds bermula dari jam 4 pagi hingga 11 pagi setiap hari.


Khamis, 19 April 2012

Nikon D3200 24.2 Megapixel

HARI ini, Nikon Malaysia melancarkan kamera digital SLR format DX, Nikon D3200 untuk peminat fotografi yang baru dalam bidang ini. Nikon D3200 merupakan model yang mempunyai kombinasi daripada teknologi pengimejan digital Nikon yang terbaik dan mudah dikendalikan. 

Nikon D3200 juga dilengkapi dengan sensor imej berkapasiti tinggi CMOS terbaru piksel efektif 24.2 Megapiksel, enjin pemperoses imej EXPEED 3 dan fungsi mod 'Guide' dengan kendali operasi yang mudah. 

Disamping pelancaran D3200, Nikon Malaysia juga memperkenalkan lensa NIKKOR AF-S 28mm f/1.8G dan "Wiereless Mobile Adapter WU-1a" yang membenarkan imej beresolusi tinggi yang dirakam oleh kamera Nikon D3200 untuk dikongsi dengan telefon pintar.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk, sila layari laman web www.nikon.com.my.

Rabu, 18 April 2012

Malaysia - Negara kaya air terjun yang mengagumkan


KHAZANAH alam semula jadi yang terdapat di negara kita cukup membanggakan, dari flora dan fauna, gunung, bukit-bukau, hutan hujan Khatulistiwa, pantai, pulau, tasik hinggalah ke sungai. Menikmati kesejukan air terjun dengan dikelilingi kehijauan alam semula jadi cukup mendamaikan.

Gelak tawa dan pelbagai aksi yang ditunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam atau hanya mandi di gigi air cukup menghiburkan.

Tekanan dan masalah yang dihadapi hilang, selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalaman membantu melegakan hati yang gundah.

Itulah yang dirasai saat berkunjung dan berkelah atau mandi-manda di lokasi air terjun yang memang menanti kedatangan pengunjung.

Setiap negeri memiliki air terjun tersendiri dan menjanjikan keseronokan sebagai destinasi percutian yang mempesona.

Justeru, bagi yang merancang percutian ke kawasan alam semula jadi, di sini disertakan beberapa air terjun yang menjadi tumpuan pelancong di negara ini.

UNIK...Air Terjun Maliau unik dan terkenal kerana
ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga.


Air Terjun Maliau, Sabah

Lembangan Maliau, Tawau, Sabah mempunyai 19 air terjun menjadikannya angka tertinggi direkodkan dalam satu kawasan di Malaysia.

Antara 19 air terjun itu, Air Terjun Maliau adalah yang paling terkenal kerana ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga. Ia diikuti Air Terjun Giluk, Air Terjun Gungseng, Air Terjun Sebandar, Air Terjun Takobakon dan Air Terjun Hulu Giluk.

Maliau bermaksud Gunung Tangga atau keruh dalam bahasa Murut. Diiktiraf sebagai Hutan Terlindung Kelas 1 pada 1997, Maliau kaya dengan hidupan liar dan sangat sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak termasuk mengenali burung dan merentas denai hutan.


Air Terjun Lata Berembun, Pahang

KEUNIKAN dan kecantikan air terjun Lata Berembun sudah lama menjadi bualan dan membuatkan sesiapa saja teringin menikmatinya.

Terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Lata Berembun adalah salah satu daripada tujuh air terjun di sekitar Gunung Benum dan ketujuh serta paling bawah.

Ketinggiannya adalah 3,000 kaki dari paras laut dan untuk ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan perjalanan sejauh 14km.

Air terjun setinggi 50 meter itu diberi nama Lata Berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun itu.


Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dengan ketinggian 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi ekopengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Uniknya, airnya bukan ‘terjun’ sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.

Bagi menikmati keindahan alam semula jadi di puncak air terjun itu, pengunjung boleh bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau di rumah rehat.

Deruan air terjun yang mengalir bagaikan suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.

Anda juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.

MEMPESONA...pemandangan Air Terjun Pelangi
yang mempesona dan menakjubkan.

Air Terjun Pelangi, Pahang

Terletak di Sungai Lembing, Kuantan, Air Terjun Pelangi satu lagi air terjun yang harus dikunjungi. Diberi nama Air Terjun Pelangi kerana kejadian pelangi yang terdapat di air terjun setinggi 50 meter yang cukup unik dan indah itu.

Berbekalkan hanya sinaran mentari, cahaya yang terbias melalui air terjun ini akan menghasilkan pelangi yang pelbagai bentuk dan lapisan berdasarkan kedudukan anda.

Namun ia hanya terbentuk pada sebelah pagi sahaja iaitu sekitar jam 8 hingga 11 pagi. Ketika berhadapan dengan air terjun itu, anda akan dapat merasai titisan kecil air terjun yang jatuh bertaburan dan cukup menakjubkan.

Untuk menikmati kesejukan air terjun yang mengalir deras dan keindahan alam semula jadi di situ, anda perlu meredah hutan selama lebih kurang 45 minit.


Air Terjun Lata Iskandar, Perak

Selain Lata Kinjang, satu lagi air terjun yang memukau di Perak ialah Air Terjun Lata Iskandar di pertengahan perjalanan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah, Perak.

Airnya yang sejuk dan mengalir deras sangat sesuai dengan lokasinya yang berhampiran tanah tinggi dan dikelilingi hutan semula jadi yang masih belum terusik.

Berkunjung ke situ, anda bukan saja boleh menikmati kesejukan airnya tetapi menikmati keindahan alam semula jadi yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

Di samping itu, anda boleh membeli pelbagai hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli di gerai kraftangan di kaki air terjun.


Air Terjun Telaga Tujuh dipercayai mejadi tempat mandi puteri
dari kayangan oleh penduduk setempat.

Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

Dipercayai sebagai tempat mandi puteri dari kayangan oleh penduduk setempat, Air Terjun Telaga Tujuh di Hutan Simpan Gunung Machinchang, Langkawi adalah destinasi popular di kalangan pelancong.

Ketujuh-tujuh telaga yang menjadi tarikan pengunjung berada bersebelahan antara satu sama lain seolah-olah disusun rapi secara berperingkat manakala perigi tertinggi berada kira-kira 250 meter dari aras laut.

Pengunjung perlu mendaki lebih 600 anak tangga untuk sampai ke kawasan telaga pertama untuk berkelah, mandi-manda, beristirahat serta melihat panaroma menarik kawasan gunung.


Air Terjun Gunung Ledang, Johor

GUNUNG Ledang tidak pernah sunyi dan sering dikunjungi baik pelancong tempatan atau luar negara.

Kejernihan air terjun yang mengalir segar pasti menawan sesiapa saja, apatah lagi apabila berpeluang menikmati kedinginan airnya yang tidak tercemar.

Ramai tidak akan melepaskan peluang berkelah di Kolam Puteri yang mempunyai daya tarikan luar biasa dengan air terjun setinggi 50 meter.

Dari jauh deruman air terjun mampu menghilangkan tekanan dan keletihan walaupun terpaksa berjalan kira-kira 200 meter ke kaki gunung berkenaan.


Air Terjun Jeram Toi, Negeri Sembilan

KEINDAHAN dan deruan air terjun bertingkat pasti menggamit setiap pengunjung yang melalui laluan antara Seremban ke Kuala Klawang, Jelebu untuk singgah menikmati alam semula jadinya.

Terletak hanya 30 kilometer dari Seremban, Hutan Lipur Jeram Toi di bawah pengawasan Jabatan Hutan Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang mendapat perhatian khusus di kalangan pelancong tempatan.

Air terjun setinggi beberapa tingkat itu masih terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya terutama flora serta fauna.

Selain aktiviti perkelahan, kawasan ini sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram melihat kawasan hutan, namun perlu mendapat bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan.


Antara air terjun di Malaysia yang boleh dikunjungi:

- Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu
- Air Terjun Sekayu, Terengganu
- Air Terjun Rek, Kelantan
- Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang
- Air Terjun Kionsom, Inanam, Sabah
- Air Terjun Jerangkang, Pahang
- Air Terjun Mahwah, Sabah
- Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
- Air Terjun Jeram Pasu, Kelantan
- Air Terjun Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan
- Air Terjun Chemerong, Terengganu







Sumber - MyMetro

Ahad, 15 April 2012

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13


HARI ini, aku ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk melihat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13 yang yang bakal berlangsung esok selama empat hari, dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang. Takala sampai di sini, aku lihat pekerja sedang sibuk dengan persiapan untuk mengadakan pameran dan persidangan.
 
Pameran peralatan polis dan keselamatan negara dijangka antara bakal menjadi tumpuan utama tahun ini dan dua dewan khas disediakan bagi tujuan demonstrasi barangan dan peralatan. Pameran statik dan dinamik tentera darat turut diadakan sepanjang empat hari pameran dengan pengisian acara menarik termasuk demonstrasi mobiliti oleh angkatan tentera darat. Di samping itu, Pusat Informasi Perolehan Pertahanan yang akan dibuka ketika pameran itu bukan hanya menjadi pusat informasi tetapi beberapa sesi taklimat berkonsepkan perkongsian pengetahuan mengenai proses dan prosedur perolehan pertahanan di kalangan negara jemputan.

Pameran ini hanya dibuka kepada semua tetamu VIP, pelawat perdagangan, anggota tentera dan pasukan keselamatan, pasukan kadet beruniform. penganalisis serta pemerhati pertahanan dari dalam dan luar negara manakala lawatan berkumpulan oleh pelajar Institut pengajian tinggi (PIT) yang berkenaan ialah pada 18 dan 19 April.
 
Pameran edisi ke-13 ini disertai oleh 850 syarikat termasuk 220 syarikat dari Malaysia, melibatkan tapak pameran seluas 40,000 meter persegi. Selain Malaysia, 13 negara akan menyertai DSA kali ini iaitu Australia, Brunei, India, Indonesia, Kemboja, Korea Selatan, Laos, Myanmar, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

Antara syarikat antarabangsa yang menyertai pameran pada tahun ini ialah ialah Amor and Force Protection (Amerika Syarikat), Sastind (China) serta TS Computers and Russia Technologies (Rosoboronexport) dari Russia.

Antara syarikat pertahanan tempatan pula ialah Amdac (M) Sdn Bhd, Boustead Heavy Industries Corp, Bry-Air Malaysia Sdn Bhd dan Deftech iaitu penyertaan terbesar dengan keluasan tapak pameran seluas 1,700 meter persegi.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon antara tarikan pengunjung.
Setelah puas melihat persiapan yang dijalankan, aku berjalan-jalan sambil merakam aksi anak di sekitar PWTC dengan kamera Canon Powershot G12. 

Liku Alam - View my '13th Defence Services Asia' set on Flickriver





Ahad, 8 April 2012

Gua Tempurung - Dinding Gua berkilau disuluh

Penerokaan di Gua Tempurung menjanjikan 1,001 
pengalaman yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
KEGELAPAN mungkin menakutkan bagi sesetengah orang. Namun, percayakah anda bahawa kegelapan juga membawa keindahan yang tersirat malah mampu merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang masih belum diterokai sepenuhnya?

Jika itu yang diinginkan, Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak menjanjikan 1,001 pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Terletak di antara Gopeng dan Kampar, kira-kira 36 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh, ia merupakan antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.

Berusia hampir 400 juta tahun, Gua Tempurung merupakan formasi batu kapur dan marmar terbesar di negeri Perak. Pembentukannya merupakan sebahagian daripada kehebatan Banjaran Titiwangsa.

Namanya diambil berdasarkan lima ruang besar kubah gua yang seolah-olah menyerupai bawah tempurung kelapa.

Bagi yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ, usah risah kerana kebanyakan laluan di kawasan curam dan bertebing telah dipasang tangga demi kemudahan serta keselamatan pengunjung.

Malah, bagi memudahkan pemerhatian, kawasan sekitarnya juga turut dihiasi lampu yang berwarna-warni di samping memberi mood untuk meneruskan penerokaan ke dalam gua.

Sepanjang berada di dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu marmar yang terdapat di kawasan sungai.

Pakej jelajah
Pengunjung boleh memilih beberapa pakej penjelajahan gua yang disediakan. Antaranya, pakej Golden Flowstone yang mengambil masa 40 minit, Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam). 

Bagi pakej Golden Flowstone, pengunjung berpeluang melihat keunikan dinding-dinding gua terhasil daripada pemadatan pasir-pasir halus seperti kristal. Dinding yang basah akan memberi kesan kilauan apabila terkena suluhan lampu suluh. 

Stalagmit yang mempunyai bentuk seakan-akan roket
 ini menjadi tarikan di Gua Tempurung.
Sementara itu, pakej Top of the World pada paras 125 meter dari paras laut membolehkan pengunjung melihat keunikan stalagmit dan stalaktit seperti batu tergantung, dinding langsir dan batu berombak.

Lebih mempesonakan, ada antara formasi batuan itu yang membentuk imej seakan-akan binatang seperti kepala kuda, anjing, ikan, udang laut, ikan lumba- lumba dan sotong.

Tidak kurang juga ada antaranya yang menyerupai bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia dan juga kenderaan. 

Kejutan yang paling mengujakan pengunjung adalah bentuk sebuah stalagmit yang besar menyerupai imej wanita mengandung berambut panjang. Ia seolah-olah sedang berdiri memegang perutnya.

Bagi yang gemarkan cabaran dan aktiviti lasak, boleh mengambil pakej Top of the World & Short River Adventure dan Grand Tour. 
 
Tiada kemudahan disediakan di situ kecuali trek yang sempit, kotor dan basah. 

Sepanjang pengembaraan itu, adakalanya, pengunjung perlu merangkak, menggelungsur, menyusur dan meniarap di sungai dan menyusup ke dalam lubang-lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ke tahap seterusnya.

Bagaimanapun, ia lebih menjamin kepuasan lebih-lebih lagi apabila berpeluang melihat keindahan bentuk muka buminya yang unik dan tersendiri.

Diuruskan oleh syarikat APT Consortium Sdn. Bhd., Gua Tempurung lengkap dengan pelbagai kemudahan asas. Antaranya, gerai makanan dan minuman, tandas dan bilik mandi, kawasan letak kenderaan serta khidmat pemandu pelancong.




Iklan