Ruang Iklan

Rabu, 18 April 2012

Malaysia - Negara kaya air terjun yang mengagumkan


KHAZANAH alam semula jadi yang terdapat di negara kita cukup membanggakan, dari flora dan fauna, gunung, bukit-bukau, hutan hujan Khatulistiwa, pantai, pulau, tasik hinggalah ke sungai. Menikmati kesejukan air terjun dengan dikelilingi kehijauan alam semula jadi cukup mendamaikan.

Gelak tawa dan pelbagai aksi yang ditunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam atau hanya mandi di gigi air cukup menghiburkan.

Tekanan dan masalah yang dihadapi hilang, selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalaman membantu melegakan hati yang gundah.

Itulah yang dirasai saat berkunjung dan berkelah atau mandi-manda di lokasi air terjun yang memang menanti kedatangan pengunjung.

Setiap negeri memiliki air terjun tersendiri dan menjanjikan keseronokan sebagai destinasi percutian yang mempesona.

Justeru, bagi yang merancang percutian ke kawasan alam semula jadi, di sini disertakan beberapa air terjun yang menjadi tumpuan pelancong di negara ini.

UNIK...Air Terjun Maliau unik dan terkenal kerana
ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga.


Air Terjun Maliau, Sabah

Lembangan Maliau, Tawau, Sabah mempunyai 19 air terjun menjadikannya angka tertinggi direkodkan dalam satu kawasan di Malaysia.

Antara 19 air terjun itu, Air Terjun Maliau adalah yang paling terkenal kerana ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga. Ia diikuti Air Terjun Giluk, Air Terjun Gungseng, Air Terjun Sebandar, Air Terjun Takobakon dan Air Terjun Hulu Giluk.

Maliau bermaksud Gunung Tangga atau keruh dalam bahasa Murut. Diiktiraf sebagai Hutan Terlindung Kelas 1 pada 1997, Maliau kaya dengan hidupan liar dan sangat sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak termasuk mengenali burung dan merentas denai hutan.


Air Terjun Lata Berembun, Pahang

KEUNIKAN dan kecantikan air terjun Lata Berembun sudah lama menjadi bualan dan membuatkan sesiapa saja teringin menikmatinya.

Terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Lata Berembun adalah salah satu daripada tujuh air terjun di sekitar Gunung Benum dan ketujuh serta paling bawah.

Ketinggiannya adalah 3,000 kaki dari paras laut dan untuk ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan perjalanan sejauh 14km.

Air terjun setinggi 50 meter itu diberi nama Lata Berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun itu.


Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dengan ketinggian 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi ekopengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Uniknya, airnya bukan ‘terjun’ sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.

Bagi menikmati keindahan alam semula jadi di puncak air terjun itu, pengunjung boleh bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau di rumah rehat.

Deruan air terjun yang mengalir bagaikan suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.

Anda juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.

MEMPESONA...pemandangan Air Terjun Pelangi
yang mempesona dan menakjubkan.

Air Terjun Pelangi, Pahang

Terletak di Sungai Lembing, Kuantan, Air Terjun Pelangi satu lagi air terjun yang harus dikunjungi. Diberi nama Air Terjun Pelangi kerana kejadian pelangi yang terdapat di air terjun setinggi 50 meter yang cukup unik dan indah itu.

Berbekalkan hanya sinaran mentari, cahaya yang terbias melalui air terjun ini akan menghasilkan pelangi yang pelbagai bentuk dan lapisan berdasarkan kedudukan anda.

Namun ia hanya terbentuk pada sebelah pagi sahaja iaitu sekitar jam 8 hingga 11 pagi. Ketika berhadapan dengan air terjun itu, anda akan dapat merasai titisan kecil air terjun yang jatuh bertaburan dan cukup menakjubkan.

Untuk menikmati kesejukan air terjun yang mengalir deras dan keindahan alam semula jadi di situ, anda perlu meredah hutan selama lebih kurang 45 minit.


Air Terjun Lata Iskandar, Perak

Selain Lata Kinjang, satu lagi air terjun yang memukau di Perak ialah Air Terjun Lata Iskandar di pertengahan perjalanan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah, Perak.

Airnya yang sejuk dan mengalir deras sangat sesuai dengan lokasinya yang berhampiran tanah tinggi dan dikelilingi hutan semula jadi yang masih belum terusik.

Berkunjung ke situ, anda bukan saja boleh menikmati kesejukan airnya tetapi menikmati keindahan alam semula jadi yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

Di samping itu, anda boleh membeli pelbagai hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli di gerai kraftangan di kaki air terjun.


Air Terjun Telaga Tujuh dipercayai mejadi tempat mandi puteri
dari kayangan oleh penduduk setempat.

Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

Dipercayai sebagai tempat mandi puteri dari kayangan oleh penduduk setempat, Air Terjun Telaga Tujuh di Hutan Simpan Gunung Machinchang, Langkawi adalah destinasi popular di kalangan pelancong.

Ketujuh-tujuh telaga yang menjadi tarikan pengunjung berada bersebelahan antara satu sama lain seolah-olah disusun rapi secara berperingkat manakala perigi tertinggi berada kira-kira 250 meter dari aras laut.

Pengunjung perlu mendaki lebih 600 anak tangga untuk sampai ke kawasan telaga pertama untuk berkelah, mandi-manda, beristirahat serta melihat panaroma menarik kawasan gunung.


Air Terjun Gunung Ledang, Johor

GUNUNG Ledang tidak pernah sunyi dan sering dikunjungi baik pelancong tempatan atau luar negara.

Kejernihan air terjun yang mengalir segar pasti menawan sesiapa saja, apatah lagi apabila berpeluang menikmati kedinginan airnya yang tidak tercemar.

Ramai tidak akan melepaskan peluang berkelah di Kolam Puteri yang mempunyai daya tarikan luar biasa dengan air terjun setinggi 50 meter.

Dari jauh deruman air terjun mampu menghilangkan tekanan dan keletihan walaupun terpaksa berjalan kira-kira 200 meter ke kaki gunung berkenaan.


Air Terjun Jeram Toi, Negeri Sembilan

KEINDAHAN dan deruan air terjun bertingkat pasti menggamit setiap pengunjung yang melalui laluan antara Seremban ke Kuala Klawang, Jelebu untuk singgah menikmati alam semula jadinya.

Terletak hanya 30 kilometer dari Seremban, Hutan Lipur Jeram Toi di bawah pengawasan Jabatan Hutan Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang mendapat perhatian khusus di kalangan pelancong tempatan.

Air terjun setinggi beberapa tingkat itu masih terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya terutama flora serta fauna.

Selain aktiviti perkelahan, kawasan ini sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram melihat kawasan hutan, namun perlu mendapat bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan.


Antara air terjun di Malaysia yang boleh dikunjungi:

- Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu
- Air Terjun Sekayu, Terengganu
- Air Terjun Rek, Kelantan
- Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang
- Air Terjun Kionsom, Inanam, Sabah
- Air Terjun Jerangkang, Pahang
- Air Terjun Mahwah, Sabah
- Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
- Air Terjun Jeram Pasu, Kelantan
- Air Terjun Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan
- Air Terjun Chemerong, Terengganu







Sumber - MyMetro

Tiada ulasan:

Iklan