Ruang Iklan

Sabtu, 12 Mei 2012

Selamat Hari Jururawat


Florence Nightingale
HARI ini, 12 Mei merupakan hari Sambutan Jururawat Antarabangsa yang disambut untuk menghargai sumbangan Jururawat kepada masyarakat. Pada bulan Januari 1974, keputusan telah dibuat untuk mengadakan sambutan ini pada setiap tahun, 12 Mei sempena ulang tahun kelahiran Florence Nightingale yang dianggap pengasas kejururawatan moden.

Tema sambutan hari jururawat pada tahun ini adalah "Closing the Gap: From Evidence To Action”.

Aku nak ucapkan selamat menyambut Hari Jururawat 2012 kepada semua jururawat. Agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dedikasi kepada pesakit.

Sentiasa bersabar dan tidak jemu untuk melayan kerenah pesakit. Jangan marah2 dan merungut .....


JURURAWAT KERJAYA MULIA

Rabu, 9 Mei 2012

Cuti Sekolah


Cuti Sekolah Pertengahan Tahun ini bermula dari 28 May sehingga 10 Jun. Cuti sekolah pasti memberi kegembiraan kepada anak-anak. Bagi anak-anak aku yang sudah terbiasa bercuti sudah pasti akan tertanya ke mana destinasi pilihan pada cuti kali ini.

Cuti sekolah kali ini, aku memang tiada perancangan disebabkan kesibukan kerja dan hal-hal peribadi.

Tapi mujurlah, secara kebetulan ada baucer lebih di beli dari 'MATTA FAIR' 
ditawarkan oleh Amirul

Satu tawaran menarik "Percutian 2 hari 1 malam di Hotel Thistle Port Dickson
berharga RM260 termasuk sarapan pagi dan ditambah RM50 untuk upgrade ke "Sea View".

Satu tawaran yang menarik. Apalagi terus grab lah .....

Tunggu catatan aku seterusnya mengenai Hotel Thistle dan sekitar Port Dickson.


Selasa, 8 Mei 2012

Rumah Terbalik !!!


SEJAK sekian lama, Sabah begitu sinonim dengan Gunung Kinabalu yang menjadi tarikan kepada ribuan pencinta alam semula jadi dan penggemar aktiviti lasak dari dalam dan luar negara.

Selain banyak lagi tarikan alam yang mewarnai dunia pelancongannya, pelancong kini mempunyai alasan lain untuk melawat ke negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Rumah Terbalik. Mungkin ia kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah keistimewaan sebuah binaan rumah yang terletak di Batu 21, Jalan Berungis - Tamparuli itu.

Di atas lakaran pelan, Rumah Terbalik kelihatan seperti kediaman biasa dilengkapi dua bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang makan, satu beranda, ruang dapur dan tandas. 
Rasa pelik dan kagum bersatu ketika melawat
bahagian-bahagian khas di dalam Rumah Terbalik.

Bezanya semua itu dibina secara terbalik iaitu dengan keadaan bumbung di bawah dan lantainya di atas.

Diiktiraf sebagai rumah terbalik pertama di negara ini, binaan yang berkeluasan 140 meter persegi itu dibina dengan kos sebanyak RM520,000 oleh usahawan Alexander Yee, yang mengusahakan sebuah penginapan pelancongan di Sukau, di sebelah pantai timur Sabah.

Pembinaannya mengambil masa hampir enam bulan dan melibatkan penyusunan struktur bumbung, dinding dan lantai yang diperkukuhkan dengan hiasan dalaman inspirasi masyarakat etnik Sino-Dusun dan Dusun.

Sebaik tiba di hadapan rumah, pengunjung pastinya tertarik apabila melihat garaj kereta yang menempatkan sebuah kereta Kancil dalam keadaan terbalik.

Jika itu belum membuatkan anda berasa kagum, apa kata jengah pula ke bahagian dalam rumah.

Simbol budaya

Sebelum itu, jangan lupa untuk memalu gong yang diletakkan di pintu masuk dan memberi salam sebagai simbol budaya masyarakat di negeri itu.

Sebaik sahaja melangkah ke ruang tamu, jangan terkejut kerana anda akan mendapati letak atur sofa, meja makan, rak buku, mesin jahit dan sebagainya yang seolah-olah tergantung di ruang siling.

Kereta Kancil yang berada dalam kedudukan terbalik dan tergantung ini pasti membuatkan
pengunjung berasa teruja untuk meneroka keseluruhan kawasan Rumah Terbalik.
Begitu juga tatkala menjengah ke bahagian dapur yang menempatkan peti sejuk, dapur memasak dan periuk nasi - semuanya berada dalam posisi yang sama manakala lampu dan kipas siling berada di lantai tempat anda berpijak.

Seperti berada di alam mimpi, semua itu adalah realiti yang bakal dilihat tatkala berkunjung ke situ. Menariknya, kesemua peralatan itu adalah asli dan bukannya replika.

Diiktiraf rumah terbalik pertama di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, ikon pelancongan terbaharu di Sabah itu diuruskan oleh Trekkers Lodge Sdn. Bhd.

Selain tarikan Rumah Terbalik, pengunjung juga boleh membeli-belah di Tamu, sebuah gerai cenderamata yang terletak berhampiran. 

Jika perut berasa lapar, ambil masa untuk berehat seketika sambil menikmati kepelbagaian makanan dan minuman yang disediakan di Kedai Kopi.

Apa tunggu lagi ?. Segeralah berkunjung ke Rumah Terbalik untuk mengisi masa pada hujung munggu ini.

Selesai melawat Rumah Terbalik, para pengunjung boleh singgah sebentar ke kedai
cenderamata ini untuk membawa pulang oleh-oleh.







Sumber - Kosmo ! Online

Isnin, 30 April 2012

Ragam ketika ber 'shopping'

Ketika berjalan-jalan dan membeli-belah, kebiasaanya aku akan merakam imej anak-anak. Korang lihatlah hasilnya.


20120303_20305520120303_20304520120303_20341620120303_20342520120303_20365820120303_203741
20120303_20390720120428_17111320120428_171138DSC_0080DSC_0081DSC_0082
DSC_0024DSC_0022DSC_0023

Ragam ketika ber 'shopping', a set on Flickr.






Sabtu, 21 April 2012

McDonald's - Chicken Muffin pada kos istimewa



HARI ini, aku bersarapan di McDonald's Pandan Mewah yang jaraknya cuma 700 meter dari rumah kerana nak merasa hidangan terbaru McDonald's iaitu Chicken Muffin dengan tawaran khas.

Hidangan yang menampilkan daging ayam yang digoreng hingga keemasan disajikan bersama kepingan keju berkrim dalam mufin ala Inggeris ditawarkan dengan kos istimewa pada harga RM2.50 untuk dua minggu saja. Tawaran khas ini terhad kepada empat pembelian dalam satu resit dan ia hanya sah dari 9 hingga 22 April di Restoran McDonald's terpilih untuk sarapan pagi saja.

Sarapan pagi McDonalds bermula dari jam 4 pagi hingga 11 pagi setiap hari.


Khamis, 19 April 2012

Nikon D3200 24.2 Megapixel

HARI ini, Nikon Malaysia melancarkan kamera digital SLR format DX, Nikon D3200 untuk peminat fotografi yang baru dalam bidang ini. Nikon D3200 merupakan model yang mempunyai kombinasi daripada teknologi pengimejan digital Nikon yang terbaik dan mudah dikendalikan. 

Nikon D3200 juga dilengkapi dengan sensor imej berkapasiti tinggi CMOS terbaru piksel efektif 24.2 Megapiksel, enjin pemperoses imej EXPEED 3 dan fungsi mod 'Guide' dengan kendali operasi yang mudah. 

Disamping pelancaran D3200, Nikon Malaysia juga memperkenalkan lensa NIKKOR AF-S 28mm f/1.8G dan "Wiereless Mobile Adapter WU-1a" yang membenarkan imej beresolusi tinggi yang dirakam oleh kamera Nikon D3200 untuk dikongsi dengan telefon pintar.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk, sila layari laman web www.nikon.com.my.

Rabu, 18 April 2012

Malaysia - Negara kaya air terjun yang mengagumkan


KHAZANAH alam semula jadi yang terdapat di negara kita cukup membanggakan, dari flora dan fauna, gunung, bukit-bukau, hutan hujan Khatulistiwa, pantai, pulau, tasik hinggalah ke sungai. Menikmati kesejukan air terjun dengan dikelilingi kehijauan alam semula jadi cukup mendamaikan.

Gelak tawa dan pelbagai aksi yang ditunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam atau hanya mandi di gigi air cukup menghiburkan.

Tekanan dan masalah yang dihadapi hilang, selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalaman membantu melegakan hati yang gundah.

Itulah yang dirasai saat berkunjung dan berkelah atau mandi-manda di lokasi air terjun yang memang menanti kedatangan pengunjung.

Setiap negeri memiliki air terjun tersendiri dan menjanjikan keseronokan sebagai destinasi percutian yang mempesona.

Justeru, bagi yang merancang percutian ke kawasan alam semula jadi, di sini disertakan beberapa air terjun yang menjadi tumpuan pelancong di negara ini.

UNIK...Air Terjun Maliau unik dan terkenal kerana
ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga.


Air Terjun Maliau, Sabah

Lembangan Maliau, Tawau, Sabah mempunyai 19 air terjun menjadikannya angka tertinggi direkodkan dalam satu kawasan di Malaysia.

Antara 19 air terjun itu, Air Terjun Maliau adalah yang paling terkenal kerana ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga. Ia diikuti Air Terjun Giluk, Air Terjun Gungseng, Air Terjun Sebandar, Air Terjun Takobakon dan Air Terjun Hulu Giluk.

Maliau bermaksud Gunung Tangga atau keruh dalam bahasa Murut. Diiktiraf sebagai Hutan Terlindung Kelas 1 pada 1997, Maliau kaya dengan hidupan liar dan sangat sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak termasuk mengenali burung dan merentas denai hutan.


Air Terjun Lata Berembun, Pahang

KEUNIKAN dan kecantikan air terjun Lata Berembun sudah lama menjadi bualan dan membuatkan sesiapa saja teringin menikmatinya.

Terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Lata Berembun adalah salah satu daripada tujuh air terjun di sekitar Gunung Benum dan ketujuh serta paling bawah.

Ketinggiannya adalah 3,000 kaki dari paras laut dan untuk ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan perjalanan sejauh 14km.

Air terjun setinggi 50 meter itu diberi nama Lata Berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun itu.


Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dengan ketinggian 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi ekopengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Uniknya, airnya bukan ‘terjun’ sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.

Bagi menikmati keindahan alam semula jadi di puncak air terjun itu, pengunjung boleh bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau di rumah rehat.

Deruan air terjun yang mengalir bagaikan suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.

Anda juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.

MEMPESONA...pemandangan Air Terjun Pelangi
yang mempesona dan menakjubkan.

Air Terjun Pelangi, Pahang

Terletak di Sungai Lembing, Kuantan, Air Terjun Pelangi satu lagi air terjun yang harus dikunjungi. Diberi nama Air Terjun Pelangi kerana kejadian pelangi yang terdapat di air terjun setinggi 50 meter yang cukup unik dan indah itu.

Berbekalkan hanya sinaran mentari, cahaya yang terbias melalui air terjun ini akan menghasilkan pelangi yang pelbagai bentuk dan lapisan berdasarkan kedudukan anda.

Namun ia hanya terbentuk pada sebelah pagi sahaja iaitu sekitar jam 8 hingga 11 pagi. Ketika berhadapan dengan air terjun itu, anda akan dapat merasai titisan kecil air terjun yang jatuh bertaburan dan cukup menakjubkan.

Untuk menikmati kesejukan air terjun yang mengalir deras dan keindahan alam semula jadi di situ, anda perlu meredah hutan selama lebih kurang 45 minit.


Air Terjun Lata Iskandar, Perak

Selain Lata Kinjang, satu lagi air terjun yang memukau di Perak ialah Air Terjun Lata Iskandar di pertengahan perjalanan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah, Perak.

Airnya yang sejuk dan mengalir deras sangat sesuai dengan lokasinya yang berhampiran tanah tinggi dan dikelilingi hutan semula jadi yang masih belum terusik.

Berkunjung ke situ, anda bukan saja boleh menikmati kesejukan airnya tetapi menikmati keindahan alam semula jadi yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

Di samping itu, anda boleh membeli pelbagai hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli di gerai kraftangan di kaki air terjun.


Air Terjun Telaga Tujuh dipercayai mejadi tempat mandi puteri
dari kayangan oleh penduduk setempat.

Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

Dipercayai sebagai tempat mandi puteri dari kayangan oleh penduduk setempat, Air Terjun Telaga Tujuh di Hutan Simpan Gunung Machinchang, Langkawi adalah destinasi popular di kalangan pelancong.

Ketujuh-tujuh telaga yang menjadi tarikan pengunjung berada bersebelahan antara satu sama lain seolah-olah disusun rapi secara berperingkat manakala perigi tertinggi berada kira-kira 250 meter dari aras laut.

Pengunjung perlu mendaki lebih 600 anak tangga untuk sampai ke kawasan telaga pertama untuk berkelah, mandi-manda, beristirahat serta melihat panaroma menarik kawasan gunung.


Air Terjun Gunung Ledang, Johor

GUNUNG Ledang tidak pernah sunyi dan sering dikunjungi baik pelancong tempatan atau luar negara.

Kejernihan air terjun yang mengalir segar pasti menawan sesiapa saja, apatah lagi apabila berpeluang menikmati kedinginan airnya yang tidak tercemar.

Ramai tidak akan melepaskan peluang berkelah di Kolam Puteri yang mempunyai daya tarikan luar biasa dengan air terjun setinggi 50 meter.

Dari jauh deruman air terjun mampu menghilangkan tekanan dan keletihan walaupun terpaksa berjalan kira-kira 200 meter ke kaki gunung berkenaan.


Air Terjun Jeram Toi, Negeri Sembilan

KEINDAHAN dan deruan air terjun bertingkat pasti menggamit setiap pengunjung yang melalui laluan antara Seremban ke Kuala Klawang, Jelebu untuk singgah menikmati alam semula jadinya.

Terletak hanya 30 kilometer dari Seremban, Hutan Lipur Jeram Toi di bawah pengawasan Jabatan Hutan Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang mendapat perhatian khusus di kalangan pelancong tempatan.

Air terjun setinggi beberapa tingkat itu masih terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya terutama flora serta fauna.

Selain aktiviti perkelahan, kawasan ini sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram melihat kawasan hutan, namun perlu mendapat bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan.


Antara air terjun di Malaysia yang boleh dikunjungi:

- Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu
- Air Terjun Sekayu, Terengganu
- Air Terjun Rek, Kelantan
- Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang
- Air Terjun Kionsom, Inanam, Sabah
- Air Terjun Jerangkang, Pahang
- Air Terjun Mahwah, Sabah
- Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
- Air Terjun Jeram Pasu, Kelantan
- Air Terjun Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan
- Air Terjun Chemerong, Terengganu







Sumber - MyMetro

Ahad, 15 April 2012

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13


HARI ini, aku ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk melihat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13 yang yang bakal berlangsung esok selama empat hari, dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang. Takala sampai di sini, aku lihat pekerja sedang sibuk dengan persiapan untuk mengadakan pameran dan persidangan.
 
Pameran peralatan polis dan keselamatan negara dijangka antara bakal menjadi tumpuan utama tahun ini dan dua dewan khas disediakan bagi tujuan demonstrasi barangan dan peralatan. Pameran statik dan dinamik tentera darat turut diadakan sepanjang empat hari pameran dengan pengisian acara menarik termasuk demonstrasi mobiliti oleh angkatan tentera darat. Di samping itu, Pusat Informasi Perolehan Pertahanan yang akan dibuka ketika pameran itu bukan hanya menjadi pusat informasi tetapi beberapa sesi taklimat berkonsepkan perkongsian pengetahuan mengenai proses dan prosedur perolehan pertahanan di kalangan negara jemputan.

Pameran ini hanya dibuka kepada semua tetamu VIP, pelawat perdagangan, anggota tentera dan pasukan keselamatan, pasukan kadet beruniform. penganalisis serta pemerhati pertahanan dari dalam dan luar negara manakala lawatan berkumpulan oleh pelajar Institut pengajian tinggi (PIT) yang berkenaan ialah pada 18 dan 19 April.
 
Pameran edisi ke-13 ini disertai oleh 850 syarikat termasuk 220 syarikat dari Malaysia, melibatkan tapak pameran seluas 40,000 meter persegi. Selain Malaysia, 13 negara akan menyertai DSA kali ini iaitu Australia, Brunei, India, Indonesia, Kemboja, Korea Selatan, Laos, Myanmar, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

Antara syarikat antarabangsa yang menyertai pameran pada tahun ini ialah ialah Amor and Force Protection (Amerika Syarikat), Sastind (China) serta TS Computers and Russia Technologies (Rosoboronexport) dari Russia.

Antara syarikat pertahanan tempatan pula ialah Amdac (M) Sdn Bhd, Boustead Heavy Industries Corp, Bry-Air Malaysia Sdn Bhd dan Deftech iaitu penyertaan terbesar dengan keluasan tapak pameran seluas 1,700 meter persegi.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon antara tarikan pengunjung.
Setelah puas melihat persiapan yang dijalankan, aku berjalan-jalan sambil merakam aksi anak di sekitar PWTC dengan kamera Canon Powershot G12. 

Liku Alam - View my '13th Defence Services Asia' set on Flickriver





Ahad, 8 April 2012

Gua Tempurung - Dinding Gua berkilau disuluh

Penerokaan di Gua Tempurung menjanjikan 1,001 
pengalaman yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
KEGELAPAN mungkin menakutkan bagi sesetengah orang. Namun, percayakah anda bahawa kegelapan juga membawa keindahan yang tersirat malah mampu merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang masih belum diterokai sepenuhnya?

Jika itu yang diinginkan, Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak menjanjikan 1,001 pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Terletak di antara Gopeng dan Kampar, kira-kira 36 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh, ia merupakan antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.

Berusia hampir 400 juta tahun, Gua Tempurung merupakan formasi batu kapur dan marmar terbesar di negeri Perak. Pembentukannya merupakan sebahagian daripada kehebatan Banjaran Titiwangsa.

Namanya diambil berdasarkan lima ruang besar kubah gua yang seolah-olah menyerupai bawah tempurung kelapa.

Bagi yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ, usah risah kerana kebanyakan laluan di kawasan curam dan bertebing telah dipasang tangga demi kemudahan serta keselamatan pengunjung.

Malah, bagi memudahkan pemerhatian, kawasan sekitarnya juga turut dihiasi lampu yang berwarna-warni di samping memberi mood untuk meneruskan penerokaan ke dalam gua.

Sepanjang berada di dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu marmar yang terdapat di kawasan sungai.

Pakej jelajah
Pengunjung boleh memilih beberapa pakej penjelajahan gua yang disediakan. Antaranya, pakej Golden Flowstone yang mengambil masa 40 minit, Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam). 

Bagi pakej Golden Flowstone, pengunjung berpeluang melihat keunikan dinding-dinding gua terhasil daripada pemadatan pasir-pasir halus seperti kristal. Dinding yang basah akan memberi kesan kilauan apabila terkena suluhan lampu suluh. 

Stalagmit yang mempunyai bentuk seakan-akan roket
 ini menjadi tarikan di Gua Tempurung.
Sementara itu, pakej Top of the World pada paras 125 meter dari paras laut membolehkan pengunjung melihat keunikan stalagmit dan stalaktit seperti batu tergantung, dinding langsir dan batu berombak.

Lebih mempesonakan, ada antara formasi batuan itu yang membentuk imej seakan-akan binatang seperti kepala kuda, anjing, ikan, udang laut, ikan lumba- lumba dan sotong.

Tidak kurang juga ada antaranya yang menyerupai bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia dan juga kenderaan. 

Kejutan yang paling mengujakan pengunjung adalah bentuk sebuah stalagmit yang besar menyerupai imej wanita mengandung berambut panjang. Ia seolah-olah sedang berdiri memegang perutnya.

Bagi yang gemarkan cabaran dan aktiviti lasak, boleh mengambil pakej Top of the World & Short River Adventure dan Grand Tour. 
 
Tiada kemudahan disediakan di situ kecuali trek yang sempit, kotor dan basah. 

Sepanjang pengembaraan itu, adakalanya, pengunjung perlu merangkak, menggelungsur, menyusur dan meniarap di sungai dan menyusup ke dalam lubang-lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ke tahap seterusnya.

Bagaimanapun, ia lebih menjamin kepuasan lebih-lebih lagi apabila berpeluang melihat keindahan bentuk muka buminya yang unik dan tersendiri.

Diuruskan oleh syarikat APT Consortium Sdn. Bhd., Gua Tempurung lengkap dengan pelbagai kemudahan asas. Antaranya, gerai makanan dan minuman, tandas dan bilik mandi, kawasan letak kenderaan serta khidmat pemandu pelancong.




Jumaat, 30 Mac 2012

Ayam Bakar Wong Solo, Bandar Sri Permaisuri


DAH lama aku teringin nak makan Ayam Bakar Wong Solo bersama rakan-rakan. Jadi, hari ni, aku angkut semua "Geng Makan" pergi ke Restoran Ayam Bakar Wong Solo yang terletak di Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri. Restoran ini terkenal dengan masakan Ayam penyet dan masakan asli Indonesia.

Terdapat banyak betul restoran di sini, antaranya,  Restoran Ani Sup Utara yang terkenal dengan Aneka jenis sup, nasi ayam, bubur dll, Restoran Yati Ayam Percik & Kelantan Delight yang terkenal dengan nasi kerabu dan ayam percik, Restoran Original Kayu Nasi Kandar yang terkenal dengan Makanan India Utara/Selatan serta menu tempatan, di buka 24jam dan banyak lagilah yang tak larat aku nak tulis ....

Selain deretan restoran di Dataran Dwitasik, terdapat juga deretan restoran di Jalan Sri Permaisuri 8 & 9 dan Danau Lumayan Avenue. Bukan itu saja, malah The Lake Avenue juga akan di buka kelak. Jenuh nak makan, banyak betul pilihan.

Hairan betul, kenapalah mereka guna Bahasa Inggeris.. Dah tak ada Bahasa Melayu yang sesuai lagi ke untuk nama tempat ?.

Berbalik ke Restoran Ayam Bakar Wong Solo, ia diasaskan oleh Puspo Wardoyo pada 1991 di Medan. Bagi aku, yang menarik mengenai Puspo Wardoyo adalah asalnya dari keluarga besar yang mengamalkan poligami. Selain beliau, bapa, abang dan adiknya mengamal poligami. Pemilik lebih dari 30 Restoran Ayam Bakar Wong Solo ini mempunyai 4 orang isteri membuatnya lebih dikenali sebagai Bapak Poligami Indonesia. Selain itu, yang menarik, adalah perinsipnya "Banyak istri, Banyak rejeki".

Mengenai konsep restoran, menu dan pekerjanya sekali di impot dari Medan. Suasana makan di sini agak menarik, boleh bersila atau duduk di kerusi. Selain itu, terdapat juga perbagai menu yang ada.

Kami pilih duduk bersila sebab nak santai. Menu pula, sebab nak mudah, kami pilih "Pakej Ekonomi 7 dalam 1. Terdapat Pakej, Ayam Bakar, Ayam Goreng, Ayam Penyet, Pecal Lele dan Empal Sapi dengan setiap satu berharga RM 10.90. Pendekata, makanan di sini memang sedap dan sesuai dengan selera aku.

Selepas makan, kami pergi ke Masjid Al-Najihin yang terletak berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat. Rasanya, selepas ini, tempat ini akan menjadi pilihan aku untuk menunaikan Solat Jumaat kerana keadaan yang selesa disamping dapat merasa pelbagai makanan yang ada di sekitar.

Keesokanya pula, aku bawa famili sebab nak berkongsi rasa kesedapan makanan yang aku kecapi sebentar tadi.
  
(P/S : Jika dilihat, agak mudah orang luar buat bisnes kat sini tapi kita masih tak pandai2, cuma pandai makan je lah..pass tu tulis blog ... aku lah tu ....) 
Inilah rupa Restoran Ayam Bakar Wong Solo di Bandar Sri Permaisuri
Geng Makan sedang bersantap
Ayam Bakar, sedapnya sehingga licin pinggan
ANTARA Menu yang menjadi pilihan



Menu untuk famili
Aku dan famili sedang menjamu selera







Khamis, 29 Mac 2012

Kompleks Falak Al-Khawarizmi


SEJAK sekian lama, Melaka menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan sejarah Kesultanan Melayu Melaka hingga kepada penjajahan Portugis, Inggeris dan Belanda. Beberapa kesan peninggalan sejarah seperti Kota A’Famosa, bangunan Stadhuys dan Bukit St. Paul terus menjadi aset utama pelancongan sehingga ke hari ini.

Tidak cukup dengan itu, beberapa tarikan baharu pelancongan turut dibangunkan seperti Jonker Walk, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Melaka Wonderland. Justeru, tidak hairanlah saban minggu atau cuti umum, negeri itu sentiasa sesak dengan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahan sejarah silam dan pelbagai ‘santapan baharu’ yang disediakan, tidak ramai yang mengetahui bahawa Melaka juga mempunyai pusat pelancongan astronomi yang tidak kurang menarik untuk dilawati.

Terletak di pesisir Pantai Tanjung Bidara, kira-kira 34 kilometer dari bandar Melaka, Kompleks Falak Al-Khawarizmi tersergam megah dan menggamit pengunjung yang mahu mengkaji serta meneroka kejadian serta rahsia alam cakerawala.

Tarikan akademik
Menurut Ketua Unit dan Promosi Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Mohd. Shahrul Nizam Abd Rahim, pembinaan kompleks di kawasan seluas 1.62 hektar itu bertujuan menyemarakkan aktiviti penyelidikan, pendidikan dan pelancongan dalam bidang astronomi di negara ini.

“Sejarah astronomi moden pada hari ini banyak berkaitan dengan perkembangan astronomi Islam terutama semasa Era Kegemilangan Islam sepanjang abad kelapan hingga ke-16.

“Bidang astronomi ketika itu benar-benar menjadi ikon sains Islam dan telah melahirkan ramai ilmuwan tersohor seperti al-Khawarizmi, al-Farghani, Muhammad Ibn Jabir al-Harrani al-Battani, Abd al-Rahman al-Sufi dan Ibn Yunus,” katanya.

Panorama keindahan Selat Melaka boleh disaksikan dari puncak anjung tinjau.
Mohd. Shahrul berkata, kompleks yang beroperasi pada tahun 2003 itu terbahagi kepada beberapa komponen utama seperti Balai Cerap, Planetarium dan Pusat Latihan Falak. Katanya, Balai Cerap setinggi empat tingkat tersebut menempatkan galeri pameran, pelantar cerapan dan anjung tinjau.

Berkonsepkan futuristik dan interaktif, pengunjung pasti terpesona melihat galeri pameran yang dibahagikan kepada empat zon utama iaitu Zon Interaktif Sistem Suria, Zon Astonomi Islam, Zon Penerokaan Angkasa Lepas dan Zon Langit Malam.

Antara keunikan yang boleh disaksikan di situ ialah batu meteor seberat 2.9 kilogram yang dijumpai di Afrika Selatan. Turut dipamerkan ialah beberapa instrumen bidang astronomi yang pernah digunakan oleh umat Islam satu ketika dahulu seperti Rubu Mujayyah, Astrolab, Jam Matahari dan Tongkat Istiwa serta teleskop terawal ciptaan Galileo Galilei.

Bagi yang meminati bidang angkasa lepas, bolehlah mencuba simulator kapal angkasa di samping melihat pameran replika kapal angkasa, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan model peralatan dan pakaian angkasawan. Sementara itu, anjung tinjau di tingkat satu menempatkan tiga buah teropong berkuasa tinggi yang membolehkan pengunjung melihat panorama Selat Melaka.

Mencerap bulan
Tambah Mohd. Shahrul, pengunjung ke kompleks itu juga berpeluang menyertai aktiviti cerapan langit malam yang diadakan di pelantar cerapan.
Menduga akal dengan pelbagai permainan interaktif yang disediakan di Planetarium.
“Teropong khas MEADE LX200 membolehkan pengunjung memerhatikan planet, cerapan anak bulan dan fenomena astronomi seperti gerhana bulan atau gerhana matahari. “Aktiviti yang bermula dari pukul 8 malam hingga 10 malam itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh-tarikh yang ditetapkan sahaja,” jelasnya.

Nadi kepada operasi kompleks itu terletak pada bahagian kubahnya. Ia menempatkan teleskop utama daripada jenis RCOS 24, lekapan Altazimut, stesen kaji cuaca, kamera CCD dan pemonitoran video serta sistem kawalan automasi.

Kedudukan kubah yang boleh bergerak sendiri pada 360 darjah mengikut arah jam atau lawan jam, dan bumbungnya yang boleh dibuka mengikut kedudukan teleskop jelas membuktikan kecanggihan teknologi yang digunakan. Tambahnya, salah satu tarikan lain di kompleks itu ialah Planetarium yang mampu memuatkan kira-kira 90 pengunjung. “Di sini, pengunjung boleh merasai impak sebenar filem format tiga dimensi (3D) dan tayangan simulasi langit yang mengaplikasikan imej digital bermutu tinggi. “Pada masa yang sama, pengunjung, khususnya kanak-kanak, boleh menguji minda ketika berkunjung ke ruang pameran dan permainan interaktif yang terletak berhampiran Planetarium,” jelasnya.

Sementara itu, Pusat Latihan pula dilengkapi kemudahan auditorium, makmal komputer, bilik kuliah, dewan serbaguna yang sesuai untuk acara seminar, mesyuarat dan kursus. Bagi pengunjung yang mahu bermalam, ia turut menawarkan penginapan jenis Dormitori, Semi Dorm, Semi Dorm Deluxe, Apartmen Superior dan Apartmen Executive Suite.

Seorang pengunjung, Mohd. Fakhrurazi Abd. Ghaffar, 29, mengakui teruja mengikuti pakej lawatan falak yang ditawarkan di kompleks itu. Lelaki itu memberitahu, pengalaman mengikuti aktiviti cerapan malam termasuk melihat planet Musytari dan Zuhrah dengan lebih dekat pastinya sukar dilupakan sampai bila-bila. 

Rasa bersyukur

“Selama ini, kebanyakan daripada kita tidak mengambil kisah mengenai perkara yang terdapat di langit sedangkan ia begitu cantik dan mempesonakan. “Setidak-tidaknya, apa yang dilihat membuatkan kita rasa bersyukur dan menghargai ciptaan Allah SWT,” katanya.

Ujarnya, pelbagai bahan pameran yang dipamerkan juga memberi maklumat yang berguna terutama mengenai sistem suria dan sejarah kegemilangan astronomi Islam suatu ketika dahulu. “Rubu’ Mujayyab misalnya, digunakan ketika mengembara untuk menentukan waktu solat, arah kiblat, ketinggian atau kedalaman objek, kedudukan matahari dan objek samawi.


“Akhirnya, kesemua ilmu itu terus berkembang di Barat sehingga membawa kepada penciptaan kapal angkasa, satelit dan penerokaan angkasa lepas seperti pada hari ini,” ujarnya.

Bagi Norhayati Anuara, 30, pengalaman meneroka dunia aeroangkasa di Kompleks Falak Al-Khawarizmi sesuatu yang menarik dan tidak boleh dilepaskan jika berkunjung ke Melaka.

Aktiviti cerapan malam 
membolehkan pengunjung 
meneroka keajaiban dan 
keindahan alam cakerawala.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, bahan pameran yang dipamerkan mudah difahami dan sesuai untuk golongan dewasa mahu pun kanak-kanak. “Ia tidaklah sekadar lawatan dan pameran semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aktiviti seperti tayangan video, permainan interaktif dan cerapan malam. “Ia menarik minat pengunjung khususnya generasi muda untuk mendalami bidang astronomi pada masa hadapan,” ujarnya. Norhayati berpendapat, kedudukan kompleks itu yang terletak berhampiran kawasan peranginan popular seperti Tanjung Bidara dan Pangkalan Balak menjadikannya pilihan pakej percutian yang lengkap.

“Selepas puas melawat kompleks ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkelah di kawasan pantai berhampiran,” katanya.



Sumber - Kosmo! Online - Horizon

Air Terjun Kota Tinggi


Keindahan alam semula jadi yang kekal terpelihara menggamit pengunjung ke Air Terjun Kota Tinggi.
BERDEPAN dengan kesesakan jalan raya serta hiruk-pikuk kehidupan di kota setiap hari pasti menbosankan. Bukan sahaja banyak masa dan tenaga dihabiskan dengan sia-sia, malah fikiran juga semakin kusut melihat pelbagai kerenah dan ragam warganya yang kadangkala menyakitkan hati.

Tidak hairanlah setiap kali tibanya hujung minggu kebanyakan warga kota lebih gemar meninggalkan 'hutan batu' di sekeliling mereka dan mencari lokasi-lokasi yang tidak sesak dan mendamaikan jiwa.

Bagi mereka yang masih tercari-cari lokasi percutian menarik untuk dikongsi bersama yang tersayang, ahli keluarga atau rakan terdekat, Air Terjun Kota Tinggi, Johor boleh dicatat dalam senarai pilihan.

Terletak kira-kira 16 km dari pekan Kota Tinggi atau 80 km dari Johor Bahru, ia merupakan lokasi ideal bagi pencinta alam semula jadi yang mahu beriadah sambil merehatkan minda.

Sebaik tiba, pengunjung pasti terpesona melihat kawasan air terjun yang tersergam indah di depan mata. Persekitarannya yang dikelilingi landskap hijau Hutan Simpan Panti dan keindahan puncak Gunung Muntahak, ibarat sebuah lukisan hidup yang membuatkan pengunjung leka serta mensyukuri kebesaran Tuhan. 

Bukan hanya mata yang terpesona menatap keindahan alam yang disajikan, telinga juga dengan cepat menangkap riak irama air terjun setinggi 34 meter itu. Udara segar yang menyapa dan diselang-seli dengan bunyi unggas berkicauan tentu saja memberikan ketenangan yang diinginkan.

Umpama sebuah taman tema air, pengunjung boleh memilih untuk berendam atau bermandi-manda di tiga jenis kolam yang disediakan. Setiap satunya mempunyai kedalaman berbeza iaitu sedalam 7.3 meter, 1.2 meter dan 0.9 meter. Keterujaan itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Pengunjung juga boleh mencuba bermain gelongsor air dan beberapa tarikan permainan lain yang disediakan.

Sejak dahulu lagi, Air Terjun Kota Tinggi menjadi destinasi perkelahan dan ekspedisi popular di Johor.

Kawasan sekitarnya juga lengkap dengan kemudahan tandas awam, surau, tempat persalinan dan pondok serta bangku rehat untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Jika perut berasa lapar, tuntutan selera mudah dilunaskan di beberapa gerai makanan dan minuman yang boleh dikunjungi berhampiran.

Kawasan air terjun itu sebenarnya bukan satu-satunya tarikan yang terdapat di lokasi rekreasi tersebut. Di sekitarnya, pengunjung boleh melihat beberapa monumen sejarah peninggalan Jepun suatu ketika dahulu. Menurut ceritanya, kawasan itu pernah menjadi petempatan askar Jepun kerana ia terletak berhampiran dengan sebuah lombong bijih besi.

Penginapan

Bagi yang ingin merasai suasana bermalam di dalam hutan sambil mendengar bunyian unggas, burung dan cengkerik, terdapat beberapa tempat penginapan yang disediakan bagi tujuan itu.

Antaranya ialah Kota Tinggi Waterfalls Resort yang menawarkan penginapan jenis bilik, calet, karavan, dorm dan khemah bergantung kepada bajet pengunjung. Setiap bilik lengkap dengan kemudahan pendingin hawa, kipas, peti ais mini, televisyen, bilik air, mandian air panas dan kemudahan membuat teh serta kopi.

Di samping itu, resort itu juga menyediakan kemudahan seperti kolam renang, bilik persidangan, gelanggang skuasy, kafe dan meja pool. Tidak sekadar menginap dan bermandi-manda, pihak resort juga menyediakan beberapa pilihan aktiviti seperti pengembaraan di dalam hutan, cabaran hutan, aktiviti berperang di dalam hutan dan kem bina diri.



Sumber - Kosmo Online ! Horizon

Isnin, 26 Mac 2012

Eagle Park Resort


Mencari Damai di Tengah Rimba

 
Resort ini menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang mencari ketenangan alam semula jadi.

Bosan dan penat melayari kehidupan yang sesak dengan kenderaan di tengah-tengah 'hutan batu' di kota metropolitan pasti akan membuatkan seseorang mahu mencari ketenangan di luar kawasan kota raya. Justeru, pencarian kawasan percutian yang tenang seperti hutan rimba yang dipenuhi dengan flora dan fauna akan mula dilakukan.

Antara lokasi percutian yang mampu memenuhi keperluan percutian anda adalah Eagle Park Resort yang terletak di Jalan Sungai Batu Pahat, Perlis. Ia merupakan sebuah lokasi percutian yang lengkap dengan ciri-ciri yang diimpikan oleh setiap pengunjung. 

Terletak di kawasan seluas kira-kira 10 hektar, Eagle Park Resort muncul sebagai satu-satunya resort rimba terbesar di utara Semenanjung sejak tiga tahun lalu.

Di sini, pengunjung dapat berehat sepenuhnya tanpa sebarang gangguan bunyi bising kenderaan. Lebih mengujakan apabila kawasan sekeliling resort 'meriah' dengan kicauan burung dan unggas hutan. Selain itu, gemersik deruan air mengalir dari sebatang sungai yang terletak di dalam kawasan resort ini membuatkan pengunjung berat hati untuk meninggalkannya. 

Lebih menarik resort ini menyediakan chalet, banglo dan asrama yang dibina di antara pokok-pokok dan berhampiran dengan sungai. Melewati sepanjang resort ini membuatkan sesiapa sahaja seolah-olah seperti berada di sebuah perkampungan pada zaman dahulu di mana sekelilingnya dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok yang merimbun kehijauan, selain menyajikan aroma rimba yang menyegarkan. 

Pengarah Urusan Eagle Park Resort, Mat Salim Mat Isa berkata, sekalipun resort ini terletak di dalam hutan, namun ia menjanjikan layanan sebaik hotel lima bintang. ''Kami mengalu-alukan tetamu sama ada yang datang untuk berehat bersama keluarga, rakan atau pun mana-mana syarikat yang ingin menganjurkan hari keluarga, seminar dan sebagainya," katanya.

Pengunjung boleh memilih untuk tinggal di chalet jenis standard, deluxe, villa, suite dan banglo royal suite yang bermula daripada harga RM90 hingga RM800 satu malam. Turut disediakan adalah penginapan jenis asrama untuk kumpulan ramai.

Menurut Mat Salim, antara kelebihan yang dimiliki resort ini adalah pengunjung berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik dari pokok hidup subur di dalam resort dan dusun berdekatan. ''Pengunjung juga berpeluang melawat Taman Herba, Ladang Anggur, Taman Ular, mandi-manda di Bukit Ayer atau bermain golf yang merupakan antara kemudahan terdapat berdekatan resort ini," katanya.

Kata beliau, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan barbeku untuk pengunjung yang mahu menganjurkan majlis itu bersama keluarga atau rakan-rakan. Selain itu, turut disediakan kemudahan bagi melakukan aktiviti jungle tracking dan padang kawad. 

Justeru, katanya, resort ini juga sesuai dijadikan sebagai lokasi untuk kem musim panas, ikhtiar hidup dan bina semangat. ''Resort ini juga menyediakan kemudahan untuk karaoke bersama hidangan bufet berharga RM10 setiap seorang mulai pukul 2 petang hingga 2 pagi, setiap hari," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Perlis termasuk meneroka Gua Kelam dan membeli-belah di Padang Besar. 

Dalam pada itu, Mat Salim menggesa pihak berkuasa supaya menyediakan lampu jalan untuk masuk ke kawasan resort ini sejauh dua kilometer dari jalan besar Sungai Batu Pahat. ''Sudah tiga tahun, masalah ini dikemukakan tetapi sehingga kini masih tidak menunjukkan sebarang tanda kerana ia penting untuk kemudahan pengunjung yang melalui kawasan ini pada waktu malam," katanya. Beliau berharap kemudahan itu dapat disediakan sejajar dengan hasrat pengurusan yang merancang untuk memperluaskan pasaran resort ini ke seluruh negara mulai tahun ini.




Sumber - Utusan Malaysia Online

Jumaat, 23 Mac 2012

Pelancungan Hijau di Kuala Selangor



Kisah seorang dayang istana yang dipancung di atas batu hampar dan darahnya disimbah di sekitar Kota Malawati akibat bermukah barangkali pernah didengar. Namun, pernahkah anda menyaksikan sendiri batu hampar dan kota bersejarah tersebut?.

Menurut kisah sejarah yang diceritakan dari zaman ke zaman, batu hampar itu berasal daripada batu tambatan bahtera yang kemudiannya dijadikan tempat sultan bermain dam. Ia juga dikatakan merupakan tempat bersemayam Sultan Abdul Samad untuk memerhatikan pekan Kuala Selangor semasa zaman pemerintahannya.

Itulah yang diberitahu oleh Pembantu Tadbir Unit Aduan Perhubungan Awam dan Korporat, Majlis Daerah Kuala Selangor, Maizura Mohamad Misrun yang mengiringi lawatan kumpulan media, para blogger dan kakitangan Pejabat Pelancongan Negeri Selangor di Bukit Malawati Sabtu lalu.

Maizura memberitahu, menurut kisah lama, batu hampar tersebut yang berukuran 5 x 5 kaki (1.5 x 1.5 meter) telah menjadi tempat seorang dayang istana dipancung akibat berzina sehingga menyebabkan sultan sangat murka.

“Selepas dipancung, darah dayang itu disimbah ke seluruh Kota Malawati yang dahulunya merupakan tempat penduduknya berniaga bagi memberi pengajaran kepada rakyatnya agar tidak bermukah dan menderhaka.


Batu hampar ini menyimpan pelbagai cerita yang membuatkan
para pencinta sejarah terpesona mendengarnya.


“Selepas kejadian itu, sebatang pokok dekat batu hampar ini dikatakan akan berdarah sekiranya ditoreh, seolah-olah terkena sumpahan selepas hukuman pancung dilaksanakan,” katanya.

Bagi melihat kesahihan kisah itu, beberapa blogger yang menyertai ekspedisi jelajah Kuala Selangor dilihat cuba menoreh batang pokok angsana itu dan ternyata ia mengalirkan getah berwarna kemerahan. Mungkin itulah yang diandaikan sebagai darah dayang tersebut.

Di Bukit Malawati juga terdapat tapak istana lama yang kini dibangunkan pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor dan Muzium Bersejarah Daerah Kuala Selangor yang menempatkan pelbagai artifak kesultanan negeri daripada tiga sultan yang pertama memerintah Selangor.

Kuil Sri Maha Mariamman merupakan kuil tertua di Kuala Selangor 
sedang dalam proses pengubahsuaian.

“Ketiga-tiga sultan Selangor iaitu Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Mahmud (1826-1857) disemadikan di Makam Diraja Kota Malawati di sini.

“Di dalam makam ini juga, terdapat Meriam Penggawa yang sentiasa dibalut dengan kain kuning. Ia ditemui di pinggir Sungai Buluh di selatan Kuala Selangor pada 23 September 1966. Nama asalnya ialah Petoi Boga bererti Puteri Putih,” jelasnya.

Sememangnya pencinta sejarah pasti menyukai Bukit Malawati. Antara lokasi lain yang boleh dikunjungi ialah Perigi Beracun yang terletak di hadapan muzium. Kononnya zaman dahulu, penderhaka akan ditempatkan di dalam perigi itu lalu air beracun diisi ke dalamnya sehingga paras dagu sebagai penyeksaan terhadapnya.


Menghayati alam

Di puncak Bukit Malawati juga terdapat sebuah rumah api yang masih berfungsi dengan baik. Ratusan ekor monyet jinak juga sedia dihampiri untuk diberi makan. Cuma awas, kerana ada antara monyet-monyet itu yang nakal dan berani mengacah-acah manusia! 

Dekat kaki bukit pula, terdapat Taman Ikan Air Tawar yang menempatkan akuarium ikan air tawar daripada pelbagai spesies seperti ikan kaloi, temakang, sepat, puyu, kelisa, toman dan belut.

Mereka yang menggemari aktiviti jelajah alam sekitar sambil melihat pelbagai spesies burung pula boleh berkunjung ke Taman Alam Kuala Selangor yang terletak bersebelahan dengan Bukit Malawati.

Menurut Pengurus Taman Alam Kuala Selangor, S.P. Maichal Isthyben, Taman Alam Kuala Selangor ibarat kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi pelbagai spesies burung yang lazimnya datang dari negara-negara seperti Rusia, Mongolia dan Siberia.

“Burung-burung ini berhijrah semasa musim sejuk ke New Zealand dan Australia dan akan melalui serta singgah di Taman Alam Kuala Selangor. Malah, ada antaranya akan terus menetap di sini kerana kekayaan sumber alam semula jadi yang ditawarkan di sini,” terangnya.

Menurut Maichal, selain sebagai lokasi residen dan persinggahan burung, Taman Alam Kuala Selangor juga menyimpan hutan paya bakau yang menjadi habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti kera, monyet dan ketam-ketam kecil. Ia juga bertindak sebagai penampan semula jadi daripada ribut dan ombak besar.

“Bakau mempunyai banyak kegunaan. Selain menjadi kawasan untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan, ia juga berkesan sebagai kawasan penyaring pencemaran, habitat unggas serta berpotensi dijadikan kawasan rekreasi,” katanya.

Menyedari kepentingan itu, kumpulan media dan blogger yang berkunjung ke lokasi itu tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti bermanfaat iaitu membersihkan kawasan hutan paya bakau berkenaan daripada sampah sarap.


Keindahan cahaya kelip-kelip

Sekiranya sudah penat dengan aktiviti jelajah waktu siang yang memerlukan banyak tenaga untuk bergerak, waktu malam adalah masa terbaik untuk merehatkan badan sambil menikmati keindahan cahaya kelip-kelip di Santuari Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Dibuka sejak tahun 1986, kawasan tersebut merupakan satu-satunya di Kuala Selangor bagi menyaksikan kumpulan besar kelip-kelip di habitat eksklusif serangga kecil tersebut iaitu pokok berembang.

Menurut Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azahari Sarin, terdapat dua lokasi santuari kelip-kelip di Kuala Selangor iaitu di Kampung Kuantan dan di kampung Bukit Belimbing.

“Di dunia ini, hanya terdapat dua kawasan yang menjadi habitat spesies kelip-kelip yang menyalakan cahayanya secara beritma. Selain di Kuala Selangor, lokasi yang satu lagi ialah di lembangan Amazon.

“Justeru, kita beruntung kerana dapat menikmati pengalaman ini tanpa perlu mengembara jauh dalam persekitaran yang selamat dan selesa,” katanya.
Azahari menambah, terdapat 30 buah sampan yang akan membawa pengunjung menyusuri tepian pokok berembang di sepanjang sungai yang menjadi tempat hinggapan kelip-kelip.

Setiap sampan hanya membawa empat orang pengunjung. Dengan membayar harga serendah RM10 seorang, mereka berpeluang melihat kelip-kelip selama kira-kira 20 minit.

“Waktu terbaik untuk melihat kelip-kelip adalah ketika langit gelap bermula pukul 7.30 malam sehingga santuari ditutup pada pukul 11 malam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kelip-kelip tidak muncul ketika musim hujan dan kurang ketika bulan terang. Justeru, pengunjung perlu memilih waktu yang sesuai untuk berkunjung ke santuari kelip-kelip. “Santuari ini dibuka sepanjang tahun dan paling banyak menerima pengunjung ketika musim perayaan.“Para pendayung juga diberi latihan berbahasa Inggeris, Jepun dan Arab untuk melayani pengunjung daripada pelbagai bangsa yang datang ke sini,” katanya.


Para pengunjung tidak sabar menunggu giliran untuk menaiki sampan
dan menyaksikan kelip-kelip dalam jarak dekat.






Sumber - Kosmo! Online - Horizon 


Iklan