Ruang Iklan

Khamis, 16 Ogos 2012

Nostalgia Malam Tujuh Likur

27 Ramadhan 1433H

Dah hampir sebulan berlalu, Ramadhan hampir ke penghujung. Kini sibuk pula dengan Malam Tujuh Likur di mana ada yang berpendapat ia disambut pada malam ke 20 Ramadhan iaitu 10 malam terakhir ramadhan bersempena menyambut Malam Lailatul Qadar.

Ada juga berpendapat malam ke 15 tetapi pada pengalaman aku sendiri, ia dimulakan pada malam 27 Ramadhan iaitu 3 malam terakhir Ramadhan.

Pada malam ini, cahaya pelita mula dinyalakan dan dibiarkan menyala sehingga malam menyambut Syawal. Ketika ini jugalah kanak-kanak sibuk menyucuh bunga api dan mercun menggunakan cahaya pelita. Manakala orang-orang dewasa sibuk menyiapkan persiapan untuk menyambut Syawal.

Kebiasaanya, penduduk rumah berdekatan akan bersatu tenaga menyediakan juadah. Kanak-kanak juga turut sama membantu antaranya, menumbuk gula mahupun tepung dengan menggunakan lesung kaki untuk penyediaan membuat dodol disamping mengacau dodol secara bergilir-gilir kerana ia mengambil masa yang panjang untuk masak.

Selain dodol, menganyam dan memasak ketupat serta menyediakan kuih raya turut dilakukan. Aktiviti yang pelbagai dan mengambil masa yang panjang ini mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

Mengingatkan Malam Tujuh Likur, menimbulkan nostalgia aku semasa kecil dimana mercun tarik diikat pada selipar, tayar basikal dan pintu pagar. Mercun akan meletup apabila selipar dipakai, basikal bergerak dan pintu pagar ditolak. Sikap melatah dan "terkejut beruk" kepada yang menjadi mangsa merupakan satu bahan dan suasana yang kelakar. Selain itu, bunyi dentuman yang kuat sehingga terasa gegaran akibat dari Bunyi Meriam Buluh sesekali kedengaran. Ini dilakukan oleh mereka yang lebih senior dari aku.

Satu lagi nostalgia, mungkin tidak ramai yang mengetahui wujudnya lagu "Malam Tujuh Likur" nyayian Maria Bachok & A.Ramlee. Sewaktu aku kecil dulu, lagu ini kerap berkumandang  di radio.

Selain pelita, terdapat juga Tradisi Memasang Punjut yang digunakan untuk menerangi jalan menuju ke surau atau masjid bagi menunaikan tarawih kerana suasana kampung yang begitu gelap yang mungkin membahayakan keselamatan. Ada juga yang membina pintu gerbang menggunakan bahan semula jadi dan terbuang seperti tin susu dan batang buluh berdasarkan kreativiti masing-masing. Tradisi  memasang panjut sepanjang Ramadan sebenarnya sebagai simbol meraikan bulan mulia itu dan menjadi penyeri setiap rumah kerana tiada kemudahan elektrik seperti hari ini.

Ermm .. seronoknya mengimbas masa silam.. rasanya hendak je aku kembali ke zaman itu tapi sayangnya suasana begitu tidak dirasai oleh generasi kini. Kalau adapun tidaklah semeriah dulu.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri di bulan kemerdekaan kepada semua.

Nostalgia lama sudah pasti menjelma apabila pulang beraya di kampung. Bersama kita sambut kedua-duanya (Raya & Kemerdekaan) pada acuan tempatan kita sendiri dan secara berterusan menyemarakkan nilai 'keluarga besar' Malaysia yang menjadi simbol perpaduan kita dalam komuniti rencam ini.



Tiada ulasan:

Iklan