Ruang Iklan

Isnin, 3 September 2012

Riang di Menara KL


Terletak gah di puncak Bukit Nanas iaitu 90 meter dari aras laut, Menara Kuala Lumpur merupakan salah satu ikon seni bina dan pelancongan di negara ini.

Namanya terus tersohor sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia sehingga mampu menarik kira-kira 800,000 pengunjung setiap tahun.

Jumlah pengunjung itu tidak termasuk mereka yang sekadar melawat di bahagian sekitar kaki menara.

Menyingkap kembali awal pembinaan pada tahun 1991 sehingga dibuka pada 1996, menara tersebut menjadi topik perbualan rakyat tempatan yang tidak sabar untuk 'memanjat' struktur setinggi 421 meter itu.

Ketika itu, apabila mendengar cerita daripada kawan-kawan yang telah berkunjung ke menara berkenaan, rasa tidak sabar pula untuk sama-sama menyaksikan kehebatannya.

Reka bentuk

Pelbagai cerita menarik didengari dan paling utama adalah pengalaman mereka menyaksikan keindahan bandar raya Kuala Lumpur di puncak awan.

Pada usia 16 tahun, populariti Menara Kuala Lumpur tidak pernah pudar, malah kini pelbagai tarikan baharu disediakan buat pengunjungnya.

Sebuah syarikat tempatan, Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., bertanggungjawab mereka bentuk menara itu yang dipengaruhi seni bina Islam. Ia juga mendapat sentuhan seni bina tempatan, Jerman dan Perancis.


Sejak tahun 1999, aktiviti ekstrem sukan BASE Jump menjadi aktiviti yang ditunggu-tunggu para peminatnya.

Hiasan dalaman menara yang berbentuk tirus dan tinggi itu dipengaruhi seni bina Islam yang bercirikan sentuhan Muqarnas dari Esfarhan, Iran.

Menara ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu tapak asas, kaki menara, tiang menara, kepala menara dan menara antena.

Seiring usianya, Menara Kuala Lumpur kini turut menerima perubahan termasuk dicat semula dengan warna lebih ceria serta dekorasi baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Zuraidah Mohd. Said, pengunjung biasanya meluangkan masa sehingga setengah hari bagi meneroka keunikan menara berkenaan.

"Selain menikmati keindahan panorama di sekitar Kuala Lumpur, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti lain.

"Menara Kuala Lumpur menawarkan pengunjung lawatan yang berkonsep kebudayaan, alam semula jadi dan aktiviti lasak," katanya.

Pengunjung Menara Kuala Lumpur akan disambut dengan persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional dan muzik lagu asli.

Pengunjung terutama dari luar negara pasti terpesona dengan keindahan seni tarian dan muzik tempatan.

Persembahan itu dilakukan setiap hari tetapi mengikut masa yang telah ditetapkan.

Tidak puas dengan persembahan tersebut, di kaki Menara Kuala Lumpur yang berkeluasan 2,029 meter persegi turut terletak Kampung Budaya 1Malaysia yang menawarkan pengalaman menyusuri replika rumah-rumah tradisional Malaysia.

Di sini, anda boleh menghayati persembahan tarian dan muzik kebudayaan yang melambangkan keunikan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia, semua di bawah satu bumbung.

Setelah puas menikmati tarian atau persembahan kebudayaan, anda boleh menikmati kelazatan makanan tradisional yang dibawakan khas dari negeri yang mengambil bahagian di kampung budaya itu.

Laluan pejalan kaki memudahkan pengunjung menikmati keunikan flora dan fauna di Hutan Simpan Bukit Nanas.

"Tahun ini, kita telah membawa negeri seperti Terengganu yang turut menawarkan produk keluaran negeri tersebut seperti cenderamata dan makanan tradisional.

"Sambutan yang kita terima daripada pengunjung amat positif dan menggalakkan," kata Zuraidah.

Alam semula jadi

Menara Kuala Lumpur merupakan satu-satunya menara di dunia yang terletak di tengah-tengah kehijauan hutan dara.

Pengunjung berpeluang menyusur laluan hutan secara percuma, melihat atau mengkaji keunikan flora dan fauna.

Khidmat pemandu pelancong berlesen juga turut disediakan.

Pastinya, anda akan terhibur dengan bunyi kicauan burung-burung atau melihat pokok-pokok yang berusia lebih 100 tahun.

Jika masih belum puas menikmati kehidupan alam binatang di hutan simpan berkenaan, Zoo Mini di menara berkenaan juga menghimpunkan pelbagai haiwan eksotik seperti ular sawa albino, penyu berkepala dua, monyet Capuchin dan beberapa mamalia serta reptilia lain.

Bagi yang membawa anak, menunggang kuda padi atau Pony Ride merupakan satu aktiviti yang popular di Menara Kuala Lumpur.

Aktiviti seperti terjunan menara amat dinanti-nantikan penggemar sukan ekstrem itu. Menara Kuala Lumpur adalah satu-satunya menara di dunia yang menganjurkan acara BASE Jump secara sah dan telah menjadi tuan rumah sejak tahun 1999.

Pengunjung boleh merasai debaran terjunan itu yang dilakukan di pelantar terbuka di ketinggian 300 meter.

Selain itu, para peminat perlumbaan Formula Satu (F1) boleh mengalami sendiri debaran saingan perlumbaan itu menerusi simulator kereta lumba F1 yang terletak di kaki menara.

Debaran gaya perlumbaan seperti kejohanan F1 pasti tidak akan dilepaskan para peminatnya.
Dengan bunyi dan visual seperti perlumbaan sebenar yang dipaparkan di kaca simulator pastinya aktiviti ini mengujakan kaki-kaki lumba kereta.

Menjamu selera

Kesemua aktiviti tersebut terutamanya aktiviti lasak pasti membuatkan perut terasa lapar atau sekurang-kurangnya ingin menikmati segelas minuman.

Para pelancong tidak perlu bimbang kerana anda boleh merasai pengalaman unik menjamu selera di restoran berputar tertinggi di Malaysia yang bertaraf enam bintang.

Rasai hidangan barat dan Malaysia yang enak sambil melihat pemandangan panorama 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur di Restoran Berputar Seri Angkasa dari pukul 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari.

Pelancong juga boleh menjamu selera di Megaview Banquet Hall yang boleh menampung 350 orang bagi sesuatu masa. Ruangan ini juga sesuai untuk penganjuran majlis perkahwinan, seminar atau pertemuan golongan korporat membuat perbincangan dalam suasana sunyi di puncak angkasa.


Sumber :- Utusan Online, Horizon

Tiada ulasan:

Iklan