Ruang Iklan

Sabtu, 28 Julai 2012

Majlis berbuka puasa di studio Pak Ngah - Awal Ramadhan


8 Ramadhan 1433H
 
HARI ini, aku berpeluang ke studio Pak Ngah di Setapak untuk meraikan majlis berbuka puasa yang diadakan bersempena awal atau pembuka Ramadan. Ini merupaka acara tetap yang diadakan pada setiap tahun.

Antara aktiviti yang diadakan adalah, berbuka puasa dengan kuih-muih, solat Magrib, makan malam, solat Tarawih. Menu makanan yang dihidangkan pada malam ini adalah, aneka kuih-muih seperti serta nasi briyani gam. 

Bagi mereka yang telah hadir ke rumah mertua aku ketika Majlis Perkahwinan dan Rumah Terbuka Hari Raya atas jemputan aku yang lepas, antaranya mengakui rasa nasi briayani serta ayam gorengnya memang sedap.

Selepas menunaikan solat Tarawih, mereka yang hadir akan berbual dan bercerita mengenai pengalaman serta permasalahan yang dilalui. Secara tidak langsung, ini dapat mengeratkan siratul rahim sesama sendiri.



Sabtu, 21 Julai 2012

1 Ramadhan

Alhamdulillah, 1 Ramadhan 1433H, tahun ini jatuh pada hari Sabtu. Jadi, ramailah berpeluang balik kampung untuk berbuka puasa bersama ibubapa dan keluarga di kampung. Bagi aku pula kalau hari biasapun tetap berbuka di rumah keluarga. Rasa lebih meriah apabila dah ramai duduk bersama dan melihat anak-anak yang berbuka puasa. Tapi gelagat anak-anak kecil yang tak puasa belebih-lebih la pulak.



Klang - Kota Lama



Menjejak kota Klang buat pertama kalinya dengan tujuan menjelajah aspek pelancongannya memberikan pandangan baharu terhadap bandar yang berpopulasi agak padat itu.

Tatkala melihat banyak pendatang asing melatari pekarangan pusat beli-belah dan stesen bas dan teksi di sekitar pusat bandar berkenaan, pasti tergambar di fikiran akan laporan-laporan media cetak mengenai kota lama itu yang kini ibarat ‘dijajah’ pendatang asing.

Namun, sekiranya anda meluangkan sedikit masa menyusuri laluan di dua kawasan bertentangan yang dipisahkan sebuah jalan utama menuju ke Pelabuhan Klang, banyak penemuan pelancongan yang menjamu mata.

Klang sebenarnya memiliki pemandangan yang indah terutamanya di sekitar Istana Alam Shah yang dijaga rapi dan dihiasi dengan taman-taman indah untuk pelbagai aktiviti rekreasi.

Untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai pembinaan istana berkenaan, Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz memberitahu, istana yang tersergam indah ibarat baharu itu sebenarnya dibina pada tahun 1905.

“Istana Alam Shah dibina sewaktu pemerintahan Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang kelima.

“Bangunan yang mempunyai 15 buah bilik ini direka dengan menggunakan kayu dan marmar, manakala segala kos pembinaan dan reka bentuk istana telah ditanggung sendiri oleh baginda,” katanya.

Tambah Norfiza, Sultan Alaiddin Sulaiman Shah bersemayam di situ selama 35 tahun sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1938. Di istana itu juga, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor yang ketujuh telah dilahirkan pada tahun 1926.

Bandar Diraja Klang mempunyai banyak tarikan pelancongan yang jarang diterokai pelancong tempatan.

“Awal tahun 2000, istana ini telah dinaik taraf iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,” katanya.

Pengunjung lazimnya datang beriadah di Taman Bandar Diraja yang terletak bersebelahan dengan Istana Alam Shah dan berdekatan dengan Bulatan Simpang Lima.

“Taman ini terletak di atas bukit yang mempunyai ketinggian 25 meter dari paras laut dan mempunyai keluasan 6.5 hektar serta merupakan mercu tanda Klang Bandar Diraja,” jelasnya.


Hadiah British

Dalam jarak kira-kira satu kilometer sahaja atau dua minit perjalanan memandu dari istana tersebut, terletaknya Masjid Diraja Sultan Suleiman yang kelihatan megah dengan kubah berwarna kuning diraja.

Menurut Norfiza, Masjid Diraja Sultan Suleiman pada mulanya diberi nama Masjid Suleiman Jamiur Rahman yang merupakan hadiah daripada kerajaan British kepada Sultan Suleiman pada abad ke-19.

“Kebiasaannya, Sultan Selangor akan datang bersembahyang bersama-sama rakyatnya pada hari Jumaat dan kemudiannya menziarahi pusara kerabat baginda yang bersemadi di situ.

“Masjid ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang dalam satu-satu masa,” terangnya lagi.

Selain Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang sebenarnya mempunyai beberapa masjid yang indah dan terletak berdekatan antara satu sama lain.

Contohnya, Masjid Bandar Diraja Klang terletak hanya kira-kira 2.5 kilometer dari Masjid Diraja Sultan Suleiman dan kira-kira dua kilometer dari Masjid India Muslim Tengku Kelana yang terletak di Jalan Tengku Kelana.

Jarak antara Masjid Bandar Diraja Klang yang terletak dekat dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di pinggir Sungai Klang dengan Masjid India Muslim Tengku Kelana juga terletak dalam jarak dua kilometer sahaja.

Norfiza memberitahu, Masjid India Muslim Tengku Kelana yang terletak di Jalan Tengku Kelana merupakan kawasan popular dalam kalangan kaum India kerana di situlah terletaknya kawasan perniagaan kaum tersebut yang dikenali sebagai Little India.

“Jalan Tengku Kelana merupakan tempat tumpuan membeli-belah bagi masyarakat India kerana majoriti peniaga di situ terdiri daripada kaum tersebut yang menjual barangan import dari India.

“Kemeriahan Little India ini paling dirasai apabila tibanya perayaan Deepavali dan perayaan-perayaan lain yang disambut oleh kaum India,” ujarnya.


Bekas markas tentera

Seterusnya, bagi melihat tinggalan sejarah dan artifak yang masih dipelihara, kunjungan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz (Galeri Diraja) Klang pasti memenuhi tuntutan pengisian pengetahuan.

Galeri berkenaan wujud hasil daripada buah fikiran Yang di-Pertuan Agong XI, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada tahun tahun 1988, dengan lokasi asalnya di Jalan Kota Raja, Syahbandaraya (Kampung Jawa) di Klang.


Bangunan kolonial klasik rekaan arkitek A.B. Hubback itu dibina pada tahun 1909. Ia pernah menempatkan pejabat pemerintah British, manakala pemerintah Jepun pernah menjadikannya sebagai markas tentera semasa Perang Dunia Kedua.


Banyak acara komuniti dijalankan di Jambatan Kota Klang.

“Setelah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki takhta pada tahun 2001, baginda telah menitahkan agar Bangunan Sultan Suleiman (yang dibina pada tahun 1909) dijadikan lokasi Galeri Diraja yang baharu.

“Pada 17 Oktober 2007, baginda telah merasmikan Galeri Diraja dan dibuka kepada umum pada 1hb. November tahun yang sama,” katanya.

Mereka yang pernah berkunjung ke pelbagai anjuran acara di atas Jambatan Kota Klang pasti mahu mengetahui sejarah pembinaan jambatan tersebut.

Ia telah dibina pada bulan Mei 1957 oleh sebuah Syarikat British, Dorman Long Bridge and Engineering Ltd.


Kisah jambatan

Jelas Norfiza, jambatan dua tingkat sepanjang 500 meter itu dibina dengan menggunakan struktur besi merentasi Sungai Klang bagi menjadi penghubung utama antara Bandar Klang Utara dan Klang Selatan. Ia pernah ditutup daripada digunakan orang ramai pada 21 Januari 1992.

“Jambatan Kota Lama diserahkan kepada MPK pada 1992. Pada tahun 1995 MPK telah membelanjakan sebanyak RM750,000 untuk menguatkan dan mengukuhkan struktur jambatan Kota Lama ini.

“Pada 20 November 1996, MPK telah membina 58 buah gerai cenderamata bagi menempatkan lebih ramai bumiputera berniaga di pusat bandar,” katanya sambil menambah pengubahsuaian itu siap sepenuhnya pada 17 Julai 1997 lantas menjadikan kewujudannya sebagai tarikan pelancongan di Klang.


Lokasi lawatan berikutnya adalah Tugu Peringatan Jubli Perak iaitu Taman Tugu Keris yang dibina di sempadan kawasan MPK. Ia dibina bagi memperingati sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Tugu Peringatan Jubli Perak yang
berbentuk sebatang keris melambangkan kuasa
dan kedaulatan raja-raja Melayu zaman silam.
“Tugu yang dirasmikan pada 30 September 1985 ini berbentuk sebilah keris, satu alat senjata yang melambangkan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu sejak zaman silam.

“Selain tugu, taman berkeluasan 0.6 hektar ini turut mempunyai kemudahan awam seperti gazebo, pancuran air, taman permainan kanak-kanak dan taman rekreasi untuk kegunaan pengunjung,” jelasnya.


Stesen kereta api

Dalam pada itu, salah satu tinggalan sejarah penting yang kian dilupakan di Klang ialah Stesen Kereta Api Port Swettenham yang kini merupakan Stesen Keretapi Pelabuhan Klang.

Menurut Norfiza, pelabuhan Port Swettenham telah wujud pada tahun 1900 dan dirasmikan setahun kemudian setelah selesainya pembinaan landasan kereta api dari Bandar Klang ke Kuala Lumpur.

“Dengan sebuah jeti penumpang dan tiga buah dermaga pelabuhan, Port Swettenham telah dirasmikan pada 15 September 1901 dan pentadbirannya diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Kereta Api.

“Nama pelabuhan ini diambil sempena nama Frank Swettenham yang telah membuka pelabuhan ini. Peranan asal pelabuhan ini adalah untuk dijadikan tempat memunggah barangan seperti kayu, beras, tepung, gula dan lain-lain.

Katanya, kini pelabuhan Port Swettenham telah dikenali sebagai Pelabuhan Klang yang merupakan sebuah pelabuhan negara yang terkemuka.

“Pelabuhan Klang kini meliputi tiga kawasan iaitu Southport, Northport dan Westport,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pelabuhan Klang yang terkenal dengan aktiviti perdagangan dan pelancongan turut memberi peluang kepada pelancong untuk mengunjungi dua buah pusat peranginan tempatan iaitu Pulau Ketam dan Tanjung Harapan.

Sumber - Kosmo Online

Jumaat, 20 Julai 2012

Selamat Menyambut Ramadhan 1433H

Pejam celik, ramadhan kembali lagi. Syukur, kerana kita diketemukan semula di bulan mulia ini. Ramadhan datang setahun sekali dan setiap tahun ianya berbeza mengikut umur dan amalan yang kita harus lakukan. Dengan umur yang bertambah, sebaiknya amalan juga bertambah berbanding di tahun lepas.

Sebaiknya gunakan peluang Ramadhan di tahun ini kerana berkemungkinan kita tidak menemuinya di tahun hadapan.

Berikut adalah sedikit info mengenai Ibadat Puasa.

Erti Puasa
Erti puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta menghindar dari melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari berserta dengan niat puasa.


Niat Puasa Ramadhan

Lafaz niat untuk sebulan puasa

 

Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala



Lafaz niat puasa (harian)



Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala



Doa Berbuka Puasa




Ya Allah Ya Tuhanku ! keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.


Syarat-syarat Wajib Puasa
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Waras
  4. Tidak Uzur
Syarat -syarat Sah Puasa
  1. Islam
  2. Suci dari haid atau nifas bagi perempuan
  3. Tidak perpuasa bagi bagi  hari-hari yang diharamkan berpuasa
  4. Niat
Perkara-perkara yang membatalkan Puasa
  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja.
  2. Muntah dengan sengaja.
  3. Keluar darah haid dan nifas bagi perempuan.
  4. Bersetubuh pada siang hari.
  5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
  6. Melahirkan anak.
  7. Murtad.
  8. Gila atau mabuk sepanjang hari.
  9. Berbuka puasa puasa sebelum terbenam matahari.


Ahad, 8 Julai 2012

Burger Kukus Jalan Rejang



Sedang aku melewati Bandar Baru Ampang, terserempak pula dengan Warung Burger Kukus. Di dalam kerancakan kewujudan Burger Bakar, terdapat pula Burger Kukus.

Aku terus singgah untuk mencuba dan menemubual empunya warung.

Menurut mereka, burger yang digunakan adalah dari Burger Ramlee. Burger tersebut di kukus selama lima minit, kemudian di bakar tanpa menggunakan minyak. Manakala sos cili, lada hitam dan mayonis disediakan mengikut resepi tersendiri. Mentega yang digunakan dicampur dengan bawang putih.

Burger Kukus Jalan Rejang atau dikenali dengan singkatan BKJR merupakan perniagaan Gerai Kecilan secara francais. Nama Jalan Rejang digunakan bersempena dengan perniagaan BKJR yang bermula di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya.

Setelah menikmati rasa burger dan oblong, bolehlah aku katakan burger ini sedap dan rasanya lain dari yang lain. Malahan harganya pun berpatutan. Aku sarankan burger lebih sedap dari oblong. Kalau tak percaya, marilah cuba.






Sabtu, 7 Julai 2012

Menjelajah kota pergunungan Himalaya

 
Barangan cenderamata dan pashmina boleh didapatkan di kawasan beli-belah yang
dinamakan Thamel di Durbar Marg.


KATHMANDU, ibu negara Nepal yang terletak pada ketinggian 1,400 meter dari paras laut didiami hampir tiga juta penduduk. Dengan keluasan 50.67 kilometer persegi, Kathmandu dirangkumi dua daerah di bawah pentadbiran yang sama iaitu Patan dan Bhaktapur.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kahtmandu mengambil masa selama empat jam setengah. Kathmandu terletak di lembah yang dikelilingi banjaran gunung terbentang luas bak saujana mata memandang.

Tidak ada bangunan pencakar langit di kota itu, malah 90 peratus daripadanya ialah bangunan yang dibina daripada bata merah dan struktur binaan lama seperti kuil, stupa serta peninggalan istana lama. Itulah uniknya Kathmandu dan Nepal.

Negara yang dihuni oleh penganut Hindu, Buddha, Sikh, Jai, Kristian dan Islam itu lebih mengamalkan budaya hidup India. Penduduk Islam hanyalah empat peratus daripada keseluruhan penduduk Nepal yang seramai 26 juta orang.

Bersempadan dengan China, India, Bhutan dan Pakistan yang dikelilingi banjaran Himalaya, cuaca sejuk yang ekstrem sudah menjadi kelaziman. Biarpun pada musim panas, suhu sejuknya masih boleh dirasai terutamanya pada waktu malam.


Televisyen LCD

Percutian saya ke sana bersama rakan-rakan media lain menaiki penerbangan Nepal Airlines dengan pesawat Boeing 757. Boleh dikatakan 70 peratus penumpang pesawat itu terdiri dalam kalangan pekerja Nepal yang berkhidmat di negara kita dan semuanya lelaki.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, rakyat Nepal yang berada di pesawat seolah-olah tidak sabar untuk turun dari pesawat.

Setelah menjalani pemeriksaan imigresen, mereka berkumpul untuk mendapatkan bagasi. Ternyata para pekerja Nepal yang bekerja di Malaysia, memborong televisyen LCD untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka. Hampir 40 penumpang membeli televisyen jenis itu.

Seperti biasa di mana-mana lapangan terbang, pemandu teksi berebut-rebut menawarkan perkhidmatan dengan harga yang murah. Sempat saya lihat insiden di kawasan parkir lapangan terbang apabila tiga pemandu teksi bertikam lidah sesama sendiri untuk mendapatkan pelanggan.


Islam di Kathmandu

Sebuah istana lama yang menjadi
peninggalan sejarah di Bakhtapur.
Sebagai agama minoriti di Nepal, sukar untuk kita melihat masjid di sana. Kebetulan hotel tempat kami tinggal di Durbar Marg iaitu Hotel Annapurna ada sebuah masjid yang besar di tepi jalan.

Pintu masuk masjid bukan seperti di negara kita, pagar yang luas dan boleh dimasuki kereta. Di sana, pintu masuknya hanyalah untuk dilepasi mereka yang berjalan kaki.

Masjid Jama yang boleh memuatkan hampir 500 jemaah dalam satu masa merupakan masjid yang paling besar di Kathmandu.

Saya berkesempatan menunaikan solat Jumaat di sana dan sama seperti mana-mana masjid, di luarnya terdapat ramai para pengemis menadah sedekah daripada para jemaah.

Uniknya, di tepi masjid terdapat seorang wanita yang menyediakan perkhidmatan menukar duit syiling untuk diberikan kepada peminta sedekah.


Biarpun di situ letaknya masjid paling besar di Kathmandu, masih agak sukar untuk menemui restoran yang menyediakan makanan halal di sekitar kawasan itu.

Apa yang ada hanyalah gerai-gerai tepi jalan yang menjual makanan halal. Begitupun saya percaya, jika anda melihat keadaannya, anda sanggup berlapar.


Catuan bekalan elektrik

Jika anda ke mana-mana bandar di Nepal khususnya Kathmandu, pasti anda akan berasa hairan kerana keadaan bandarnya yang malap pada malam hari.

Kathmandu bukanlah bandar neon seperti Seoul ataupun seperti di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kesuraman suasana malam di seluruh bandar adalah disebabkan catuan elektrik yang tidak mencukupi untuk diagihkan ke seluruh Nepal.

Nepal tidak mempunyai janakuasa elektrik sendiri dan terpaksa mengimport elektrik dari India. Bayarannya juga mahal, maka tidak hairanlah kalau ia dicatu.

Hotel empat bintang di Kathmandu juga berlaku bekalan elektrik terputus dalam tempoh beberapa saat dan minit pada siang hari. Sebagai langkah memudahkan penginap, setiap bilik hotel disediakan lampu suluh.

Walaupun keadaannya sebegitu, tidak bermakna Kathmandu sunyi pada malam hari. Kelab-kelab malam dan pub di kawasan Thamel yang dikunjungi pelancong asing hidup seperti biasa dengan hiruk-pikuk lagu-lagu.

Melihat panorama bandar Kathmandu dari ruangan udara melalui tingkap pesawat, kelihatan rumah-rumah bertingkat yang kebanyakan dibina daripada bata merah.

Bangunan rumah kebanyakannya berstruktur tiga hingga enam tingkat. Boleh dikatakan ketinggian bangunan di sana adalah setara dan tidak ada bangunan pencakar langit yang menonjol.

Hidangan nasi bersama lauk-pauk berasaskan kari merupakan juadah rutin orang Nepal selain capati.

Menurut tradisi masyarakat Nepal, pintu rumah yang diperbuat daripada kayu cengal haruslah rendah daripada ketinggian manusia. Ini bermakna untuk masuk ke rumah, mereka terpaksa menunduk agar tidak terhantuk kepala pintu.

Kata mereka pintu dibuat lebih rendah kerana untuk menunjukkan rasa hormat untuk masuk ke rumah.

Berkunjung ke Thamel

Jika ke Kathmandu, anda harus pergi ke kawasan beli-belah berkonsepkan kedai-kedai yang dinamakan Thamel. Ia terletak di Durbar Marg di tengah bandar Kathmandu.

Thamel yang dibuka sehingga pukul 8 malam mempunyai banyak jalan dan lorong. Jalannya agak sempit dan terdapat banyak barangan dan ole-ole yang boleh dibeli di situ.

Selain cenderamata, kemeja, kain sutera, pashmina, rantai, beg, permaidani, baju dan pelbagai aksesori lain, Thamel juga merupakan tempat kunjungan para pelancong backpackers yang lazimnya mengunjungi pub serta disko.

Orang Nepal agak ramah kerana mereka sudah biasa dengan pelancong dan anda tidak perlu risau dengan keselamatan di Thamel.

Sewaktu berkunjung ke Thamel, kami terpaksa berpisah untuk membeli barangan. Keadaan Thamel yang mempunyai banyak lorong dan kedai di sepanjang kiri dan kanan jalan menyukarkan kami untuk membeli-belah secara berkumpulan.

Nepal menggunakan mata wang rupee Nepal dan anda boleh membawa mata wang dolar Amerika dan kemudian tukar di pengurup wang di sana.


Makanan halal

Seseorang yang beragama Islam lazimnya akan menempah pakej percutian halal sepanjang berada di Nepal. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar membawa bekalan dari Malaysia seperti serunding, sambal bilis, sambal tempe, tuna dalam tin dan apa saja yang senang dibawa.

Halal menurut pemahaman orang tempatan adalah makanan yang bebas daripada babi. Bagi mereka (yang bukan Islam di Nepal) ayam yang tidak disembelih cara Islam adalah dianggap halal.

MASJID sukar ditemui di Nepal tetapi masjid terbesarnya iaitu Masjid Jama terdapat
di tengah bandar Kathmandu.

Ini bermakna kita akan dibawa ke restoran yang tidak menyediakan daging babi, tetapi tetap menyediakan ayam dan kambing.

Itulah masalahnya. Bagi mengelakkan daripada lapar, rombongan yang penulis sertai, makan sajalah sayuran bersama nasi. Orang Nepal memang makan nasi dan kebanyakan lauknya berkonsepkan kari.

Sayur kari, kual dal, sayur puri, ayam masala, kentang masala, papadum, puri bayam dan segala-galanya kari!

Cuma nasi di Nepal menggunakan beras gred A iaitu basmathi. Ada juga restoran yang menyediakan roti nan dan capati.

Kathmandu masih belum ada restoran yang dimiliki orang Islam yang menyediakan makanan halal seratus peratus seperti di China dan Australia.

Habuk dan penutup mulut

Jika anda berkunjung ke Nepal pada musim panas, angin bertiup agak kuat. Dalam keadaan jalan raya yang kurang terurus dan keadaan tepi jalan yang berpasir membuatkan keadaan sering berdebu di sana.

Saya lihat orang tempatan juga tidak tahan dengan debu dan terpaksa menutup mulut dan hidung ketika berjalan di bandar. Debu yang berterbangan anda boleh rasai dan lihat di mana-mana, biarpun dalam perjalanan luar dari Kathmandu.

Melalui pengamatan saya, debu datangnya daripada pasir tepi jalan. Keadaan tepi jalan yang dikorek untuk kerja-kerja pembinaan tidak diuruskan dengan baik menyebabkan tompokan pasir di pinggir jalan.


Sumber - Kosmo! Online - Horizon


Hentian selesa di bandar Lumut


Pemandangan di luar balkoni yang indah menghadap kolam renang
yang luas selain pemandangan laut yang terbentang luas.

Alangkah baiknya kalau waktu terluang dihabiskan bersama keluarga dalam persekitaran yang mengajak erti istirehat.

Momen itu tentunya mampu menenangkan minda dan memulihkan tenaga lantaran dapat meninggalkan rutin harian yang memenatkan atau memberi tekanan.

Bagi mereka yang bercadang menghabiskan tempoh percutian ke Lumut atau ke Pulau Pangkor, pastikan tidak melepaskan peluang untuk menginap di The Orient Star Resort di Perak.

Kawasan di pantai barat tersebut dahulunya dikenali sebagai perkampungan memancing tetapi kini ia telah dibangunkan menjadi sebuah pusat pelancongan menarik. Pelbagai keseronokan ditawarkan, sama ada melalui aktiviti beli-belah, beriadah, melakukan aktiviti pantai mahupun sekadar berjalan di sekitar kawasan hotel dan resort.

Kemudahan penginapan

Resort ini mempunyai sebanyak 150 bilik penginapan yang terdiri daripada sembilan buah Suite, 75 buah bilik Deluxe dan 66 buah bilik Superior yang mempunyai panorama laut dan persekitarannya.

Setiap bilik berkenaan menepati keperluan asas tetamunya seperti kemudahan membuat teh dan kopi, Astro, talian internet, telefon dail terus antarabangsa (IDD), bar mini, produk penjagaan tubuh di kamar mandi, seterika dan pengering rambut.

Antara perkhidmatan bernilai tambah yang disediakan di luar bilik adalah dobi, sistem keselamatan 24 jam, ruang letak kenderaan dan perkhidmatan kurier.

Selain menjadi pilihan penginapan, resort ini turut menawarkan dewan serba guna (ballroom) dan bilik persidangan yang menampung kapasiti mengikut keperluan pelanggan.

Intan Ballroom adalah ruang dewan yang paling luas yang mampu menampung kapasiti 500 orang. Bilik-bilik lain ialah Intan I, Intan II, Intan III, Bintang I, Bintang II dan Kristal I.

Kapasiti adalah bergantung kepada majlis dan letak tempat duduk iaitu sama ada susunan teater, makan malam, mesyuarat, kelas dan tempat duduk susunan U.

Menjamu selera

Susun atur ruang tamu ringkas, luas dan kemas memberikan
gaya penginapan yang mirip dengan keselesaan di rumah sendiri.

Untuk menjamu selera pula, selain menyediakan servis pesanan dan penghantaran makanan ke bilik, Tiara Coffee House dan Nilam Bistro turut menggamit pelanggan. Masing-masing mampu menampung seramai 200 dan 80 orang tetamu dan sedia menghidangkan pelbagai seleksi masakan sama ada tradisional tempatan, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun.

Hidangan stimbot turut disediakan untuk makan tengah hari dan malam pada harga RM25 seorang dan minimum dua orang.

Sajian menu yang disediakan adalah hirisan isi ayam, ikan, sotong, aneka bebola makanan laut, udang, sayur-sayuran, mi dan bihun yang disajikan dalam sup ayam atau tom yam yang menyelerakan.

Teh Cina atau minuman kordial dan buah-buahan pencuci mulut turut disediakan sebagai pelengkap hidangan.

Pada setiap hari Sabtu, bermula pukul 2.30 hingga 6.30 petang, Nilam Bistro menyediakan hidangan minum petang secara bufet pada harga RM18 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Pelbagai menu disediakan seperti nasi goreng, ayam goreng, sandwic, mi, laksa, cucur goreng dan ais batu campur selain pelbagai juadah pencuci mulut seperti pastri, kek, agar-agar dan buah-buahan.

Lebih istimewa, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian The Singing Chef oleh chef restoran yang berbakat.

Dalam pada itu, tetamu yang inginkan sesi rekreasi bagi mengisi masa lapang boleh menyertai aktiviti trek hutan, bola pantai, berenang di kolam renang, gim, bermain karom dan permainan papan dan berbasikal.




Sumber - Kosmo Horizon

Selasa, 3 Julai 2012

Nisfu Syaaban


Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.
 
Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya. 

Untuk maklumat lanjut, mengenai Maksud Nisfu Syaaban dan Fadhilat di Bulan Syaaban sila ke laman berikut :-

Catatan berkaitan :-

Iklan