Ruang Iklan

Sabtu, 7 Julai 2012

Hentian selesa di bandar Lumut


Pemandangan di luar balkoni yang indah menghadap kolam renang
yang luas selain pemandangan laut yang terbentang luas.

Alangkah baiknya kalau waktu terluang dihabiskan bersama keluarga dalam persekitaran yang mengajak erti istirehat.

Momen itu tentunya mampu menenangkan minda dan memulihkan tenaga lantaran dapat meninggalkan rutin harian yang memenatkan atau memberi tekanan.

Bagi mereka yang bercadang menghabiskan tempoh percutian ke Lumut atau ke Pulau Pangkor, pastikan tidak melepaskan peluang untuk menginap di The Orient Star Resort di Perak.

Kawasan di pantai barat tersebut dahulunya dikenali sebagai perkampungan memancing tetapi kini ia telah dibangunkan menjadi sebuah pusat pelancongan menarik. Pelbagai keseronokan ditawarkan, sama ada melalui aktiviti beli-belah, beriadah, melakukan aktiviti pantai mahupun sekadar berjalan di sekitar kawasan hotel dan resort.

Kemudahan penginapan

Resort ini mempunyai sebanyak 150 bilik penginapan yang terdiri daripada sembilan buah Suite, 75 buah bilik Deluxe dan 66 buah bilik Superior yang mempunyai panorama laut dan persekitarannya.

Setiap bilik berkenaan menepati keperluan asas tetamunya seperti kemudahan membuat teh dan kopi, Astro, talian internet, telefon dail terus antarabangsa (IDD), bar mini, produk penjagaan tubuh di kamar mandi, seterika dan pengering rambut.

Antara perkhidmatan bernilai tambah yang disediakan di luar bilik adalah dobi, sistem keselamatan 24 jam, ruang letak kenderaan dan perkhidmatan kurier.

Selain menjadi pilihan penginapan, resort ini turut menawarkan dewan serba guna (ballroom) dan bilik persidangan yang menampung kapasiti mengikut keperluan pelanggan.

Intan Ballroom adalah ruang dewan yang paling luas yang mampu menampung kapasiti 500 orang. Bilik-bilik lain ialah Intan I, Intan II, Intan III, Bintang I, Bintang II dan Kristal I.

Kapasiti adalah bergantung kepada majlis dan letak tempat duduk iaitu sama ada susunan teater, makan malam, mesyuarat, kelas dan tempat duduk susunan U.

Menjamu selera

Susun atur ruang tamu ringkas, luas dan kemas memberikan
gaya penginapan yang mirip dengan keselesaan di rumah sendiri.

Untuk menjamu selera pula, selain menyediakan servis pesanan dan penghantaran makanan ke bilik, Tiara Coffee House dan Nilam Bistro turut menggamit pelanggan. Masing-masing mampu menampung seramai 200 dan 80 orang tetamu dan sedia menghidangkan pelbagai seleksi masakan sama ada tradisional tempatan, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun.

Hidangan stimbot turut disediakan untuk makan tengah hari dan malam pada harga RM25 seorang dan minimum dua orang.

Sajian menu yang disediakan adalah hirisan isi ayam, ikan, sotong, aneka bebola makanan laut, udang, sayur-sayuran, mi dan bihun yang disajikan dalam sup ayam atau tom yam yang menyelerakan.

Teh Cina atau minuman kordial dan buah-buahan pencuci mulut turut disediakan sebagai pelengkap hidangan.

Pada setiap hari Sabtu, bermula pukul 2.30 hingga 6.30 petang, Nilam Bistro menyediakan hidangan minum petang secara bufet pada harga RM18 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Pelbagai menu disediakan seperti nasi goreng, ayam goreng, sandwic, mi, laksa, cucur goreng dan ais batu campur selain pelbagai juadah pencuci mulut seperti pastri, kek, agar-agar dan buah-buahan.

Lebih istimewa, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian The Singing Chef oleh chef restoran yang berbakat.

Dalam pada itu, tetamu yang inginkan sesi rekreasi bagi mengisi masa lapang boleh menyertai aktiviti trek hutan, bola pantai, berenang di kolam renang, gim, bermain karom dan permainan papan dan berbasikal.




Sumber - Kosmo Horizon

Tiada ulasan:

Iklan