Ruang Iklan

Sabtu, 7 Julai 2012

Menjelajah kota pergunungan Himalaya

 
Barangan cenderamata dan pashmina boleh didapatkan di kawasan beli-belah yang
dinamakan Thamel di Durbar Marg.


KATHMANDU, ibu negara Nepal yang terletak pada ketinggian 1,400 meter dari paras laut didiami hampir tiga juta penduduk. Dengan keluasan 50.67 kilometer persegi, Kathmandu dirangkumi dua daerah di bawah pentadbiran yang sama iaitu Patan dan Bhaktapur.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kahtmandu mengambil masa selama empat jam setengah. Kathmandu terletak di lembah yang dikelilingi banjaran gunung terbentang luas bak saujana mata memandang.

Tidak ada bangunan pencakar langit di kota itu, malah 90 peratus daripadanya ialah bangunan yang dibina daripada bata merah dan struktur binaan lama seperti kuil, stupa serta peninggalan istana lama. Itulah uniknya Kathmandu dan Nepal.

Negara yang dihuni oleh penganut Hindu, Buddha, Sikh, Jai, Kristian dan Islam itu lebih mengamalkan budaya hidup India. Penduduk Islam hanyalah empat peratus daripada keseluruhan penduduk Nepal yang seramai 26 juta orang.

Bersempadan dengan China, India, Bhutan dan Pakistan yang dikelilingi banjaran Himalaya, cuaca sejuk yang ekstrem sudah menjadi kelaziman. Biarpun pada musim panas, suhu sejuknya masih boleh dirasai terutamanya pada waktu malam.


Televisyen LCD

Percutian saya ke sana bersama rakan-rakan media lain menaiki penerbangan Nepal Airlines dengan pesawat Boeing 757. Boleh dikatakan 70 peratus penumpang pesawat itu terdiri dalam kalangan pekerja Nepal yang berkhidmat di negara kita dan semuanya lelaki.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, rakyat Nepal yang berada di pesawat seolah-olah tidak sabar untuk turun dari pesawat.

Setelah menjalani pemeriksaan imigresen, mereka berkumpul untuk mendapatkan bagasi. Ternyata para pekerja Nepal yang bekerja di Malaysia, memborong televisyen LCD untuk dibawa pulang ke kampung halaman mereka. Hampir 40 penumpang membeli televisyen jenis itu.

Seperti biasa di mana-mana lapangan terbang, pemandu teksi berebut-rebut menawarkan perkhidmatan dengan harga yang murah. Sempat saya lihat insiden di kawasan parkir lapangan terbang apabila tiga pemandu teksi bertikam lidah sesama sendiri untuk mendapatkan pelanggan.


Islam di Kathmandu

Sebuah istana lama yang menjadi
peninggalan sejarah di Bakhtapur.
Sebagai agama minoriti di Nepal, sukar untuk kita melihat masjid di sana. Kebetulan hotel tempat kami tinggal di Durbar Marg iaitu Hotel Annapurna ada sebuah masjid yang besar di tepi jalan.

Pintu masuk masjid bukan seperti di negara kita, pagar yang luas dan boleh dimasuki kereta. Di sana, pintu masuknya hanyalah untuk dilepasi mereka yang berjalan kaki.

Masjid Jama yang boleh memuatkan hampir 500 jemaah dalam satu masa merupakan masjid yang paling besar di Kathmandu.

Saya berkesempatan menunaikan solat Jumaat di sana dan sama seperti mana-mana masjid, di luarnya terdapat ramai para pengemis menadah sedekah daripada para jemaah.

Uniknya, di tepi masjid terdapat seorang wanita yang menyediakan perkhidmatan menukar duit syiling untuk diberikan kepada peminta sedekah.


Biarpun di situ letaknya masjid paling besar di Kathmandu, masih agak sukar untuk menemui restoran yang menyediakan makanan halal di sekitar kawasan itu.

Apa yang ada hanyalah gerai-gerai tepi jalan yang menjual makanan halal. Begitupun saya percaya, jika anda melihat keadaannya, anda sanggup berlapar.


Catuan bekalan elektrik

Jika anda ke mana-mana bandar di Nepal khususnya Kathmandu, pasti anda akan berasa hairan kerana keadaan bandarnya yang malap pada malam hari.

Kathmandu bukanlah bandar neon seperti Seoul ataupun seperti di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kesuraman suasana malam di seluruh bandar adalah disebabkan catuan elektrik yang tidak mencukupi untuk diagihkan ke seluruh Nepal.

Nepal tidak mempunyai janakuasa elektrik sendiri dan terpaksa mengimport elektrik dari India. Bayarannya juga mahal, maka tidak hairanlah kalau ia dicatu.

Hotel empat bintang di Kathmandu juga berlaku bekalan elektrik terputus dalam tempoh beberapa saat dan minit pada siang hari. Sebagai langkah memudahkan penginap, setiap bilik hotel disediakan lampu suluh.

Walaupun keadaannya sebegitu, tidak bermakna Kathmandu sunyi pada malam hari. Kelab-kelab malam dan pub di kawasan Thamel yang dikunjungi pelancong asing hidup seperti biasa dengan hiruk-pikuk lagu-lagu.

Melihat panorama bandar Kathmandu dari ruangan udara melalui tingkap pesawat, kelihatan rumah-rumah bertingkat yang kebanyakan dibina daripada bata merah.

Bangunan rumah kebanyakannya berstruktur tiga hingga enam tingkat. Boleh dikatakan ketinggian bangunan di sana adalah setara dan tidak ada bangunan pencakar langit yang menonjol.

Hidangan nasi bersama lauk-pauk berasaskan kari merupakan juadah rutin orang Nepal selain capati.

Menurut tradisi masyarakat Nepal, pintu rumah yang diperbuat daripada kayu cengal haruslah rendah daripada ketinggian manusia. Ini bermakna untuk masuk ke rumah, mereka terpaksa menunduk agar tidak terhantuk kepala pintu.

Kata mereka pintu dibuat lebih rendah kerana untuk menunjukkan rasa hormat untuk masuk ke rumah.

Berkunjung ke Thamel

Jika ke Kathmandu, anda harus pergi ke kawasan beli-belah berkonsepkan kedai-kedai yang dinamakan Thamel. Ia terletak di Durbar Marg di tengah bandar Kathmandu.

Thamel yang dibuka sehingga pukul 8 malam mempunyai banyak jalan dan lorong. Jalannya agak sempit dan terdapat banyak barangan dan ole-ole yang boleh dibeli di situ.

Selain cenderamata, kemeja, kain sutera, pashmina, rantai, beg, permaidani, baju dan pelbagai aksesori lain, Thamel juga merupakan tempat kunjungan para pelancong backpackers yang lazimnya mengunjungi pub serta disko.

Orang Nepal agak ramah kerana mereka sudah biasa dengan pelancong dan anda tidak perlu risau dengan keselamatan di Thamel.

Sewaktu berkunjung ke Thamel, kami terpaksa berpisah untuk membeli barangan. Keadaan Thamel yang mempunyai banyak lorong dan kedai di sepanjang kiri dan kanan jalan menyukarkan kami untuk membeli-belah secara berkumpulan.

Nepal menggunakan mata wang rupee Nepal dan anda boleh membawa mata wang dolar Amerika dan kemudian tukar di pengurup wang di sana.


Makanan halal

Seseorang yang beragama Islam lazimnya akan menempah pakej percutian halal sepanjang berada di Nepal. Bagaimanapun, anda dinasihatkan agar membawa bekalan dari Malaysia seperti serunding, sambal bilis, sambal tempe, tuna dalam tin dan apa saja yang senang dibawa.

Halal menurut pemahaman orang tempatan adalah makanan yang bebas daripada babi. Bagi mereka (yang bukan Islam di Nepal) ayam yang tidak disembelih cara Islam adalah dianggap halal.

MASJID sukar ditemui di Nepal tetapi masjid terbesarnya iaitu Masjid Jama terdapat
di tengah bandar Kathmandu.

Ini bermakna kita akan dibawa ke restoran yang tidak menyediakan daging babi, tetapi tetap menyediakan ayam dan kambing.

Itulah masalahnya. Bagi mengelakkan daripada lapar, rombongan yang penulis sertai, makan sajalah sayuran bersama nasi. Orang Nepal memang makan nasi dan kebanyakan lauknya berkonsepkan kari.

Sayur kari, kual dal, sayur puri, ayam masala, kentang masala, papadum, puri bayam dan segala-galanya kari!

Cuma nasi di Nepal menggunakan beras gred A iaitu basmathi. Ada juga restoran yang menyediakan roti nan dan capati.

Kathmandu masih belum ada restoran yang dimiliki orang Islam yang menyediakan makanan halal seratus peratus seperti di China dan Australia.

Habuk dan penutup mulut

Jika anda berkunjung ke Nepal pada musim panas, angin bertiup agak kuat. Dalam keadaan jalan raya yang kurang terurus dan keadaan tepi jalan yang berpasir membuatkan keadaan sering berdebu di sana.

Saya lihat orang tempatan juga tidak tahan dengan debu dan terpaksa menutup mulut dan hidung ketika berjalan di bandar. Debu yang berterbangan anda boleh rasai dan lihat di mana-mana, biarpun dalam perjalanan luar dari Kathmandu.

Melalui pengamatan saya, debu datangnya daripada pasir tepi jalan. Keadaan tepi jalan yang dikorek untuk kerja-kerja pembinaan tidak diuruskan dengan baik menyebabkan tompokan pasir di pinggir jalan.


Sumber - Kosmo! Online - Horizon


Tiada ulasan:

Iklan