Ruang Iklan

Sabtu, 18 Februari 2012

Air Terjun Jerangkang


Pahang memiliki kekayaan alam semula jadi seperti air terjun, hutan rimba dan tasik yang menjadi destinasi wajib bagi para pencinta alam. Ada antara destinasi tersebut dianggap bertaraf dunia apabila ia menjadi tumpuan pelancong asing untuk beriadah dan berekreasi. Pencinta alam semula jadi yang bersifat 'adventure' boleh meneroka sendiri misteri alam di Pahang yang merupakan salah satu daripada 12 negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian biologi.

Terdapat sekurang-kurangnya 15,000 spesies tumbuhan berbunga, 286 spesies mamalia, 150,000 spesies haiwan invertebrata dan 4,000 spesies ikan serta pelbagai hidupan mikro-organisma di Pahang.

Salah satu destinasi pelancongan yang semakin dikenali ialah Air Terjun Jerangkang di Kampung Paya Rambutan di Paya Bungor, Kuantan. Air Terjun Jerangkang terletak di Jalan Kuantan-Temerloh di Kampung Paya Rambutan bersempadan dengan daerah Maran. Kedudukannya itu menyebabkan ramai yang keliru bahawa air terjun tersebut terletak dalam daerah Maran.

Air Terjun Jerangkang yang jauhnya kira-kira 26 kilometer dari bandar Maran dan 50 kilometer dari bandar Kuantan memiliki keunikan tersendiri apabila mempunyai tujuh tingkat air yang begitu mengasyikkan. Pengunjung dari Kuala Lumpur atau Kuantan boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan keluar melalui Plaza Tol Sri Jaya ke Kampung Paya Rambutan. Dari Kampung Paya Rambutan, pengunjung boleh berjalan kaki atau menaiki pacuan empat roda untuk sampai ke Air Terjun Jerangkang.

Pengunjung juga boleh menggunakan perahu menyusuri Tasik Paya Bungor untuk ke air terjun tersebut. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan termasuk 'abseiling' dan berkhemah sambil mendengar deruan air yang begitu mempersonakan. Bagi mereka yang berjiwa seni, lokasi Air Terjun Jerangkang merupakan yang paling ideal untuk mereka berkarya kerana di sini terdapat pelbagai 'nyanyian' unggas dan burung eksotik.

Pengunjung yang pertama kali ke hutan lipur itu pasti kagum dengan keindahan yang sungguh mengasyikkan. Seorang pengunjung, Sadun Selam, 30, dari Kuala Lumpur mengakui sangat teruja apabila dapat menghabiskan cuti hujung minggu sambil bersantai di Air Terjun Jerangkang yang sungguh mengasyikkan. ''Nyanyian lagu alam seperti deruan air yang mengalir deras yang diselangselikan dengan bunyi unggas dan serangga dapat menghilangkan tekanan. ''Udara yang segar dan rimbunan pepohon yang menghijau mendamaikan mata yang memandang. Keistimewaan ini perlu dikekalkan," katanya.

Sumber - Utusan Malaysia, 18 Febuari 2012

Tiada ulasan:

Iklan