Ruang Iklan

Ahad, 21 Mac 2010

Danau Toba

Destinasi wajib Sumatera Utara: Danau Toba menjanjikan pengalaman indah hayati keindahan alam



Istana lama Raja Simalungun

SUMATERA UTARA mungkin lokasi pelancongan biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia kerana jaraknya yang hampir dengan tanah air serta faktor kos yang tidak membebankan.

Penerbangan dari Terminal Tambang Murah (LCCT) ke lapangan terbang atau Bandar Udara (Bandara) Polonia di Medan hanya mengambil masa 55 minit, lantas menjadikan wilayah berkenaan begitu popular di kalangan rakyat kita.

Biarpun hubungan persaudaraan dan perniagaan di antara kedua-dua negara tetangga ini pernah digugat beberapa isu, ia langsung tidak menjejaskan kunjungan rakyat Malaysia ke sana dan begitu juga sebaliknya.

Lebih menarik, ramai warga Indonesia yang berurusan di Bandara Polonia, khususnya kakitangan imigresen, kastam serta petugas kaunter penerangan dan pemandu teksinya berinteraksi dalam bahasa Malaysia dengan lenggok sama seperti kita.

Penulis ke Sumatera Utara bersama dua sahabat tanpa menggunakan pakej pelancongan, lalu bas henti-henti menjadi pengangkutan kami untuk ke Brastagi dengan bayaran RM6 dan tempoh perjalanan selama dua jam ke destinasi.

Suasana pasti berbeza jika menaiki kenderaan sewa khas tetapi dalam bas awam itu, kami berpeluang menyaksikan gelagat warga tempatan yang majoritinya berketurunan Batak membawa segala macam barang yang dibeli mereka di Medan.

Tidak cukup ruang dalam bas, kotak, raga dan beg turut diletakkan di atas bumbung bas dan diikat sepanjang dua jam perjalanan melalui jalan berliku mendaki tanah tinggi.

Semakin lama menempuh perjalanan, semakin terasa kedinginan tanah tinggi dan ketibaan kami di Brastagi disambut dengan pemandangan pokok pain yang banyak tumbuh meliar di kiri dan kanan laluan.

Sebaik turun di Stesen Bas Brastagi, kami ditunjukkan jalan ke Sibayak Guest House oleh konduktor bas berkenaan. Walaupun tengah hari, suhu dingin tetap terasa.

Brastagi dikelilingi dua gunung berapi iaitu Gunung Sibanung dan Gunung Sibayak, turut mempunyai tanah yang lebih subur yang menggalakkan aktiviti pertanian seperti tanaman bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai jenis.

Suasana malam di sini yang amat dingin dihangatkan dengan keriuhan dari pasar malam dan bingit muzik dari pusat hiburan.

Kembara ke Sumatera Utara tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Danau Toba dan bagi yang mempunyai masa terluang, kunjungi juga perkampungan tradisi Batak di Dokan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Brastagi.

Di perkampungan ini, ada lebih 50 rumah kaum berkenaan yang memaparkan ciri asli pembinaan kediaman oleh Batak Medan. Tidak jauh dari situ, ada istana lama Raja Simalungun yang menempatkan khazanah peninggalan lebih 300 tahun suku Batak.

Kepercayaan mereka kepada jasad yang sudah mati dimuliakan dan mengambil masa sehingga lebih 200 tahun sebelum mayat dibakar dan abunya disemadikan. Jika lebih tinggi pangkat atau kuasa seseorang, lebih lama mayatnya disimpan terutama kerabat istana.

Hingga kini, rumah penyimpanan mayat, keranda, tempat pembakaran dan pusara lama etnik berkenaan masih jelas kelihatan.

Penulis sempat singgah di kawasan Air Terjun Sipiso-piso yang berketinggian lebih 100 meter. Dari jarak kira-kira 300 meter, terasa kulit seperti terkena biasan air dari Sipiso-piso hasil percikan dan tiupan angin.

Dari kawasan air terjun ini juga jelas kelihatan bahagian utara Danau Toba yang begitu indah.

Satu lagi tarikan di sini ialah Pulau Samosir yang terletak di tengah-tengah Danau Toba. Pengunjung perlu melalui pekan Parapat untuk ke pulau berkenaan menaiki feri yang disediakan.

Suasana di Parapat boleh dikatakan meriah sepanjang hari dengan aktiviti dagangan segala hasil tanaman dan penternakan yang dibawa dari kawasan perkampungan. Pekan ini juga menjadi pilihan ramai pelancong untuk menginap.

Pilihlah jenis penginapan yang sesuai dengan bajet anda, sama ada Chalet, rumah rehat atau cottage bertaraf sederhana menghadap tasik yang begitu masyhur di rantau ini pada kadar harga amat berpatutan.

Bagi penulis, keindahan dan kedamaian Danau Toba tidak dapat diungkap dengan kata-kata, disokong pula dengan keramahan warganya yang boleh membuatkan mana-mana pelancong berasa seperti di negara sendiri.

Saat paling indah di sini tentunya ketika menyaksikan matahari terbit di celah pergunungan lalu membiaskan cahayanya ke dalam tasik sambil kawanan burung pula riuh dengan kicauan, membuatkan hati terasa begitu damai di Danau Toba.

Tiada ulasan:

Iklan