Ruang Iklan

Isnin, 1 Mac 2010

Danau Toba simpan misteri


Pemandangan di Danau Toba

Diceritakan pada zaman dahulu hidup seorang petani yatim piatu di utara Pulau Sumatera, daerah yang digambarkan kering kontang. 

Pada satu hari, pemuda itu memancing ikan yang sangat indah bentuknya dan berwarna kuning keemasan. Sebaik sahaja dipegang, ikan tersebut berubah bentuk menjadi seorang puteri jelita. Puteri itu ialah wanita yang dikutuk kerana melanggar larangan dan akan berubah menjadi seperti makhluk yang pertama memegangnya. 

Pemuda tersebut kemudiannya mengahwini puteri itu dengan syarat tidak akan menceritakan kepada sesiapa pun asal usulnya dari ikan. Setelah setahun pasangan suami isteri itu dikurniakan seorang anak lelaki.Tetapi anaknya itu mempunyai kebiasaan buruk iaitu tidak pernah kenyang dan akan memakan semua makanan yang ada sehingga suatu hari ia menimbulkan kemarahan bapanya. 

Dalam nada marah, pemuda tersebut mengungkit anak itu dari keturunan ikan. Kata-kata itu telah membuka rahsia asal usul isterinya dan melanggar janji yang mereka sepakati bersama. 

Isteri dan anaknya lalu menghilang secara ghaib. Di bekas tanah yang mereka pijak muncul mata air. Air dari mata air itu semakin besar dan terbentuklah sebuah danau luas yang kini dikenal sebagai Danau Toba. 

Kisah itu merupakan antara mitos Danau Toba yang baru-baru ini menarik perhatian umum berikutan kenyataan daripada seorang pakar geologi dari Universiti Monash, Australia, Profesor Ray Cas. 

Danau Toba di Medan nan indah dan permai yang menjadi tumpuan pelancong menjadi perhatian umum apabila Ray menyatakan danau purba yang terbentuk daripada letupan gunung berapi raksasa ratusan tahun lalu itu akan meletup lagi. 

Berita itu bukan sahaja meresahkan penduduk Indonesia khususnya di persekitaran Danau Toba tetapi juga masyarakat dunia. Ini kerana danau seluas 100 meter panjang dan 30 meter lebar sedang dalam proses aktif kembali untuk memuntahkan laharnya. 

Bencana berangkai gempa bumi dan tsunami di Aceh, Nias dan Mentawai serta Gunung Berapi Talang, Sumatera Barat dikatakan menjadi petanda awal Danau Toba akan meletup. Berita buruk itu pula disokong oleh beberapa kenyataan daripada pakar-pakar geologi lainnya. Tetapi pada masa yang sama, ramai pula pakar yang menafikannya dengan fakta-fakta yang lebih ilmiah. 

Menurut Ray, Toba merupakan salah satu gunung berapi paling besar atau supervalcano dunia yang jika meletup akan 100 kali lebih dahsyat daripada letupan Gunung Kratkatau di Laut Sunda pada 1883.Merujuk kesan letupan Gunung Berapi Toba, 73,000 tahun lalu, pakar-pakar geologi menyatakan letupan itu menutupi hampir seluruh wilayah Sumatera Utara dengan lahar panas setebal 50 meter dengan kepanasan 750û Celsius. Lebih menggerunkan bahan-bahan batu yang dimuntahkan oleh letupan tersebut mencapai berat 2,800 kubik meter yang diselerakkan ke seluruh kawasan rantau ini yang tentunya memporak-perandakan kota Jakarta dan Kuala Lumpur yang padat penduduk itu.

Beberapa pengkaji gunung berapi sebelum ini juga telah menemui debu atau batu-batu daripada letupan Danau Toba di Malaysia, bahkan sejauh 3,000 kilometer ke utara hingga India Tengah. Dua pakar, Rose W.I dan Chesner CA dalam kajiannya pada tahun 1991 mendapati letupan Gunung Berapi Toba meninggalkan lahar panas yang menutupi kawasan sekitar 20,000 kilometer persegi dengan ketebalan kira-kira 50 meter. Boleh dibayangkan dengan panas lahar mencapai 750û Celsius semasa meletup, pastinya tidak akan ada benda yang boleh hidup sepanjang lahar ini dapat mengalir. Kesannya belum berakhir di situ, kerana letupan Gunung Toba akan turut menyemburkan batu-batuan berjumlah 1,000 kilometer kubik dengan jarak sejauh 2,500 kilometer persegi. Batu-batu kecil dan debu sebanyak 800 kilometer kubik pula akan memberi masalah besar kepada penduduk yang tinggal jauh dari Danau Toba walaupun para pengkaji belum dapat memastikan jarak sebenarnya. 

Para pengkaji menemui debu Gunung Toba di India Tengah, kawasan Asia Barat dan pantai timur Afrika. Mungkin sahaja kawasan Asia Tenggara, India dan Sri Lanka akan tertutup dengan debu tebal, jika penemuan batu dan debu itu diambil kira. Asid sulfat, bahan yang digunakan untuk bateri kenderaan akan disemburkan ke alam maya dengan jumlah 1.010 metrik tan.

Sebagaimana yang berlaku 73,000 tahun lalu, letupan Gunung Berapi Toba telah mengubah cuaca dunia. Debu yang disemburkan ke udara menghalang masuk matahari ke bumi dan menyebabkan suhu dunia menurun seperti zaman ais.

Cas menegaskan, letupan gunung berapi yang amat kuat itu adalah satu potensi malapetaka paling buruk kepada bumi selain ancaman hentaman tahi bintang seperti yang digambarkan dalam filem Armagedon.

``Letupan gunung berapi itu pasti akan berlaku. Cuma ia tidak akan berlaku dalam waktu terdekat ini. Ia mungkin akan berlaku 10,000 atau 200,000 tahun lagi,'' kata Cas.

Tiada siapa yang dapat menjamin Gunung Berapi Danau Toba yang sedang tidur ini tidak akan meletup dalam beberapa tahun ini sebagaimana bencana alam di Aceh dan Nias, Sumatera Utara yang tidak dijangka kehadirannya.

``Pada waktu ini memang tidak ada tanda-tanda Danau Toba akan meletup. Tetapi amat penting perkara ini dijelaskan kepada pihak pemerintah agar menyedari potensi gunung berapi yang akan meletup. Belajarlah daripada gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember lalu. Kami harap negara-negara di wilayah Laut Hindi termasuk Indonesia menyedari bahaya yang akan berlaku dan berwaspada terhadap tanda-tanda yang ada,'' tambah Cas.

Kenyataan ilmuan dari Australia ini memang meresah dan membuatkan masyarakat panik kerana ia bercanggah dengan kajian pakar tempatan yang menyebutkan Danau Toba bukan dikategorikan sebagai gunung aktif.

``Kami tidak pernah membuat kesimpulan Danau Toba akan meletup. Memang Danau Toba terbentuk akibat gegaran gunung berapi yang berlaku ribuan tahun lalu tetapi dalam penelitian vulkanologi, Danau Toba tidak temasuk gunung yang aktif,'' kata Dr. Surono, pakar gunung berapi dari Direktorat Volkano dan Bencana Geologi Indonesia.

Surono menjelaskan, berdasarkan pengamatan pasukannya dan para pakar gunung berapi dunia, Danau Toba tidak masuk kategori gunung aktif yang harus diwaspadai dan tidak ada tanda-tanda ia akan meletup. Ketua Seismologi Teknik dan Tsunami Badan Meteorologi dan Geofisik Indonesia, Fauzi pula menjelaskan, teori yang menyatakan Danau Toba akan mengering atau meletup akibat gempa besar di pesisir barat Sumatera boleh dipertikaikan.

``Ia hanya kenyataan spekulasi dan tidak berdasarkan kajian ilmiah yang boleh kita terima. Danau Toba ini malah yang menjadi pengimbang gerakan bumi. Kajian kita menunjukkan hanya berlaku sedikit gegaran gempa di Danau Toba. Sekarang belum waktunya kita mempersoalkan letupan gunung berapi di sana. Untuk sampai ke tahap matang dan aktif diperlukan waktu ratusan tahun lagi,'' jelas Fauzi.

Berdasarkan kajian ilmiah, Danau Toba memang tidak akan meletup dalam waktu terdekat ini. Waktu ratusan tahun lagi masih lama tetapi wajar untuk generasi sekarang mengingatkan generasi akan datang terhadap bencana tersebut.

Bagi penggemar kisah mitos, puteri jelita mungkin akan muncul semula di Danau Toba. Tetapi mungkin kali ini bukan mata air yang muncul tetapi bencana gunung berapi. Masih banyak misteri yang tersimpan di danau yang memukau pemandangan dan menjadi kebanggaan pelancongan Indonesia ini.




Sumber : - Mingguan Malaysia, 1 Mei 2005

Iklan