Ruang Iklan

Ahad, 19 Disember 2010

Kuala Sepetang


Dari Taman Tasik Taiping, aku ke Kuala Sepetang yang terletak di kuala sungai menghadap ke Selat Melaka.

Kuala Sepetang adalah nama asal bagi Port Weld yang diambil dari nama Sir Frederick Weld yang tiba di Taiping pada tahun 1881. Selain "Port Weld", nama "Weld" juga telah diabadikan pada "Weld Road" yang kini dikenali sebagai Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, Weld Quay di Pulau Pinang dan Upper Weld Road di Singapura

Kini, nama Kuala Sepetang telah digunakan secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Perak.

Secara kebetulan, ketika tiba di sini, aku sempat melihat kehindahan sinaran merah suria di titik horizon Selat Melaka. Mungkin nama Sepetang diperolehi merujuk kepada keindahan sinaran merah suria di ufuk barat.

Kuala Sepetang begitu terkenal dengan mee udang. Tujuan aku datang ke sinipun semata-mata untuk melihat dan merasa mee udang di sini.

Oleh kerana kesuntukan masa, aku singgah di gerai pertama, menuju ke Kampung Kuala Sepetang. Gerai ini dinamakan "Warung Mak Teh Mee Udang Banjir". Pelanggan boleh memilih udang sungai atau kolam. Sudah tentu, harga udang dari sungai lebih mahal. Akupun memilih udang sungai. Memang terasa udangnya yang segar. Harga Mee Udang Sungai adalah RM12 berbanding RM8 untuk Mee Udang kolam. Selain mee, pelanggan boleh memilih kuay teow, bihun, nasi sambal udang dan nasi goreng udang.

Selepas menikmati Mee Udang, aku cuba melihat sekitar kawasan di sini tapi hari dah gelap. Rupa-rupanya selepas warung Mak Teh terdapat banyak lagi warung Mee Udang antaranya Warung Mak Jah, Mee Udang Port Weld dan Mee udang Pak Hashim.

Kawasan yang berhampiran dengan kawasan ini adalah Matang, Au Long dan Kamunting. Oleh kerana keadaan sekitar gelap, aku tiada pilihan lain selain memikirkan jalan pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan pulang ke Kuala mengambil masa lebihkurang 3 1/4 jam dengan jarak perjalanan sejauh 270km melalui Lebuhraya Utara - Selatan.

Aku berpuashati juga kerana perjalanan 2 hari ini merangkumi banyak tempat tetapi banyak juga tempat yang aku tak sempat nak singgah. Antaranya, Kuala Kangsar dan Matang.

Sambil memandu, aku merangka satu perjalanan akan datang. Mungkin perjalanan aku dimulai dari Kuala Lumpur, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Teluk Intan, Taiping, Bukit Larut dan Kuala Sepetang.

Taman Tasik Taiping

Jalan-Jalan Perak (Hari 2) ─ 18 & 19 Disember 2010


Selepas ke Zoo Taiping, aku sekeluarga ke Taman Tasik Taiping. Taman ini dibuka pada tahun 1880, merupakan taman tasik riadah dan rekreasi dari bekas lombong yang pertama dibuka di negara ini.

Di sini kami menikmati pemandangan landskap yang indah dihiasi dengan pokok-pokok angsana berusia ratusan tahun. Pemandangan ini mungkin sukar untuk diperolehi di mana-mana lokasi lain kerana usia pokok ratusan tahun tidak mampu untuk ditukar dengan beribu pokok bunga sekalipun.

Selain pokok ratusan tahun, terdapat 10 kolam besar dilengkapi dengan kemudahan tandas, laluan berjogging serta pondok rehat.

Tidak jauh dari sini agak-agak dalam 15km terdapat sebuah bukit yang dipanggil Bukit Larut (Maxwell Hill). Perjalanan ke Puncak Bukit Larut mengambil masa lebih kurang 30 minit melalui jalan sempit yang mempunyai 72 selekoh berliku tajam di lereng bukit.

Kalau ikutkan hati teringin aku nak ke Bukit Larut, Pekan Taiping dan juga Muzium Taiping yang mempunyai nostalgianya yang tersendiri tetapi masa yang tinggal hanya untuk perjalanan ke Kuala Sepetang dan balik ke Kuala Lumpur.



Taman Tasik TaipingTaman Tasik TaipingTaman Tasik TaipingTaman Tasik TaipingTaman Tasik Taiping

Taman Tasik Taiping, a set on Flickr.

Zoo Taiping & Night Safari

Jalan-Jalan Perak (Hari 2) ─ 18 & 19 Disember 2010

Seawal pagi, aku "check out" dari Hotel Hillcity untuk ke Zoo Taiping. Sepanjang perjalanan, banyak juga tempat yang aku lawati tetapi menghampakan. Ini menjadi punca perjalanan aku dari Hotel Hillcity ke Zoo Taiping yang sepatutnya mengambil masa 1½ jam, menjadi lebih.

Akhirnya, aku sampai ke Zoo Taiping pada pukul 3 petang dan meluangkan masa selama lebih 2 jam. Di sini disediakan keretapi mini untuk memudahkan pengunjung untuk melawati ke suatu kawasan atau habitat haiwan tanpa had. Teringin juga aku menyambung lawatan untuk ke tempat lain tetapi cuti aku terhad sehingga ke hari ini.

Seterusnya aku sekeluarga meluangkan masa di Taman Tasik Taiping.

Info ringkas Zoo Taiping,
  • Nama asal adalah Taman Mergastua Sultan Idris Shah.
  • Terletak di dalam kawasan Taman Tasik Taiping.
  • Di buka setiap hari termasuk ahad dan cuti umum dari pukul 8.30 pagi - 6.00 petang.
  • Bayaran masuk RM 12.00 (dewasa) dan RM 8.00 (kanak-kanak).
  • Terdapat 1300 ekor dan 200 spesies burung, reptilia dan mamalia yang dipamerkan dalam suasana semula jadi dan kurungan terbuka.
  • Terletak di dalam kawasan Taman Tasik Taiping dimana keluasan Zoo Taiping adalah 13.7 hektar daripada 40.5 hektar kawasan Taman Tasik Taiping.

Untuk "Night Safari" pula,
  • Di buka setiap malam termasuk cuti umum dari pukul 8.00 - 11.00 malam. Pada hari Sabtu dan malam sebelum Cuti Umum di buka dari pukul 8.00 - 12.00 malam.
  • Bayaran masuk RM 16.00 (dewasa) dan RM 10.00 (kanak-kanak)







    Sabtu, 18 Disember 2010

    Sejenak di Dataran Bandaraya Ipoh




    Selepas ke Taman Rekreasi Gunung Lang, aku pulang ke Hotel Hillcity, tempat kami menginap. Selepas melakukan apa yang wajib dan sepatutnya, kami sekeluarga menjamu selera di sebuah gerai Hentian Larut Malam terletak di hadapan Hotel Hillcity. Selain dari gerai makanan, terdapat juga gerai buah-buahan.

    Semasa di sini aku tak sempat nak bergambar kerana keletihan.

    Selepas menjamu selera, aku ke Dataran Bandaraya Ipoh. Wah, meriah betul suasana di sini. Yang menarik perhatian adalah pertunjukan kereta yang diubahsuai terutama pada audio selain dari perbagai gerai makan dan akesesori wanita.

    Dah pukul 2 pagi, esok aku nak sambung perjalanan ke Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping dan Kuala Sepetang.

    Jumpa esok di Zoo Taiping....



    Iklan