Ruang Iklan

Ahad, 16 September 2012

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 49

Hari ini, 16 September, merupakan Hari Malaysia ke 49. Hari Malaysia disambut setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. 

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia asalnya merupakan cuti am hanya di negeri Sabah sempena menyambut hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. 

Pada awalnya, Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun setelah ianya dicadangkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim Anuar, negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang seperti Kedah, Kelantan dan Selangor telah menjadikan Hari Malaysia sebagai cuti am bagi negeri masing-masing.

Seterusnya, mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah dijadikan cuti am bagi seluruh negeri di Malaysia.

Khamis, 13 September 2012

Lembah Lenggong

Menyegarkan badan di dalam arus jeram yang
cetek seperti ini tentunya memberi ketenangan fikiran.
Terletak di antara dua pergunungan di Semenanjung Malaysia, iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang, Lenggong menawarkan kepelbagaian tarikan pelancongan yang tidak kurang hebatnya.

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, daerah yang terletak di di Hulu Perak itu terus menjadi tumpuan para penyelidik dari seluruh dunia yang mahu meneroka khazanah yang tersimpan di dalamnya.

Pelbagai usaha pasukan penyelidik tempatan sejak dua dekad lalu berjaya menjelmakan artifak penting yang sangat signifikan dalam pemahaman arkeologi Asia Tenggara dan sekitarnya.

Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), daerah itu juga kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang masih terpelihara sehingga kini.

Riadah istimewa

Bagi penggemar sains hutan dan keindahan alam,
pelbagai spesies flora dan fauna boleh ditemui.
Salah satu lokasi libur yang wajib diterokai di situ ialah Hutan Lipur Lata Kekabu. Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bintang Hijau.

Kedudukan yang strategik di tengah-tengah laluan dari Ipoh ke Grik menjadikannya lokasi riadah popular kepada pengunjung yang mahu berehat pada hujung minggu.

Sebaik sahaja tiba, mata tentu terpesona melihat kehijauan suasana hutan jenis dipterokarp bukit. Ia menjadi habitat pelbagai spesies pokok seperti meranti, kempas, jelutong dan keruing.

Tarikan utama di situ, pastinya air terjun setinggi 50 meter yang mengalir jernih dari puncak bukit.

Udara segar yang menyapa dan diselang-selikan dengan suara unggas berkicauan tentu saja memberikan ketenangan yang diinginkan.

Pengunjung boleh memilih untuk bermandi-manda dan berkelah berhampiran sungai yang mengalir di kawasan lapang yang disediakan. Jika mahu meneroka keindahan air terjunnya pula, boleh menyusuri tebing melalui trek hutan yang disediakan.

Bagi yang mahukan lebih cabaran, pengunjung boleh menjelajah lebih jauh ke dalam hutan. Pengalaman melihat kepelbagaian bentuk muka buminya yang tidak sekata, dipenuhi cerun mencabar dan bonjolan berbatu pastinya mengujakan.

Nilai sejarah

Aktivi merentas hutan begitu menarik untuk
diikuti kerana ia bersifat kembara akademik.
Selain kaya dengan khazanah alam semula jadi, lokasi itu juga mempunyai nilai sejarah tersendiri khususnya ketika era komunis satu ketika dahulu.

Diselia oleh Jabatan Perhutanan Perak, hutan lipur itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam. Antaranya, tandas awam, wakaf, tempat meletak kenderaan, bilik persalinan, surau serta dewan yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang.

Sementara itu, kemudahan tapak khemah juga turut disediakan bagi pengunjung yang ingin bermalam pula di samping melakukan pelbagai aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah.

Untuk menjamu selera, usah risau kerana terdapat beberapa gerai jualan yang menawarkan aneka minuman dan makanan kepada pengunjung.

Setelah puas berkelah dan bermandi-manda, jangan lupa singgah seketika Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Ia menempatkan replika rangka Perak Man dan pelbagai bukti tinggalan sejarah di Lembah Lenggong seperti alat-alat batu, tembikar dan barang perhiasan serta peralatan Orang Asli.


Sumber : Kosmo! Online - Horizon

Sabtu, 8 September 2012

Pusat Rawatan Parit Keroma

Hari ini, aku ke Parit Keroma, Muar dengan tujuan untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan batu karang hempedu untuk aku, gout untuk bapa dan kebas tangan untuk isteri aku.

Seawal pukul 6:30 pagi, kami bertolak ke Klang untuk mengambil bapa dan seterusnya kami menuju ke Muar.

Sebelum ini, kalau ke Muar, aku akan melalui Tangkak dari Lebuhraya PLUS. Kini, setelah mempunyai GPS, arah yang paling dekat adalah masuk ke Alor Gajah dari Lebuhraya PLUS dan seterusnya ke Lebuh AMJ (Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin).

Ini bukanlah pertama kali aku ke sana, malah sudah berpuluh kali. Pusat rawatan ini pada asalnya diusahakan oleh Alllahyarham Mohd. Fuad bin Ariffin. Setelah beliau meninggal dunia, pusat ini sunyi dari pengunjung kerana tiada sesiapa yang mewariskan usaha Allahyarham. 

Setelah beberapa tahun sunyi dari pengunjung, isteri beliau Hjh. Zainon bt. Omar, mendapat mimpi dari Allahyarham untuk meneruskan usahanya.

Walaupun rawatan diteruskan, pengunjung yang datang tidaklah seramai semasa Allayarham menjalankan rawatan. Malah kepantasan dalam menjalankan rawatan begitu berbeza. 

Aku masih ingat lagi, kalau dulu ramai pengunjung dari Singapura dan dari Utara yang datang ke sini. Walaupun ramai, rawatan yang dilakukan begitu pantas.

Perantara rawatan yang dijalankan adalah melalui timun. Timun dihalakan dan disedut pada tempat yang disyaki ada penyakit. Jika ada batu pada buah pinggang atau hempedu, batu tersebut akan kelihatan di dalam timun apabila dipotong. Tahap kotoran pada salur darah juga boleh dilihat jika timun tersebut kotor atau kehitaman apabila dipotong.

Alhamdullilah, setelah mendapat rawatan, hempedu aku didapati bersih dari segala kotoran dan batu. Malah timun didapati bersih apabila dipotong. Sebelum ini (dua tahun lepas), batu karang dari hempedu aku sudahpun dikeluarkan. Itupun setelah ujian dilakukan oleh doktor. Alhamdulillah, terlepas aku dari pembedahan laparaskopik kolesitekmi.

Bayaran yang dikenakan untuk rawatan adalah RM 50.00. Setiap pesakit diwajibkan membawa dua biji botol kosong untuk diisi air (diminum & disapu) dan sekurang-kurangnya lima biji timun yang lurus. Rawatan yang harus dilakukan adalah sekurang-kurangnya tiga kali.

Semasa menunggu untuk mendapat rawatan, aku merakam keadaan disekitar kawasan.

Aku juga berpeluang berbual dengan seorang penduduk asal di situ. Beliau sempat bercerita bagaimana Parit Keruma mendapat nama dan seterusnya dipecahkan mengikut bahagian. Kemarahannya meruap, apabila aku menyebut nama Muhyiddin Yassin. Kenapa ya ?.



Pandangan dari luar pusat rawatan
Pandangan di dalam pusat rawatan
Notis mengenai hasil pemberian, masa perubatan dan borang yang perlu diisi untuk pesakit
yang pertama kali datang untuk mendapatkan rawatan
Sketsa kartun mengenai liku perjalanan pemilik pusat rawatan
Antara yang boleh dilihat didinding sekitar pusat rawatan
Ragam sikecil semasa menunggu


p/s : Imej dari Nokia N8

Taman Botani Putrajaya

Perkarangan Pusat Interpretif Pelawat yang indahkan dengan tumbuhan hiasan dan pondok kayu.

Bersantai pada hujung minggu di Taman Botani yang terletak di Presint 1, Putrajaya, pastinya menjanjikan kelainan, terutamanya jika anda seorang yang gemar bermesra dengan alam.

Dengan dataran landai dan berbukit seluas 93 hektar, pengunjung taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini pasti teruja dengan kepelbagaian spesies tanaman yang dihimpun daripada beberapa benua yang ditanam secara tersusun.

"Selain disajikan dengan pemandangan indah landskap, pengunjung juga berpeluang mengenali tumbuh-tumbuhan menarik di dunia dengan lebih dekat.

"Seiring nama dan fungsinya sebagai Taman Botani, taman ini mempunyai kira-kira 700 spesies tumbuh-tumbuhan yang berasal dari 90 buah negara.

Sakura

"Untuk memudahkan pengunjung memahami dengan lebih jelas sifat semula jadinya yang kompleks, bahan penerangan tentang tumbuh-tumbuhan ini turut disediakan di tempat strategik di taman ini," ujar Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya, Mohamad A. Shukor.

Jelasnya lagi, pelbagai aktiviti dan program kekeluargaan boleh dilaksanakan di sini tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Penduduk sekitar biasanya menjadikan kawasan ini sebagai lapangan terbuka untuk mereka beriadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

"Kebanyakannya memilih untuk bersiar-siar, berjoging, menunggang basikal dan berkelah di pesisir tasik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menarik tentang reka bentuk taman ini, menurut Mohamad, pihaknya menggunakan pendekatan dinamik termasuk mengekalkan keadaan topografi asal agar keindahannya dapat disesuaikan dengan Tasik Putrajaya.

Kawasan redup di Teduhan Ara yang terletak di pesisir tasik
menjadikan ia lokasi berkelah paling ideal di sini.
Dalam masa 90 minit berjalan di taman ini, pengunjung berpeluang menghayati warisan semula jadi terdiri daripada tumbuh-tumbuhan asli kawasan utama tropika antaranya yang dibawa khas dari Afrika dan Amerika seperti pokok mickey mouse, jacaranda yang bunganya kelihatan seperti bunga sakura, rajah kayu dan tapak kuda.

"Di sini, pengunjung berpeluang menyaksikan kekayaan flora yang ditata rias dalam landskap indah sama ada dengan berjalan kaki, berbasikal mahupun menaiki trem.

"Menampilkan 13 tarikan utama, bersantai di Taman Botani pastinya tidak mengecewakan pengunjung khususnya mereka yang suka bersantai dalam persekitaran hijau dan golongan pencinta fotografi," kata Mohamad.

Antara mercu tanda taman ini yang harus dikunjungi ialah Titian Kanopi yang dibina sepanjang 175 meter.

Menarik tentang titian yang menghubungkan Pusat Interpretif Pelawat dengan Denai Helikonia ini, ia terletak betul-betul di lembah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan hutan hujan tropika seperti meranti, keruing dan cengal yang diselenggara begitu rapi.

Titian Kanopi antara tarikan utama di Taman Botani yang mula dibuka kepada orang ramai pada
31 Ogos 2001.

Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk mendaki Bukit Palma yang terletak bersebelahan dengan Jam Suria.

Di sepanjang pendakian, pastinya mata tidak jemu menyaksikan landskap palma yang tersusun cantik. Dari situ, anda boleh meneruskan perjalanan ke titik paling panas di taman ini iaitu Taman Suria.

 Jam Suria

Menyusuri denai orkid menuju ke binaan Jam Suria, pengunjung berpeluang membuat bacaan waktu yang terhasil daripada bayang-bayang yang terbentuk di permukaan plat tembaga di bahagian bawah jam.

Merentasi kawasan redup di Teduhan Ara yang berhadapan dengan Tasik Cabana, ia merupakan kawasan perkelahan paling ideal di taman ini.

Selain dinaungi pokok ara dan pokok kelapa, terdapat juga teduhan hujan yang mengambil reka bentuk dalaman gua batu dibina di sini. Binaan pondok-pondok kecil yang diperbuat daripada pokok nibong turut mengindahkan lagi kawasan perkelahan ini.

Bagi yang ingin menikmati keindahan tasik, anda boleh berjalan menyusuri Titian Tasik yang akan membawa anda hingga ke empangan kecil yang memisahkan Tasik Cabana di Taman Botani dengan tasik di Taman Wetland.

Astaka Morocco sering menjadi tumpuan

Jika ada kelapangan, jangan lepaskan peluang untuk menikmati panorama mahatahari terbenam di atas titian kayu ini kerana ia menjanjikan pemandangan senja yang cukup mengasyikkan.

Bagi yang berkunjung ke Taman Botani, kunjungan anda tidak akan sempurna sekiranya tidak singgah sebentar ke Astaka Morocco yang memiliki kehalusan seni bina yang cukup tinggi.

"Astaka Morocco adalah seni bina kontemporari Islam Maghribi pertama yang terdapat di Asia.

"Seni bina yang ditampilkan di sini adalah replika daripada binaan asal di Andalusia dan Sepanyol.

"Konsepnya yang menggabungkan konsep air, kehalusan seni ukiran batu dan keindahan marmar buatan tangan serta landskap pokok tamar memberi gambaran seperti 'Syurga di Bumi'," ujar Mohamad.


Sumber : Kosmo Online - Rencana Utama

Meneroka khazanah diiktiraf dunia



Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongannya yang unik dan tersendiri. Daripada warisan sejarah silam, keindahan alam semula jadi, kejernihan pantai dan pulau-pulau serta kepelbagaian budaya masyarakatnya telah menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan di negara ini bukan sahaja mengundang kebanggaan rakyat, malah turut mendapat pengiktirafan dunia.

Sedar atau tidak, Malaysia kini mempunyai empat Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia sekali gus menjadikan negara ini sebaris dengan negara-negara lain yang pernah menerima pengiktirafan sedemikian sebelum ini.

Horizon minggu ini cuba meneroka empat lokasi Tapak Warisan Dunia yang berupaya mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Taman Negara Gunung Mulu

Terletak di sebelah utara negeri Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu (TNGM) merupakan salah satu daripada destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia.

Mempunyai keluasan lebih 544 kilometer persegi, ia mula diwartakan sebagai taman negara pada 3 Oktober 1974.

Dengan dikelilingi tiga buah gunung iaitu Gunung Mulu (2,376 meter), Gunung Api (1,750 meter) dan Gunung Benarat (1,585 meter), Taman Negara Mulu mempunyai kepelbagaian bio yang menakjubkan.

Kawasan hutan yang terdiri daripada jenis paya gambut, rawa, dipterokap, lumut serta tumbuhan gunung menempatkan ribuan spesies flora dan fauna.

Puncak Pinnacles pula menjadi mercu tanda bagi Gunung Mulu. Bagi mereka yang sukakan cabaran, bolehlah cuba mendaki ke puncaknya yang dipenuhi bantuan dan ngarai dalam yang terhasil secara semula jadi.

Tatkala berada di TNGM jangan lupa mencuba aktiviti penerokaan gua yang menjadi identitinya selama ini. Di banjaran Mulu sahaja terdapat 76 buah gua secara keseluruhan di mana hanya 24 buah sahaja yang baru diteroka oleh pengembara.

Antara gua yang wajib dikunjungi pastinya Sarawak Chamber. Ia cukup besar dan luas serta dikatakan mampu memuatkan lapan jet jumbo 747.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh meneroka beberapa tarikan lain yang tidak kurang hebatnya seperti Gua Rusa atau Gua Air Jernih.

Bagi pencinta alam semula jadi, perasaan kagum pasti hadir melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit serta pelbagai arca yang terhasil akibat proses geomorfologi yang berlaku. Ia diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada November 2000.

Taman Kinabalu

Rumah Teh Bunga di Jalan Hutton ini menyimpan pelbagai kisah sejarah silam di George Town.


Kunjungan ke Sabah seakan tidak lengkap sekiranya berkunjung ke Taman Kinabalu. Memakan masa kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu, taman negara seluas 75,370 hektar itu menjanjikan pelbagai tarikan kepada pengunjung yang mahu lari jauh daripada riuh dan hingar kota.

Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di situ antaranya, mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dan diiktiraf sebagai gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara.

Sejak Sir Hugh Low melakukan pendakian yang pertama menawan puncak gunung itu pada tahun 1851, saban tahun ia terus menggamit ribuan pendaki dari dalam dan luar negara.

Kepelbagaian bio yang amat tinggi di taman ini menyebabkan ia diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1964.

Dianggarkan Taman Kinabalu mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan berbunga, 621 spesies paku-pakis dan lebih 1,000 spesies orkid sekali gus menjadikan ia terkenal dalam kalangan penyelidik dari seluruh dunia.

Keunikan dan kepelbagaian yang ditawarkan menyebabkan ia turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Disember tahun 2000.

Bandaraya Melaka dan George Town

Terletak di perairan Selat Melaka, bandar raya Melaka dan George Town merupakan contoh bandar kolonial bersejarah yang cukup menarik untuk dilawati di negara ini.

Menjadi laluan perdagangan terpenting di rantau ini satu ketika dahulu, kedua-dua bandar raya itu memaparkan warisan kepelbagaian budaya serta tradisi Asia dan Barat yang masih terpelihara, tempat pertembungan pelbagai agama dan budaya.

Kehadiran pelbagai elemen melalui aktiviti perdagangan itu diterjemahkan melalui keunikan seni bina bangunan, masyarakat, bahasa, perayaan, tarian, busana, seni dan muzik, makanan serta cara hidup seharian

Di Melaka misalnya, pengunjung berpeluang meneroka keunikan dan tradisi masyarakat Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Chingay yang masih diamalkan sehingga kini.

Di samping itu, bandar raya itu juga terkenal dengan warisan peninggalan penjajah daripada era kolonial Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara bangunan yang terkenal di situ ialah A Famosa, kota yang dibina Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511.

Menjadi bandar raya kedua terbesar di Malaysia dengan bilangan penduduk melebihi 700,000 orang, George Town banyak dipengaruhi penjajahan Inggeris bermula pada tahun 1786.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 bangunan bersejarah di bandar raya itu yang berunsurkan era kolonial, Islam, Cina, Anglo India dan sebagainya.

Antara bangunan warisan yang menjadi tumpuan pelancong ialah Rumah Syed Al-Atas, Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh dan Tokong Yap.

Pada Julai 2008, Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi kategori tapak budaya.

Lembah Lenggong
Lembah Lenggong menyimpan sejarah tamadun manusia yang dipercayai
wujud sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Sejak penemuan rangka Perak Man pada 2001 dan Perak Woman pada 2004, nama Lembah Lenggong yang terletak di daerah Hulu Perak terus dikenali di peringkat antarabangsa.

Penemuan-penemuan saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan sebelum ini telah membuka pintu rahsia kehidupan masyarakat awal di rantau ini.

Ia terbukti menyimpan rahsia besar sejarah kehidupan manusia dan sejarah tamadun manusia yang pernah wujud dipercayai sekitar 1.83 juta tahun lalu.

Kawasan itu juga dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap ‘ibu kota’ Malaysia.

Bukit Bunuh misalnya, menjadi pilihan penempatan awal manusia kerana ia kaya dengan pelbagai sumber alam dan keperluan untuk menyediakan peralatan batu.

Penemuan kapak genggam pada tahun 2009 membuktikan kawasan itu merupakan satu-satunya tapak manusia Paleolitik yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.

Di samping itu, terdapat beberapa bukti lain yang turut dijumpai di sekitar Kota Tampan dan Gua Teluk Kelawar seperti tembikar, peralatan gangsa dan sebagainya.

Pada 1 Julai yang lalu, Lembah Lenggong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menjadikan, ia tapak keempat seumpamanya di negara ini.

Bagi pengunjung yang mahu melihat kesemua artifak itu dengan lebih dekat bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong.

Dibuka sepenuhnya pada tahun 2001, ia merupakan muzium prasejarah pertama di negara ini.


Sumber : Kosmo! Online - Horizon

Khamis, 6 September 2012

Port Dickson Bandar Tentera Darat

 
Sama seperti bandar tentera yang termasyhur Fort Knox di Amerika Syarikat, Port Dickson menjadi tempat pegawai tentera menjalani latihan asas, latihan kadet dan latihan susulan. Ramai pegawai tentera mengambil keputusan menetap terus di situ selepas bersara.

Bagi yang memasuki bandar Port Dickson menerusi lebuh raya Seremban-Port Dickson, mereka akan disambut dengan pemandangan pintu gerbang, pesawat Caribou dan sebuah kereta kebal di luar Muzium Kor Armor Diraja Kem Sunggala. Kem Sunggala juga menempatkan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja.


Sejarah tentera
Bandar Port Dickson mendapat nama daripada seorang pegawai tertinggi British, Sir John Frederick Dickson, yang begitu sinonim dengan ketenteraan sejak tertubuhnya kompeni perintis Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Mac 1933.

Legasi warisan tentera berterusan sehingga hari ini dan pada tahun 2009, bandar itu dengan rasminya diisytiharkan sebagai sebuah bandar tentera darat. 

Selepas tertubuhnya kompeni perintis itu, Port Dickson telah melatih lebih 325,000 perajurit berbilang kaum dari seluruh negara yang kebanyakannya mengukir nama dalam sejarah negara. Ini termasuk Allahyarham Leftenan Adnan Saidi, yang meninggal dunia semasa mempertahankan negara daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia kedua. 

Sehingga kini, Port Dickson telah berkembang bersama-sama tentera darat melalui penubuhan beberapa institusi dan pusat latihan pasukan tentera darat serta Angkatan Tentera Malaysia. 

Pembangunan infrastruktur Port Dickson semakin baik kerana statusnya sebagai Bandar Tentera Darat.

Sejak bertahun, Port Dickson mendapat banyak faedah daripada wujudnya kemudahan latihan tentera di samping aktiviti pasukan tentera Malaysia.

Di sekitar kawasan Port Dickson sahaja terdapat sembilan pusat latihan dan lima pasukan, yang menempatkan sejumlah 10,439 (statistik sehingga 1 Mac 2012) pegawai dan anggota tentera.

Identiti pelancongan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan memastikan setiap pembangunan di Port Dickson mempunyai unsur-unsur yang melambangkan ketenteraan dan pantai pelancongan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata segala perancangan dan perkembangan infrastruktur serta aktiviti tentera darat di Port Dickson akan mengambil kira kepentingan umum. 

"Port Dickson akan mempunyai kalendar pelancongan setiap tahun untuk aktiviti seperti upacara tatu, pertunjukan tamat latihan, barrack stay (menginap di berek tentera) dan perbarisan hari angkatan tentera darat yang akan diadakan secara simbolik di sini," ujar beliau. 

Beliau yakin kerajaan negeri dan tentera darat yang mempunyai pelbagai idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu akan berupaya menghasilkan rancangan serta pelaksanaan mengindahkan lagi Bandar Tentera Darat sebagai lokasi pelancongan. 

Segala kemudahan yang dilakukan di Port Dickson adalah untuk dimanfaatkan penduduk setempat dan pelancong.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina kolam renang bagi kegunaan latihan tentera serta rekreasi orang awam. 

Port Dickson yang sering dikunjungi setiap hujung minggu akan terus hidup dengan imej yang berkonsepkan 'mesra tentera, mesra pelancong dan mesra penduduk'. - Bernama


Sumber - Kosmo! Online - Urban

Isnin, 3 September 2012

Riang di Menara KL


Terletak gah di puncak Bukit Nanas iaitu 90 meter dari aras laut, Menara Kuala Lumpur merupakan salah satu ikon seni bina dan pelancongan di negara ini.

Namanya terus tersohor sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia sehingga mampu menarik kira-kira 800,000 pengunjung setiap tahun.

Jumlah pengunjung itu tidak termasuk mereka yang sekadar melawat di bahagian sekitar kaki menara.

Menyingkap kembali awal pembinaan pada tahun 1991 sehingga dibuka pada 1996, menara tersebut menjadi topik perbualan rakyat tempatan yang tidak sabar untuk 'memanjat' struktur setinggi 421 meter itu.

Ketika itu, apabila mendengar cerita daripada kawan-kawan yang telah berkunjung ke menara berkenaan, rasa tidak sabar pula untuk sama-sama menyaksikan kehebatannya.

Reka bentuk

Pelbagai cerita menarik didengari dan paling utama adalah pengalaman mereka menyaksikan keindahan bandar raya Kuala Lumpur di puncak awan.

Pada usia 16 tahun, populariti Menara Kuala Lumpur tidak pernah pudar, malah kini pelbagai tarikan baharu disediakan buat pengunjungnya.

Sebuah syarikat tempatan, Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., bertanggungjawab mereka bentuk menara itu yang dipengaruhi seni bina Islam. Ia juga mendapat sentuhan seni bina tempatan, Jerman dan Perancis.


Sejak tahun 1999, aktiviti ekstrem sukan BASE Jump menjadi aktiviti yang ditunggu-tunggu para peminatnya.

Hiasan dalaman menara yang berbentuk tirus dan tinggi itu dipengaruhi seni bina Islam yang bercirikan sentuhan Muqarnas dari Esfarhan, Iran.

Menara ini dibahagikan kepada lima bahagian iaitu tapak asas, kaki menara, tiang menara, kepala menara dan menara antena.

Seiring usianya, Menara Kuala Lumpur kini turut menerima perubahan termasuk dicat semula dengan warna lebih ceria serta dekorasi baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Zuraidah Mohd. Said, pengunjung biasanya meluangkan masa sehingga setengah hari bagi meneroka keunikan menara berkenaan.

"Selain menikmati keindahan panorama di sekitar Kuala Lumpur, pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti lain.

"Menara Kuala Lumpur menawarkan pengunjung lawatan yang berkonsep kebudayaan, alam semula jadi dan aktiviti lasak," katanya.

Pengunjung Menara Kuala Lumpur akan disambut dengan persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional dan muzik lagu asli.

Pengunjung terutama dari luar negara pasti terpesona dengan keindahan seni tarian dan muzik tempatan.

Persembahan itu dilakukan setiap hari tetapi mengikut masa yang telah ditetapkan.

Tidak puas dengan persembahan tersebut, di kaki Menara Kuala Lumpur yang berkeluasan 2,029 meter persegi turut terletak Kampung Budaya 1Malaysia yang menawarkan pengalaman menyusuri replika rumah-rumah tradisional Malaysia.

Di sini, anda boleh menghayati persembahan tarian dan muzik kebudayaan yang melambangkan keunikan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia, semua di bawah satu bumbung.

Setelah puas menikmati tarian atau persembahan kebudayaan, anda boleh menikmati kelazatan makanan tradisional yang dibawakan khas dari negeri yang mengambil bahagian di kampung budaya itu.

Laluan pejalan kaki memudahkan pengunjung menikmati keunikan flora dan fauna di Hutan Simpan Bukit Nanas.

"Tahun ini, kita telah membawa negeri seperti Terengganu yang turut menawarkan produk keluaran negeri tersebut seperti cenderamata dan makanan tradisional.

"Sambutan yang kita terima daripada pengunjung amat positif dan menggalakkan," kata Zuraidah.

Alam semula jadi

Menara Kuala Lumpur merupakan satu-satunya menara di dunia yang terletak di tengah-tengah kehijauan hutan dara.

Pengunjung berpeluang menyusur laluan hutan secara percuma, melihat atau mengkaji keunikan flora dan fauna.

Khidmat pemandu pelancong berlesen juga turut disediakan.

Pastinya, anda akan terhibur dengan bunyi kicauan burung-burung atau melihat pokok-pokok yang berusia lebih 100 tahun.

Jika masih belum puas menikmati kehidupan alam binatang di hutan simpan berkenaan, Zoo Mini di menara berkenaan juga menghimpunkan pelbagai haiwan eksotik seperti ular sawa albino, penyu berkepala dua, monyet Capuchin dan beberapa mamalia serta reptilia lain.

Bagi yang membawa anak, menunggang kuda padi atau Pony Ride merupakan satu aktiviti yang popular di Menara Kuala Lumpur.

Aktiviti seperti terjunan menara amat dinanti-nantikan penggemar sukan ekstrem itu. Menara Kuala Lumpur adalah satu-satunya menara di dunia yang menganjurkan acara BASE Jump secara sah dan telah menjadi tuan rumah sejak tahun 1999.

Pengunjung boleh merasai debaran terjunan itu yang dilakukan di pelantar terbuka di ketinggian 300 meter.

Selain itu, para peminat perlumbaan Formula Satu (F1) boleh mengalami sendiri debaran saingan perlumbaan itu menerusi simulator kereta lumba F1 yang terletak di kaki menara.

Debaran gaya perlumbaan seperti kejohanan F1 pasti tidak akan dilepaskan para peminatnya.
Dengan bunyi dan visual seperti perlumbaan sebenar yang dipaparkan di kaca simulator pastinya aktiviti ini mengujakan kaki-kaki lumba kereta.

Menjamu selera

Kesemua aktiviti tersebut terutamanya aktiviti lasak pasti membuatkan perut terasa lapar atau sekurang-kurangnya ingin menikmati segelas minuman.

Para pelancong tidak perlu bimbang kerana anda boleh merasai pengalaman unik menjamu selera di restoran berputar tertinggi di Malaysia yang bertaraf enam bintang.

Rasai hidangan barat dan Malaysia yang enak sambil melihat pemandangan panorama 360 darjah bandar raya Kuala Lumpur di Restoran Berputar Seri Angkasa dari pukul 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari.

Pelancong juga boleh menjamu selera di Megaview Banquet Hall yang boleh menampung 350 orang bagi sesuatu masa. Ruangan ini juga sesuai untuk penganjuran majlis perkahwinan, seminar atau pertemuan golongan korporat membuat perbincangan dalam suasana sunyi di puncak angkasa.


Sumber :- Utusan Online, Horizon

Iklan