Ruang Iklan

Isnin, 30 April 2012

Ragam ketika ber 'shopping'

Ketika berjalan-jalan dan membeli-belah, kebiasaanya aku akan merakam imej anak-anak. Korang lihatlah hasilnya.


20120303_20305520120303_20304520120303_20341620120303_20342520120303_20365820120303_203741
20120303_20390720120428_17111320120428_171138DSC_0080DSC_0081DSC_0082
DSC_0024DSC_0022DSC_0023

Ragam ketika ber 'shopping', a set on Flickr.






Sabtu, 21 April 2012

McDonald's - Chicken Muffin pada kos istimewa



HARI ini, aku bersarapan di McDonald's Pandan Mewah yang jaraknya cuma 700 meter dari rumah kerana nak merasa hidangan terbaru McDonald's iaitu Chicken Muffin dengan tawaran khas.

Hidangan yang menampilkan daging ayam yang digoreng hingga keemasan disajikan bersama kepingan keju berkrim dalam mufin ala Inggeris ditawarkan dengan kos istimewa pada harga RM2.50 untuk dua minggu saja. Tawaran khas ini terhad kepada empat pembelian dalam satu resit dan ia hanya sah dari 9 hingga 22 April di Restoran McDonald's terpilih untuk sarapan pagi saja.

Sarapan pagi McDonalds bermula dari jam 4 pagi hingga 11 pagi setiap hari.


Khamis, 19 April 2012

Nikon D3200 24.2 Megapixel

HARI ini, Nikon Malaysia melancarkan kamera digital SLR format DX, Nikon D3200 untuk peminat fotografi yang baru dalam bidang ini. Nikon D3200 merupakan model yang mempunyai kombinasi daripada teknologi pengimejan digital Nikon yang terbaik dan mudah dikendalikan. 

Nikon D3200 juga dilengkapi dengan sensor imej berkapasiti tinggi CMOS terbaru piksel efektif 24.2 Megapiksel, enjin pemperoses imej EXPEED 3 dan fungsi mod 'Guide' dengan kendali operasi yang mudah. 

Disamping pelancaran D3200, Nikon Malaysia juga memperkenalkan lensa NIKKOR AF-S 28mm f/1.8G dan "Wiereless Mobile Adapter WU-1a" yang membenarkan imej beresolusi tinggi yang dirakam oleh kamera Nikon D3200 untuk dikongsi dengan telefon pintar.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk, sila layari laman web www.nikon.com.my.

Rabu, 18 April 2012

Malaysia - Negara kaya air terjun yang mengagumkan


KHAZANAH alam semula jadi yang terdapat di negara kita cukup membanggakan, dari flora dan fauna, gunung, bukit-bukau, hutan hujan Khatulistiwa, pantai, pulau, tasik hinggalah ke sungai. Menikmati kesejukan air terjun dengan dikelilingi kehijauan alam semula jadi cukup mendamaikan.

Gelak tawa dan pelbagai aksi yang ditunjukkan pengunjung termasuk terjun tiruk, menyelam atau hanya mandi di gigi air cukup menghiburkan.

Tekanan dan masalah yang dihadapi hilang, selain kesegaran air terjun yang mengalir bagaikan terapi dalaman membantu melegakan hati yang gundah.

Itulah yang dirasai saat berkunjung dan berkelah atau mandi-manda di lokasi air terjun yang memang menanti kedatangan pengunjung.

Setiap negeri memiliki air terjun tersendiri dan menjanjikan keseronokan sebagai destinasi percutian yang mempesona.

Justeru, bagi yang merancang percutian ke kawasan alam semula jadi, di sini disertakan beberapa air terjun yang menjadi tumpuan pelancong di negara ini.

UNIK...Air Terjun Maliau unik dan terkenal kerana
ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga.


Air Terjun Maliau, Sabah

Lembangan Maliau, Tawau, Sabah mempunyai 19 air terjun menjadikannya angka tertinggi direkodkan dalam satu kawasan di Malaysia.

Antara 19 air terjun itu, Air Terjun Maliau adalah yang paling terkenal kerana ia berbentuk seakan-akan tujuh anak tangga. Ia diikuti Air Terjun Giluk, Air Terjun Gungseng, Air Terjun Sebandar, Air Terjun Takobakon dan Air Terjun Hulu Giluk.

Maliau bermaksud Gunung Tangga atau keruh dalam bahasa Murut. Diiktiraf sebagai Hutan Terlindung Kelas 1 pada 1997, Maliau kaya dengan hidupan liar dan sangat sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak termasuk mengenali burung dan merentas denai hutan.


Air Terjun Lata Berembun, Pahang

KEUNIKAN dan kecantikan air terjun Lata Berembun sudah lama menjadi bualan dan membuatkan sesiapa saja teringin menikmatinya.

Terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Lata Berembun adalah salah satu daripada tujuh air terjun di sekitar Gunung Benum dan ketujuh serta paling bawah.

Ketinggiannya adalah 3,000 kaki dari paras laut dan untuk ke sana, anda perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan perjalanan sejauh 14km.

Air terjun setinggi 50 meter itu diberi nama Lata Berembun berikutan tempias air terjun ibarat embun yang boleh dirasai 500 meter dari air terjun itu.


Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang adalah air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Dengan ketinggian 303 meter, air terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat antara tarikan utama di Gunung Stong dan kini menjadi destinasi ekopengembaraan yang popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang.

Uniknya, airnya bukan ‘terjun’ sebaliknya mengalir dari tebing batu tinggi.

Bagi menikmati keindahan alam semula jadi di puncak air terjun itu, pengunjung boleh bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau di rumah rehat.

Deruan air terjun yang mengalir bagaikan suara atau bunyi latar kepada siulan sang burung yang terbang bebas di hutan simpan yang menghijau itu.

Anda juga berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga terbesar di dunia, rafflesia, pokok palma dan orkid yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong itu.

MEMPESONA...pemandangan Air Terjun Pelangi
yang mempesona dan menakjubkan.

Air Terjun Pelangi, Pahang

Terletak di Sungai Lembing, Kuantan, Air Terjun Pelangi satu lagi air terjun yang harus dikunjungi. Diberi nama Air Terjun Pelangi kerana kejadian pelangi yang terdapat di air terjun setinggi 50 meter yang cukup unik dan indah itu.

Berbekalkan hanya sinaran mentari, cahaya yang terbias melalui air terjun ini akan menghasilkan pelangi yang pelbagai bentuk dan lapisan berdasarkan kedudukan anda.

Namun ia hanya terbentuk pada sebelah pagi sahaja iaitu sekitar jam 8 hingga 11 pagi. Ketika berhadapan dengan air terjun itu, anda akan dapat merasai titisan kecil air terjun yang jatuh bertaburan dan cukup menakjubkan.

Untuk menikmati kesejukan air terjun yang mengalir deras dan keindahan alam semula jadi di situ, anda perlu meredah hutan selama lebih kurang 45 minit.


Air Terjun Lata Iskandar, Perak

Selain Lata Kinjang, satu lagi air terjun yang memukau di Perak ialah Air Terjun Lata Iskandar di pertengahan perjalanan menghala ke Cameron Highlands dari Tapah, Perak.

Airnya yang sejuk dan mengalir deras sangat sesuai dengan lokasinya yang berhampiran tanah tinggi dan dikelilingi hutan semula jadi yang masih belum terusik.

Berkunjung ke situ, anda bukan saja boleh menikmati kesejukan airnya tetapi menikmati keindahan alam semula jadi yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

Di samping itu, anda boleh membeli pelbagai hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli di gerai kraftangan di kaki air terjun.


Air Terjun Telaga Tujuh dipercayai mejadi tempat mandi puteri
dari kayangan oleh penduduk setempat.

Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

Dipercayai sebagai tempat mandi puteri dari kayangan oleh penduduk setempat, Air Terjun Telaga Tujuh di Hutan Simpan Gunung Machinchang, Langkawi adalah destinasi popular di kalangan pelancong.

Ketujuh-tujuh telaga yang menjadi tarikan pengunjung berada bersebelahan antara satu sama lain seolah-olah disusun rapi secara berperingkat manakala perigi tertinggi berada kira-kira 250 meter dari aras laut.

Pengunjung perlu mendaki lebih 600 anak tangga untuk sampai ke kawasan telaga pertama untuk berkelah, mandi-manda, beristirahat serta melihat panaroma menarik kawasan gunung.


Air Terjun Gunung Ledang, Johor

GUNUNG Ledang tidak pernah sunyi dan sering dikunjungi baik pelancong tempatan atau luar negara.

Kejernihan air terjun yang mengalir segar pasti menawan sesiapa saja, apatah lagi apabila berpeluang menikmati kedinginan airnya yang tidak tercemar.

Ramai tidak akan melepaskan peluang berkelah di Kolam Puteri yang mempunyai daya tarikan luar biasa dengan air terjun setinggi 50 meter.

Dari jauh deruman air terjun mampu menghilangkan tekanan dan keletihan walaupun terpaksa berjalan kira-kira 200 meter ke kaki gunung berkenaan.


Air Terjun Jeram Toi, Negeri Sembilan

KEINDAHAN dan deruan air terjun bertingkat pasti menggamit setiap pengunjung yang melalui laluan antara Seremban ke Kuala Klawang, Jelebu untuk singgah menikmati alam semula jadinya.

Terletak hanya 30 kilometer dari Seremban, Hutan Lipur Jeram Toi di bawah pengawasan Jabatan Hutan Negeri Sembilan antara lokasi menarik yang mendapat perhatian khusus di kalangan pelancong tempatan.

Air terjun setinggi beberapa tingkat itu masih terpelihara dengan keindahan alam semula jadinya terutama flora serta fauna.

Selain aktiviti perkelahan, kawasan ini sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti lasak dengan menyusuri sepanjang jeram melihat kawasan hutan, namun perlu mendapat bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan.


Antara air terjun di Malaysia yang boleh dikunjungi:

- Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu
- Air Terjun Sekayu, Terengganu
- Air Terjun Rek, Kelantan
- Air Terjun Berkelah, Kuantan, Pahang
- Air Terjun Kionsom, Inanam, Sabah
- Air Terjun Jerangkang, Pahang
- Air Terjun Mahwah, Sabah
- Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan
- Air Terjun Jeram Pasu, Kelantan
- Air Terjun Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan
- Air Terjun Chemerong, Terengganu







Sumber - MyMetro

Ahad, 15 April 2012

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13


HARI ini, aku ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk melihat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13 yang yang bakal berlangsung esok selama empat hari, dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang. Takala sampai di sini, aku lihat pekerja sedang sibuk dengan persiapan untuk mengadakan pameran dan persidangan.
 
Pameran peralatan polis dan keselamatan negara dijangka antara bakal menjadi tumpuan utama tahun ini dan dua dewan khas disediakan bagi tujuan demonstrasi barangan dan peralatan. Pameran statik dan dinamik tentera darat turut diadakan sepanjang empat hari pameran dengan pengisian acara menarik termasuk demonstrasi mobiliti oleh angkatan tentera darat. Di samping itu, Pusat Informasi Perolehan Pertahanan yang akan dibuka ketika pameran itu bukan hanya menjadi pusat informasi tetapi beberapa sesi taklimat berkonsepkan perkongsian pengetahuan mengenai proses dan prosedur perolehan pertahanan di kalangan negara jemputan.

Pameran ini hanya dibuka kepada semua tetamu VIP, pelawat perdagangan, anggota tentera dan pasukan keselamatan, pasukan kadet beruniform. penganalisis serta pemerhati pertahanan dari dalam dan luar negara manakala lawatan berkumpulan oleh pelajar Institut pengajian tinggi (PIT) yang berkenaan ialah pada 18 dan 19 April.
 
Pameran edisi ke-13 ini disertai oleh 850 syarikat termasuk 220 syarikat dari Malaysia, melibatkan tapak pameran seluas 40,000 meter persegi. Selain Malaysia, 13 negara akan menyertai DSA kali ini iaitu Australia, Brunei, India, Indonesia, Kemboja, Korea Selatan, Laos, Myanmar, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. 

Antara syarikat antarabangsa yang menyertai pameran pada tahun ini ialah ialah Amor and Force Protection (Amerika Syarikat), Sastind (China) serta TS Computers and Russia Technologies (Rosoboronexport) dari Russia.

Antara syarikat pertahanan tempatan pula ialah Amdac (M) Sdn Bhd, Boustead Heavy Industries Corp, Bry-Air Malaysia Sdn Bhd dan Deftech iaitu penyertaan terbesar dengan keluasan tapak pameran seluas 1,700 meter persegi.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon antara tarikan pengunjung.
Setelah puas melihat persiapan yang dijalankan, aku berjalan-jalan sambil merakam aksi anak di sekitar PWTC dengan kamera Canon Powershot G12. 

Liku Alam - View my '13th Defence Services Asia' set on Flickriver





Ahad, 8 April 2012

Gua Tempurung - Dinding Gua berkilau disuluh

Penerokaan di Gua Tempurung menjanjikan 1,001 
pengalaman yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
KEGELAPAN mungkin menakutkan bagi sesetengah orang. Namun, percayakah anda bahawa kegelapan juga membawa keindahan yang tersirat malah mampu merungkai keajaiban misteri alam semula jadi yang masih belum diterokai sepenuhnya?

Jika itu yang diinginkan, Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, Perak menjanjikan 1,001 pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Terletak di antara Gopeng dan Kampar, kira-kira 36 kilometer ke selatan bandar raya Ipoh, ia merupakan antara destinasi menarik yang wajar dikunjungi.

Berusia hampir 400 juta tahun, Gua Tempurung merupakan formasi batu kapur dan marmar terbesar di negeri Perak. Pembentukannya merupakan sebahagian daripada kehebatan Banjaran Titiwangsa.

Namanya diambil berdasarkan lima ruang besar kubah gua yang seolah-olah menyerupai bawah tempurung kelapa.

Bagi yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke situ, usah risah kerana kebanyakan laluan di kawasan curam dan bertebing telah dipasang tangga demi kemudahan serta keselamatan pengunjung.

Malah, bagi memudahkan pemerhatian, kawasan sekitarnya juga turut dihiasi lampu yang berwarna-warni di samping memberi mood untuk meneruskan penerokaan ke dalam gua.

Sepanjang berada di dalamnya, pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu marmar yang terdapat di kawasan sungai.

Pakej jelajah
Pengunjung boleh memilih beberapa pakej penjelajahan gua yang disediakan. Antaranya, pakej Golden Flowstone yang mengambil masa 40 minit, Top of the World (1 jam 45 minit), Top of the World & Short River Adventure (2 1/2 jam) dan Grand Tour (3 1/2 jam). 

Bagi pakej Golden Flowstone, pengunjung berpeluang melihat keunikan dinding-dinding gua terhasil daripada pemadatan pasir-pasir halus seperti kristal. Dinding yang basah akan memberi kesan kilauan apabila terkena suluhan lampu suluh. 

Stalagmit yang mempunyai bentuk seakan-akan roket
 ini menjadi tarikan di Gua Tempurung.
Sementara itu, pakej Top of the World pada paras 125 meter dari paras laut membolehkan pengunjung melihat keunikan stalagmit dan stalaktit seperti batu tergantung, dinding langsir dan batu berombak.

Lebih mempesonakan, ada antara formasi batuan itu yang membentuk imej seakan-akan binatang seperti kepala kuda, anjing, ikan, udang laut, ikan lumba- lumba dan sotong.

Tidak kurang juga ada antaranya yang menyerupai bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia dan juga kenderaan. 

Kejutan yang paling mengujakan pengunjung adalah bentuk sebuah stalagmit yang besar menyerupai imej wanita mengandung berambut panjang. Ia seolah-olah sedang berdiri memegang perutnya.

Bagi yang gemarkan cabaran dan aktiviti lasak, boleh mengambil pakej Top of the World & Short River Adventure dan Grand Tour. 
 
Tiada kemudahan disediakan di situ kecuali trek yang sempit, kotor dan basah. 

Sepanjang pengembaraan itu, adakalanya, pengunjung perlu merangkak, menggelungsur, menyusur dan meniarap di sungai dan menyusup ke dalam lubang-lubang kecil bagi meneruskan penerokaan ke tahap seterusnya.

Bagaimanapun, ia lebih menjamin kepuasan lebih-lebih lagi apabila berpeluang melihat keindahan bentuk muka buminya yang unik dan tersendiri.

Diuruskan oleh syarikat APT Consortium Sdn. Bhd., Gua Tempurung lengkap dengan pelbagai kemudahan asas. Antaranya, gerai makanan dan minuman, tandas dan bilik mandi, kawasan letak kenderaan serta khidmat pemandu pelancong.




Iklan