Ruang Iklan

Ahad, 21 Mac 2010

Danau Toba

Destinasi wajib Sumatera Utara: Danau Toba menjanjikan pengalaman indah hayati keindahan alam



Istana lama Raja Simalungun

SUMATERA UTARA mungkin lokasi pelancongan biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia kerana jaraknya yang hampir dengan tanah air serta faktor kos yang tidak membebankan.

Penerbangan dari Terminal Tambang Murah (LCCT) ke lapangan terbang atau Bandar Udara (Bandara) Polonia di Medan hanya mengambil masa 55 minit, lantas menjadikan wilayah berkenaan begitu popular di kalangan rakyat kita.

Biarpun hubungan persaudaraan dan perniagaan di antara kedua-dua negara tetangga ini pernah digugat beberapa isu, ia langsung tidak menjejaskan kunjungan rakyat Malaysia ke sana dan begitu juga sebaliknya.

Lebih menarik, ramai warga Indonesia yang berurusan di Bandara Polonia, khususnya kakitangan imigresen, kastam serta petugas kaunter penerangan dan pemandu teksinya berinteraksi dalam bahasa Malaysia dengan lenggok sama seperti kita.

Penulis ke Sumatera Utara bersama dua sahabat tanpa menggunakan pakej pelancongan, lalu bas henti-henti menjadi pengangkutan kami untuk ke Brastagi dengan bayaran RM6 dan tempoh perjalanan selama dua jam ke destinasi.

Suasana pasti berbeza jika menaiki kenderaan sewa khas tetapi dalam bas awam itu, kami berpeluang menyaksikan gelagat warga tempatan yang majoritinya berketurunan Batak membawa segala macam barang yang dibeli mereka di Medan.

Tidak cukup ruang dalam bas, kotak, raga dan beg turut diletakkan di atas bumbung bas dan diikat sepanjang dua jam perjalanan melalui jalan berliku mendaki tanah tinggi.

Semakin lama menempuh perjalanan, semakin terasa kedinginan tanah tinggi dan ketibaan kami di Brastagi disambut dengan pemandangan pokok pain yang banyak tumbuh meliar di kiri dan kanan laluan.

Sebaik turun di Stesen Bas Brastagi, kami ditunjukkan jalan ke Sibayak Guest House oleh konduktor bas berkenaan. Walaupun tengah hari, suhu dingin tetap terasa.

Brastagi dikelilingi dua gunung berapi iaitu Gunung Sibanung dan Gunung Sibayak, turut mempunyai tanah yang lebih subur yang menggalakkan aktiviti pertanian seperti tanaman bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan pelbagai jenis.

Suasana malam di sini yang amat dingin dihangatkan dengan keriuhan dari pasar malam dan bingit muzik dari pusat hiburan.

Kembara ke Sumatera Utara tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Danau Toba dan bagi yang mempunyai masa terluang, kunjungi juga perkampungan tradisi Batak di Dokan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Brastagi.

Di perkampungan ini, ada lebih 50 rumah kaum berkenaan yang memaparkan ciri asli pembinaan kediaman oleh Batak Medan. Tidak jauh dari situ, ada istana lama Raja Simalungun yang menempatkan khazanah peninggalan lebih 300 tahun suku Batak.

Kepercayaan mereka kepada jasad yang sudah mati dimuliakan dan mengambil masa sehingga lebih 200 tahun sebelum mayat dibakar dan abunya disemadikan. Jika lebih tinggi pangkat atau kuasa seseorang, lebih lama mayatnya disimpan terutama kerabat istana.

Hingga kini, rumah penyimpanan mayat, keranda, tempat pembakaran dan pusara lama etnik berkenaan masih jelas kelihatan.

Penulis sempat singgah di kawasan Air Terjun Sipiso-piso yang berketinggian lebih 100 meter. Dari jarak kira-kira 300 meter, terasa kulit seperti terkena biasan air dari Sipiso-piso hasil percikan dan tiupan angin.

Dari kawasan air terjun ini juga jelas kelihatan bahagian utara Danau Toba yang begitu indah.

Satu lagi tarikan di sini ialah Pulau Samosir yang terletak di tengah-tengah Danau Toba. Pengunjung perlu melalui pekan Parapat untuk ke pulau berkenaan menaiki feri yang disediakan.

Suasana di Parapat boleh dikatakan meriah sepanjang hari dengan aktiviti dagangan segala hasil tanaman dan penternakan yang dibawa dari kawasan perkampungan. Pekan ini juga menjadi pilihan ramai pelancong untuk menginap.

Pilihlah jenis penginapan yang sesuai dengan bajet anda, sama ada Chalet, rumah rehat atau cottage bertaraf sederhana menghadap tasik yang begitu masyhur di rantau ini pada kadar harga amat berpatutan.

Bagi penulis, keindahan dan kedamaian Danau Toba tidak dapat diungkap dengan kata-kata, disokong pula dengan keramahan warganya yang boleh membuatkan mana-mana pelancong berasa seperti di negara sendiri.

Saat paling indah di sini tentunya ketika menyaksikan matahari terbit di celah pergunungan lalu membiaskan cahayanya ke dalam tasik sambil kawanan burung pula riuh dengan kicauan, membuatkan hati terasa begitu damai di Danau Toba.

Isnin, 1 Mac 2010

Danau Toba simpan misteri


Pemandangan di Danau Toba

Diceritakan pada zaman dahulu hidup seorang petani yatim piatu di utara Pulau Sumatera, daerah yang digambarkan kering kontang. 

Pada satu hari, pemuda itu memancing ikan yang sangat indah bentuknya dan berwarna kuning keemasan. Sebaik sahaja dipegang, ikan tersebut berubah bentuk menjadi seorang puteri jelita. Puteri itu ialah wanita yang dikutuk kerana melanggar larangan dan akan berubah menjadi seperti makhluk yang pertama memegangnya. 

Pemuda tersebut kemudiannya mengahwini puteri itu dengan syarat tidak akan menceritakan kepada sesiapa pun asal usulnya dari ikan. Setelah setahun pasangan suami isteri itu dikurniakan seorang anak lelaki.Tetapi anaknya itu mempunyai kebiasaan buruk iaitu tidak pernah kenyang dan akan memakan semua makanan yang ada sehingga suatu hari ia menimbulkan kemarahan bapanya. 

Dalam nada marah, pemuda tersebut mengungkit anak itu dari keturunan ikan. Kata-kata itu telah membuka rahsia asal usul isterinya dan melanggar janji yang mereka sepakati bersama. 

Isteri dan anaknya lalu menghilang secara ghaib. Di bekas tanah yang mereka pijak muncul mata air. Air dari mata air itu semakin besar dan terbentuklah sebuah danau luas yang kini dikenal sebagai Danau Toba. 

Kisah itu merupakan antara mitos Danau Toba yang baru-baru ini menarik perhatian umum berikutan kenyataan daripada seorang pakar geologi dari Universiti Monash, Australia, Profesor Ray Cas. 

Danau Toba di Medan nan indah dan permai yang menjadi tumpuan pelancong menjadi perhatian umum apabila Ray menyatakan danau purba yang terbentuk daripada letupan gunung berapi raksasa ratusan tahun lalu itu akan meletup lagi. 

Berita itu bukan sahaja meresahkan penduduk Indonesia khususnya di persekitaran Danau Toba tetapi juga masyarakat dunia. Ini kerana danau seluas 100 meter panjang dan 30 meter lebar sedang dalam proses aktif kembali untuk memuntahkan laharnya. 

Bencana berangkai gempa bumi dan tsunami di Aceh, Nias dan Mentawai serta Gunung Berapi Talang, Sumatera Barat dikatakan menjadi petanda awal Danau Toba akan meletup. Berita buruk itu pula disokong oleh beberapa kenyataan daripada pakar-pakar geologi lainnya. Tetapi pada masa yang sama, ramai pula pakar yang menafikannya dengan fakta-fakta yang lebih ilmiah. 

Menurut Ray, Toba merupakan salah satu gunung berapi paling besar atau supervalcano dunia yang jika meletup akan 100 kali lebih dahsyat daripada letupan Gunung Kratkatau di Laut Sunda pada 1883.Merujuk kesan letupan Gunung Berapi Toba, 73,000 tahun lalu, pakar-pakar geologi menyatakan letupan itu menutupi hampir seluruh wilayah Sumatera Utara dengan lahar panas setebal 50 meter dengan kepanasan 750û Celsius. Lebih menggerunkan bahan-bahan batu yang dimuntahkan oleh letupan tersebut mencapai berat 2,800 kubik meter yang diselerakkan ke seluruh kawasan rantau ini yang tentunya memporak-perandakan kota Jakarta dan Kuala Lumpur yang padat penduduk itu.

Beberapa pengkaji gunung berapi sebelum ini juga telah menemui debu atau batu-batu daripada letupan Danau Toba di Malaysia, bahkan sejauh 3,000 kilometer ke utara hingga India Tengah. Dua pakar, Rose W.I dan Chesner CA dalam kajiannya pada tahun 1991 mendapati letupan Gunung Berapi Toba meninggalkan lahar panas yang menutupi kawasan sekitar 20,000 kilometer persegi dengan ketebalan kira-kira 50 meter. Boleh dibayangkan dengan panas lahar mencapai 750û Celsius semasa meletup, pastinya tidak akan ada benda yang boleh hidup sepanjang lahar ini dapat mengalir. Kesannya belum berakhir di situ, kerana letupan Gunung Toba akan turut menyemburkan batu-batuan berjumlah 1,000 kilometer kubik dengan jarak sejauh 2,500 kilometer persegi. Batu-batu kecil dan debu sebanyak 800 kilometer kubik pula akan memberi masalah besar kepada penduduk yang tinggal jauh dari Danau Toba walaupun para pengkaji belum dapat memastikan jarak sebenarnya. 

Para pengkaji menemui debu Gunung Toba di India Tengah, kawasan Asia Barat dan pantai timur Afrika. Mungkin sahaja kawasan Asia Tenggara, India dan Sri Lanka akan tertutup dengan debu tebal, jika penemuan batu dan debu itu diambil kira. Asid sulfat, bahan yang digunakan untuk bateri kenderaan akan disemburkan ke alam maya dengan jumlah 1.010 metrik tan.

Sebagaimana yang berlaku 73,000 tahun lalu, letupan Gunung Berapi Toba telah mengubah cuaca dunia. Debu yang disemburkan ke udara menghalang masuk matahari ke bumi dan menyebabkan suhu dunia menurun seperti zaman ais.

Cas menegaskan, letupan gunung berapi yang amat kuat itu adalah satu potensi malapetaka paling buruk kepada bumi selain ancaman hentaman tahi bintang seperti yang digambarkan dalam filem Armagedon.

``Letupan gunung berapi itu pasti akan berlaku. Cuma ia tidak akan berlaku dalam waktu terdekat ini. Ia mungkin akan berlaku 10,000 atau 200,000 tahun lagi,'' kata Cas.

Tiada siapa yang dapat menjamin Gunung Berapi Danau Toba yang sedang tidur ini tidak akan meletup dalam beberapa tahun ini sebagaimana bencana alam di Aceh dan Nias, Sumatera Utara yang tidak dijangka kehadirannya.

``Pada waktu ini memang tidak ada tanda-tanda Danau Toba akan meletup. Tetapi amat penting perkara ini dijelaskan kepada pihak pemerintah agar menyedari potensi gunung berapi yang akan meletup. Belajarlah daripada gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember lalu. Kami harap negara-negara di wilayah Laut Hindi termasuk Indonesia menyedari bahaya yang akan berlaku dan berwaspada terhadap tanda-tanda yang ada,'' tambah Cas.

Kenyataan ilmuan dari Australia ini memang meresah dan membuatkan masyarakat panik kerana ia bercanggah dengan kajian pakar tempatan yang menyebutkan Danau Toba bukan dikategorikan sebagai gunung aktif.

``Kami tidak pernah membuat kesimpulan Danau Toba akan meletup. Memang Danau Toba terbentuk akibat gegaran gunung berapi yang berlaku ribuan tahun lalu tetapi dalam penelitian vulkanologi, Danau Toba tidak temasuk gunung yang aktif,'' kata Dr. Surono, pakar gunung berapi dari Direktorat Volkano dan Bencana Geologi Indonesia.

Surono menjelaskan, berdasarkan pengamatan pasukannya dan para pakar gunung berapi dunia, Danau Toba tidak masuk kategori gunung aktif yang harus diwaspadai dan tidak ada tanda-tanda ia akan meletup. Ketua Seismologi Teknik dan Tsunami Badan Meteorologi dan Geofisik Indonesia, Fauzi pula menjelaskan, teori yang menyatakan Danau Toba akan mengering atau meletup akibat gempa besar di pesisir barat Sumatera boleh dipertikaikan.

``Ia hanya kenyataan spekulasi dan tidak berdasarkan kajian ilmiah yang boleh kita terima. Danau Toba ini malah yang menjadi pengimbang gerakan bumi. Kajian kita menunjukkan hanya berlaku sedikit gegaran gempa di Danau Toba. Sekarang belum waktunya kita mempersoalkan letupan gunung berapi di sana. Untuk sampai ke tahap matang dan aktif diperlukan waktu ratusan tahun lagi,'' jelas Fauzi.

Berdasarkan kajian ilmiah, Danau Toba memang tidak akan meletup dalam waktu terdekat ini. Waktu ratusan tahun lagi masih lama tetapi wajar untuk generasi sekarang mengingatkan generasi akan datang terhadap bencana tersebut.

Bagi penggemar kisah mitos, puteri jelita mungkin akan muncul semula di Danau Toba. Tetapi mungkin kali ini bukan mata air yang muncul tetapi bencana gunung berapi. Masih banyak misteri yang tersimpan di danau yang memukau pemandangan dan menjadi kebanggaan pelancongan Indonesia ini.




Sumber : - Mingguan Malaysia, 1 Mei 2005

Kisah Istana Kellie sehebat Taj Mahal

Pandangan dari hadapan Istana Kellie
di Batu Gajah, Perak.
ISTANA Kellie atau lebih dikenali Kellie's Castle yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Ipoh merupakan satu warisan sejarah yang menyimpan kisah sehebat istana Taj Mahal di India di sebalik pembinaannya.

Istana Kellie dibina oleh seorang peladang Scotland yang kaya raya, William Kellie Smith yang berasal dari sebuah kampung yang dikenali sebagai Kellas.

Sekiranya Taj Mahal dibina oleh Shah Jehan sebagai tanda cinta ke atas isterinya, Mumtaz Mahal, Istana Kellie juga dibina atas tujuan yang sama. Mahligai itu merupakan lambang cinta Smith kepada isterinya, Agnes yang turut berasal dari Scotland.

Istana Kellie terletak di sebuah ladang getah milik Smith yang dinamakan sebagai Ladang Getah Kinta Kellas, sempena ladang di kampung asal Smith di Scotland iaitu Easter Kellas.

Apa yang menarik, bangunan tersebut bukan sahaja mempunyai ciri-ciri rekabentuk berdasarkan kebudayaan India, malah semua batu bata dan lantainya juga dibawa dari India. Malah, Smith juga mengupah ramai buruh India untuk membina istana impian cintanya itu.

Selain itu, Istana Kellie merupakan yang pertama sekali menggunakan elevator yang menghubungkan dari tingkat bawah ke tingkat paling atas. Bangunan itu juga mempunyai banyak bilik dan terowong rahsia. Bagaimanapun istana yang mula dibina pada tahun 1915 itu tidak sempat siap dan diduduki oleh Smith selepas beliau meninggal dunia secara mengejut akibat penyakit pneumonia semasa melawat Portugal pada tahun 1926.

Agnes yang terlalu sedih dengan kematian suami tersayangnya itu kemudian mengambil keputusan untuk pulang ke Scotland dan menjual ladang getah serta istana tersebut kepada sebuah syarikat Inggeris, Harrisons and Crosfield.

Walaupun tidak sempat siap, Istana Kellie akan terus diingati sebagai legenda impian yang kesampaian bagi Smith dan mahligai itu kini menjadi daya tarikan pelancong terutamanya bagi mereka yang sedang dilamun cinta.

Legenda inilah yang menjadikan Istana Kellie sebagai tarikan kepada pelancong yang saban hari melawat mahligai impian cinta Kellie itu untuk mengabadikan kenangan cinta mereka.

Istana itu juga pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran filem Anna and the King pada tahun 1999.

Istana Kellie dibuka kepada kunjungan awam dari pukul 8.30 pagi hingga 7 petang setiap hari.


Sumber : - Utusan Online, 9 Jun 2008

Iklan